Oleh PROF JOSEPH GONZALES
Gambar oleh Shi Chi P'ng
Pemilihan tarian di institusi pengajian tinggi dan pemilihan tarian sebagai kerjaya seringkali membawa kepada persoalan mengenai peluang pekerjaan dan hala tuju yang agak samar. Penulisan ini memberi penjelasan ringkas mengenai ekosistem tarian di Malaysia dan juga peluang serta cabaran yang perlu diambil kira.
Kumpulan yang dibiayai Kerajaan
Kesemua 13 negeri di Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan masing-masing mempunyai satu atau dua organisasi seni profesional. Satu dibawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, manakala yang kedua di bawah kelolaan Kerajaan Negeri. Selain itu, terdapat juga organisasi separa Kerajaan seperti Yayasan Warisan Johor, Kampung Budaya Sarawak dan Yayasan Kebudayaan Dayak. Kebanyakkan daripada organisasi ini memberi fokus kepada tarian tradisional dan berlandaskan semangat Malaysia Truly Asia.
Syarikat swasta dan usahawan hiburan
Malaysia mempunyai industri komersial yang mampan dimana penari freelance dan koreografer diambil mengikut projek. Syarikat seperti ini akan menerima permintaan untuk mengendalikan acara korporat, acara makan malam serta teater, artis rakaman, pameran dan juga produksi pentas bebas. Syarikat televisyen pula akan menerbitkan rancangan-rancangan realiti yang telah menghasilkan sebuah industri yang lumayan buat para penari dan koreografer. Oleh itu, penari boleh mencari pekerjaan dalam produksi teater musikal yang kian berkembang maju.
Syarikat seperti klpac, Enfiniti Productions, Tall Order Productions, Asia Musical Productions, Dama Orchestra dan Pan Productions sering menghasilkan produksi di sekitar Lembah Klang. Namun para penari digalakkan untuk mengasah bakat keusahawanan, pemasaran dan pengurusan bagi kejayaan yang berterusan di dalam bidang ini.