Oleh NICOLE CHANG
Penulisan ini bertujuan untuk membincang dan memberi pencerahan kepada pembaca mengenai NFT berdasarkan temu bual bersama Faris Nasir yang merupakan salah seorang pengasas NFXT, sebuah komuniti di mana karyawan kreatif berkumpul untuk eksperimentasi karya mereka, menimba ilmu dan mendidik masyarakat berkenaan seni digital di Malaysia. Sebelum kita melangkah lebih jauh mengenai NFT, Faris menegaskan bahawa pentingnya untuk menjelaskan terlebih dahulu teknologi yang menyokong urus niaga jual beli NFT.
Teknologi Yang Digunakan
1. Blok Rantai
Teknologi Blok Rantai merupakan prasarana yang menyokong penggunaan matawang digital dalam sistem dunia digital yang tidak berpusat. Ia merupakan sebuah lejar transaksi yang tidak boleh diubah dan reka bentuk pangkalan datanya adalah “append-only”. Ini bermaksud, data baharu boleh ditambah ke atas data yang lama dalam bentuk blok tambahan. Akhirnya, kesemua blok ini akan
NFXT - sebuah komuniti yang menyokong perkongsian ilmu dan penambahbaikan seseorang melalui seni.
dicantumkan dan disimpan kekal di dalam komputer seluruh dunia serta memanfaatkan kriptografi (contoh: aktiviti koding maklumat) untuk menyediakan sebuah mekanisme penyelarasan yang tidak berpusat bagi mengekalkan kesepakatan secara terbuka. Blok Rantai menggalakkan keterbukaan. Tidak ada modifikasi atau manipulasi yang boleh dilakukan tanpa pengesahan secara muafakat dalam rangkaian seluruh dunia. Ia juga dapat mengelakkan perbelanjaan berganda (contoh: sebuah unit matawang yang dibelanjakan lebih daripada satu kali). Rangkaian ini pula perlu mencari muafakat seluruh dunia bagi sesebuah transaksi melalui sistem validasi “peer-to-peer” iaitu pengguna kepada pengguna atau mekanisme muafakat lain seperti Proof-of-Work (PoW) dan algoritma Proof-of-Stake (PoS).
2. Kriptowang
Matawang digital yang menggunapakai teknologi blok rantai adalah kriptowang. Antara contoh kriptowang yang popular digunakan dalam pasaran adalah seperti Bitcoin (BTC), Ethereum (ETH), Solana (SOL), Tezos (XTZ) dan Cardano (ADA). Setiap sistem menyimpan dan mengekalkan sejarah transaksi digital serta maklumat akaun bagi setiap pengguna kriptowang. Setiap pengguna akan menerima sebuah kunci persendirian (kod digital) yang memberi pemilikan dan akses (mengirim atau menerima) kepada jumlah matawang yang dimiliki seperti yang berdaftarkan dalam blok rantai. Jumlah matawang yang dimiliki di dalam blok rantai tidak akan hilang selagi kod kunci persendirian itu disimpan dengan selamat oleh seseorang pengguna. Dompet kripto (contoh: Coinbase, Electrum, Ledger Nano X, Exodus dan sebagainya) merupakan program yang bertujuan untuk membenarkan pengguna menyimpan semua kunci persendirian mereka.
“Jangan sesekali membuat salinan digital atau screenshot kunci persendirian anda bagi mengelakkan sebarang risiko untuk digodam,” pesan Faris. “Anda mungkin perlu mencari laman web pertukaran matawang kripto seperti Binance, KuCoin dan Luno yang membolehkan jual beli matawang kripto. Di laman-laman ini jugalah anda boleh menukarkannya kepada matawang fiat dan juga sebaliknya bagi memasukkan wang ke dalam dompet kripto.”
Non-fungible Tokens (NFTs)
Disokong oleh teknologi blok rantai, NFT telah muncul sebagai sebuah aset digital berbentuk token yang unik dan mengandungi maklumat kriptografi yang boleh dikenalpasti. Ia direkodkan dan disimpan melalui kontrak pintar di dalam blok rantai. Pasaran bagi aset NFT yang lain daripada yang lain ini termasuk ilustrasi, lukisan, skulptur, animasi GIF, muzik, lagu, permainan dan macam-macam lagi telah giat berkembang dalam dunia pemasaran digital. Bakat kreatif dunia termasuk penggiat seni Malaysia, terutamanya yang celik IT kini sedang aktif menceburi potensi pasaran NFT.
Lihat hasil-hasil karyawan NFT yang cukup kreatif @ NFXT
“Semuanya tidak berpusat, menjadikan ia telus. Kes penipuan boleh dikawal kerana ekosistem NFT menghapuskan pecah belah atau orang tengah di antara pengumpul dan artis. Pengumpul boleh mengesahkan ketulenan karya dengan mudah atau secara terus dengan menghubungi artis melalui pautan media sosial yang telah dikongsikan oleh seseorang artis NFT di pasaran tersebut. Pada setiap jualan semula, artis tersebut masih akan terus menerima royalti berdasarkan kadar yang ditetapkan sewaktu karya itu dicetak. Artis seluruh dunia kini semakin akrab untuk berkongsi dan bertukar maklumat serta kenalan di dalam dunia seni NFT,” kata Faris.
Oleh itu, pasaran seni NFT membolehkan bakat seni individu untuk memasarkan karya mereka secara bebas tanpa bergantung kepada pihak ketiga.
Di bawah adalah rujukan yang digunakan untuk petikan di atas dan jika anda inginkan maklumat lanjut
What is Blockchain Technology?
Proof of Work vs Proof of Stake: Which one is better?
What is an NFT? A beginner's guide