Apa yang perlu dilakukan jika anda menjalankan perniagaan atas talian
Oleh SOFIA AMANEE

Dunia Internet merupakan sebuah medan maya yang tidak dapat kita elak walau di mana kita berada. Laman web, media sosial dan papan iklan fizikal semuanya akan membawa anda kepada dunia Internet. Pastinya, Internet menghubungkan kita dengan cukup pantas. Mungkin dahulu kita fikir dengan wujudnya kapal terbang dunia kita akan semakin kecil, namun tidak pernah kita terbayang dunia kini di hujung jari.

Founder - Dayana Reza.jpg

Mengambil peluang daripada kemudahan Internet, anak jati Melaka Dayana Reza telah mengasaskan Nyonya Kain iaitu sebuah laman perniagaan atas talian khas untuk fesyen dan aksesori batik tradisi.

Sebagai seorang kanak-kanak, Dayana sudah tertarik dengan kekayaan tradisi budaya Peranakan. Pada tahun 2018, Dayana membuat sebuah lawatan ke Kelantan dan telah jatuh cinta dengan keindahan batik dan tekstil yang ada. Sebagai seorang yang mempunyai latar belakang kewangan, Dayana memang seorang yang meminati keusahawanan. Seterusnya, Dayana membawa pulang beberapa tekstil batik untuk dijual kepada saudara-mara dan kawan-kawan di Kuala Lumpur. Dari situlah bermula perniagaan sambilannya, Nyonya Kain tambahan daripada pekerjaan harian yang sedia ada.

Sebagai latar belakang yang ringkas, asal usul nama Nyonya Kain itu sebenarnya jelas pada namanya sendiri. Perkataan “Nyonya” bermaksud wanita atau gadis dan “Kain” membawa erti kepada asal usul perniagaan Dayana iaitu penjualan hasil tekstil dan batik.

ACE Hab telah bertanya beberapa petua dan nasihat bagaimana beliau memulakan dan meneruskan sebuah perniagaan atas talian.


Apakah cara terbaik untuk memulakan sebuah perniagaan atas talian?

Bahagian yang paling penting dalam sebuah perniagaan atas talian adalah perancangan! Anda tidak boleh membuat keputusan mengejut secara tiba-tiba, “Esok saya hendak menjual pakaian” dan esok terus memulakan perniagaan. Anda perlu fikir secara masak, membuat ramalan berkenaan cabaran yang bakal dihadapi dan juga merangka sebuah perancangan jangka masa panjang. Bergantung kepada jenis perniagaan yang anda ingin ceburi, buat perhitungan kewangan dan skala perniagaan anda bagi fasa permulaan ini.

Kenalpasti jumlah belanjawan anda dan fikirkan faktor-faktor yang bukan sahaja boleh memberi impak kepada anda malah juga kepada pengguna. Sebagai permulaan, anda boleh sahaja mengguna kaedah “dropship” kerana ia mudah. Anda tidak perlu memohon lesen, mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau mempunyai sebuah tapak kedai untuk menyimpan stok anda.
Dropshipping merupakan sejenis cabang perniagaan atas talian dimana perniagaan atas talian ini mengambil stok daripada pembekal pihak ketiga apabila terdapat tempahan dan bukan daripada gudang mereka sendiri. Produk kemudian dihantar terus kepada pengguna. Melalui kaedah ini, peniaga tidak perlu menguruskan produk secara terus.
Jika anda sudahpun mempunyai sebuah perniagaan, maka anda perlu memastikan kehadiran anda di media sosial seperti Instagram dan Facebook dipertingkatkan. Sebagai sebuah usahawan, ini ibarat “resume” yang akan mewakili anda di pentas media sosial jadi anda perlu bekerja keras dalam memastikan kehadiran anda di media sosial dirasai. Lakukan sesuatu yang kreatif untuk mengiklan dan menawarkan produk anda kepada dunia!
Anda juga mungkin boleh fikir untuk dapatkan pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk tujuan ketulenan, pengesahan dan agar pengguna yakin dengan produk anda.

Jika sebuah perniagaan di Instagram, WhatsApp atau Telegram itu tidak ada pensijilan, pengguna mungkin akan ragu-ragu untuk melaburkan wang-ringgit hasil penat lelah mereka kepada produk anda. Maka anda mungkin perlu mendapatkan sejenis pengiktirafan. Di Shopee misalnya, anda boleh mendapatkan lambang “Shopee Preferred” dan untuk mendapatkan status tersebut anda perlu buktikan kepada Shopee bahawa anda sebuah perniagaan yang mempunyai pencapaian yang baik dalam jualan dan operasi anda serta memenuhi syarat-syarat “Preferred Seller” di laman Seller Centre di Shopee.

Anda perlu membuat sedikit kaji selidik mengenai produk yang anda rancang untuk jual. Contohnya, jika anda rancang untuk menjual bakul rotan anda perlu membuat penyelidikan tentang ketersediaan bahan tersebut dan apa yang dibuat oleh peniaga yang lain. Dapatkan maklumat sebanyak boleh untuk menambahbaik produk anda dan apa yang boleh membezakan anda daripada pesaing lain.

