Para seniman visual di Malaysia yang mempunyai pengalaman melebihi dua belas (12) tahun digalakkan untuk memohon bagi meningkatkan keupayaan mereka sebagai seniman visual dengan memberi peluang kepada mereka dengan menyertai proses penerokaan kreatif dan lawatan penyelidikan untuk membantu dalam proses artistik mereka, dalam mana-mana bidang yang bersesuaian dengan karya seni mereka, di Malaysia atau Asia Tenggara selama tempoh sehingga dua (2) bulan. Permohonan daripada golongan seniwati visual sangat digalakkan dan keutamaan diberi kepada penyelidikan yang dijalankan di Malaysia.
Setelah selesai melalui
Program Pembiayaan Inspirasi Seni Visual, pemohon dikehendaki mendokumenkan perjalanan melalui sebuah penerbitan atau sebuah siri karya seni yang akan menghasilkan sebuah pameran mini dan pengaktifan berpotensi di Malaysia berdasarkan proses penerokaan kreatif dan penyelidikan mereka dalam masa tidak melebihi enam (6) bulan dari tarikh tamat lawatan mereka.
Program ini bertujuan menyediakan dana kepada seniman visual Malaysia sebagai sebuah program pembangunan beraspirasikan salah satu tiang strategik CENDANA iaitu ‘Memperkasakan Komuniti’ dengan meningkatkan peluang dan melabur dalam pembangunan artis Malaysia.
NILAI GERAN
Program Pembiayaan Inspirasi Seni Visual menyokong:
Perbelanjaan perjalanan, penginapan, bahan penyelidikan, perbelanjaan harian bagi perjalanan kreatif dan lawatan penyelidikan berjumlah sehingga RM15,000 bagi setiap permohonan.
Sewa tempat, kos bahan artis, kuratorial dan yuran penulisan untuk output projek susulan seperti pameran kecil atau penerbitan berjumlah sehingga RM 30,000 bagi setiap permohonan.
SOKONGAN CENDANA
Program Pembiayaan Inspirasi Seni Visual bercita-cita untuk menyokong ekosistem seni visual dari awal hingga akhir dengan menyokong proses penciptaan bagi seseorang seniman visual dan proses pembuatan pameran oleh kurator pilihan mereka di ruang seni yang dipilih atau di platform digital.
Program pembiayaan CENDANA diperkenalkan untuk memberikan dana dalam bentuk geran bersyarat kepada individu di Malaysia.
Sokongan pembiayaan dilakukan melalui proses penilaian yang bersaing tinggi oleh Panel Penasihat Industri dan Pihak Pengurusan yang tertakluk kepada kriteria-kriteria yang tertera, kekukuhan kertas kerja dan dokumen berkaitan yang dikemukakan semasa permohonan.
Jika terdapat sebarang pertanyaan, sila emel kepada
grants@cendana.com.my untuk keterangan lebih lanjut jika projek anda layak dibiayai di bawah program ini.