Oleh AZMYL YUNOR
Semua artis adalah pencerita. Penceritaan merupakan teras kepada semua jenis seni – ia adalah penghubung yang tidak mengira bentuk kandungan. Setiap orang mempunyai cerita – benar mahupun fiksyen – untuk diceritakan tetapi sejujurnya, bukan semua cerita sifatnya menarik dan selalunya, kegagalan sesuatu cerita itu disebabkan oleh cara persembahannya.
Jadi, inilah tiga petua bagaimana anda boleh bercerita tanpa rasa takut atau hilang semangat:
Tak usah minta ‘kelulusan’
Berusahalah untuk jujur dalam menceritakan kisah yang bermakna tanpa terlalu membelenggu diri atau mengambil berat akan jenis kandungan yang penonton anda impikan. Walaupun memenuhi kehendak khalayak mungkin kelihatan seperti melunaskan ‘kewajipan’ anda, ia sebenarnya seakan-akan tidak berlaku adil dengan mereka.
Percayalah bahawa audiens anda mempunyai intelek dan keupayaan untuk mengikuti kisah anda. Mereka juga bijak dan arif, jadi usahlah ringkaskan cerita anda secara melampau semata-mata untuk menarik perhatian audiens yang berada di ‘aras terendah’. Ingatlah terlebih dahulu bahawa anda juga seorang audiens merangkap penggemar cerita. Perbezaannya sekarang, andalah yang bertindak sebagai tukang cerita. Jangan sia-siakan peluang ini kerana mungkin tiada yang lain. Tugas anda adalah untuk menyampaikan cerita anda sehabis baik dan bukan sebaliknya; oleh itu, jangan mudah alpa dengan pujian atau anugerah yang diperoleh. Anda berada di sini bukan untuk berlumba-lumba dengan orang lain.
Lakukan sekarang
Bak kata pepatah, patah sayap bertongkat paruh. Jangan sekadar bercerita kerana anda mempunyai mikrofon di tangan atau jari anda terletak di atas papan kekunci – ceritakan dengan bersungguh-sungguh. Anggaplah ia seperti berita terkini, walaupun peristiwa itu sudah lama berlaku.
Kesegeraan tidak semestinya bermakna bercerita dengan pantas – ia mengenai bercerita pada waktu sekarang. Gunakan kata kerja aktif dan ayat aktif. Satu perkara yang bukan dalam kawalan kita adalah masa – ia adalah satu keistimewaan yang tidak menunggu sesiapa.
Kuasa seseorang pencerita itu terletak pada keupayaannya untuk merakam detik waktu secara jelas. Kita tidak akan berada di dunia ini selama-lamanya tetapi sesuatu cerita selalunya mempunyai jangka hayat yang lebih lama berbanding sang pencerita. Lihat sahaja jumlah novel, tulisan dan buku-buku tebal dari abad-abad terdahulu yang masih mampu beredar dan bergema.
Cerita mampu mencatat makna bukan sahaja ke atas seseorang individu, malah umur dan jangka hayat kita – setiap satunya membantu dalam memahami dunia di sekeliling kita serta memberikan generasi masa hadapan sekilas cerapan tentang detik sebenar sesebuah cerita.
Fokus dalam pemberitahuan
Lupakanlah niat anda untuk menarik perhatian bakal pembaca anda menggunakan corak perbendaharaan kata yang besar, ataupun melodrama yang semena-mena – kedua-duanya teknik yang digunakan oleh pencerita yang tidak banyak ‘modal’, audiens anda pun mampu mengecam taktik anda selepas sekian lamanya. Sejujurnya, hal yang paling penting adalah BAGAIMANA cerita itu disampaikan dan bukan plot itu sendiri.
Jangka hayat sesebuah cerita selalunya linear – ia mempunyai permulaan, pertengahan dan penghujung yang jelas – tetapi anda boleh memilih untuk menceritakannya secara tidak linear melalui imbasan kembali, sudut pandangan yang berbeza, malah mengehadkan pendedahan plot utama sehingga akhir cerita (atau mendedahkannya lebih awal). Anda boleh menggunakan cara-cara ini dalam pelbagai bentuk penulisan, sama ada untuk lagu, filem atau cerpen.
Anda harus sedar akan reaksi penonton dari awal dan bersedia untuk melakukan penambahbaikan yang sesuai dengan masa dan tempat yang tertentu. Yang penting, personaliti anda sebagai pencerita akan membentuk jangkaan dan penghayatan penonton terhadap cerita yang akan anda sampaikan. Jadi, usahakan personaliti atau watak anda sebagai pencerita dalam usaha menjadikan cerita anda lebih menarik.
Seterusnya: Perbezaan antara 'menghiburkan' dan menjadi seorang 'penghibur'
Azmyl Yunor ialah penyanyi dan penulis lagu dwibahasa, seorang multi-instrumentalis, penerbit, penganjur gig dan ahli akademik yang karyanya diterbitkan dalam bidang pengajian budaya dan kajian muzik popular. Dengan keluaran prolifik dari genre folk ke punk dan seterusnya noise rock (solo dan dengan pelbagai projek bandnya) sejak akhir 1990-an, pemerhatian beliau yang jelas mengenai politik budaya Malaysia kontemporari meletakkan dirinya di arena istimewa persada muzik Malaysia. Dia kerap melewati rantau ini selain aktif sebagai kolumnis bebas, penceramah dan hos radio. Azmyl juga menganggotai Panel Penasihat Industri (Industry Advisory Panel) CENDANA.