Bengkel, ceramah dan seminar juga sesuatu yang baik untuk anda sertai untuk menambah ilmu dan mendapatkan nasihat dalam perniagaan anda. Kini terdapat pelbagai kursus percuma secara Zoom untuk peniaga baharu yang ingin mencuba perniagaan atas talian. Selain itu, terdapat juga kursus-kursus sebegini di YouTube. Hanya dengan membuat pencarian Google sahaja anda anda jumpa pelbagai pilihan sedia ada.
Jika anda seorang yang baru ingin memulakan perniagaan, adalah lebih baik jika anda menggunakan laman perniagaan atas talian sedia ada seperti Shopee atau Lazada berbanding laman web anda sendiri. Ini kerana laman sedia ada lebih mudah untuk membuat akaun dan mengekalkannya berbanding laman anda sendiri. Namun satu kekurangannya adalah anda perlu sentiasa kemaskini stok yang ada di tangan anda kerana laman seperti ini kebanyakkan lebih kepada konsep borong.

Mulakan laman web anda sendiri apabila anda sedia dan kukuh. Mungkin anda tertanya-tanya, kenapa? Laman web bukanlah sesuatu yang mudah untuk diselenggara dan memerlukan komitmen yang tinggi. Anda boleh membuat laman itu sendiri atau mengupah seseorang untuk melakukannya untuk anda.

Jika anda merancang untuk meluaskan potensi perniagaan anda secara global, anda juga boleh menggunakan laman sosial seperti Instagram sebagai “laman web perniagaan” anda. Namun seperti yang disebutkan tadi, ketulenan dan imej anda mungkin akan diragui jika dibandingkan dengan laman perniagaan atas talian yang telah kukuh.
 
Jadi kini anda sudah tahu bagaimana untuk memulakan perniagaan atas talian anda namun perkara rumit selepas itu adalah bagaimana untuk mencapai sasaran pengguna? Bagaimana sebuah perniagaan kecil dalam sebuah negeri yang kecil di Malaysia mampu untuk mencapai sasaran pengguna yang luas seterusnya mendapat pembeli yang besar?
Bagaimana anda mencapai pengguna sasaran anda?
Bagi perniagaan yang kecil, anda mungkin boleh menyertai acara-acara kecil seperti bazaar. Jika anda menjalankan perniagaan di Kuala Lumpur, cuba akan sertai bazaar di kawasan yang masih belum kenal produk anda seperti di Shah Alam ataupun di Cheras. Matlamat anda haruslah untuk mendapat pendedahan produk sebanyak yang boleh. Melalui cara fizikal, anda berpeluang untuk berkenalan dengan pengguna baharu dan bukan semua orang akan membeli belah secara atas talian. Mungkin produk andalah yang membuatkan mereka berhijrah untuk membeli secara atas talian!

Sentiasa pamerkan produk terbaik anda kerana produk anda melambangkan nama anda. Dapatkan maklumbalas daripada pengguna anda. Anda perlu merancang, bertindak dan renungkan “apa yang menjadi dan apa yang kurang menjadi. Apa yang boleh diperbaiki dan apa yang perlu dikekalkan?” Selain itu, penting untuk anda mempunyai sahabat yang anda percayai. Tidak ada siapa yang akan mampu membina sebuah empayar atas talian secara seorang diri.

Cuba untuk banyakkan hebahan mengenai diri anda. Muat naik sekurang-kurangnya satu interaksi setiap hari untuk mengingatkan pengguna anda tentang apa yang anda tawarkan kepada mereka. Anda juga boleh hubungi pihak tajaan dengan orang kenamaan agar mereka dapat kongsi bersama pengikut mereka. Tanyalah mana-mana perniagaan, agak sukar untuk membina rangkaian pengikut daripada kosong untuk tujuan menjual produk. Maka, ambil peluang daripada mereka yang mempunyai rangkaian pengikut sedia ada. Bak kata Dayana Reza “kadang kala, apabila anda menaja 10 kotak kuih kepada orang yang berlainan, satu kotak itu mungkin membawa anda kepada 50 pengguna baharu.”

Nyonya Kain menawarkan tekstil tradisional, pakaian batik dan juga aksesori buatan tangan dengan sedikit sentuhan moden. Mereka mengamalkan polisi sifar bahan buangan dengan memastikan setiap helai fabrik itu digunakan sepenuhnya dalam dompet, kantung dan saku kecil.
Matlamat mereka adalah untuk mengembalikan semula seni dan budaya Malaysia yang terdahulu dalam gaya kehidupan hari ini sekaligus memberi nafas baharu kepada industri tekstil tempatan.
Layari laman NyonyaKain untuk melihat koleksi batik asli mereka.
Copyright © 2023 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service
Ooops!
Generic Popup