Oleh AZMYL YUNOR
Sebagai seorang pengamal seni, khususnya penyanyi dan penulis lagu yang sering belajar secara mandiri atau self-taught (terdapat lebih ramai lagi di luar sana berbanding yang anda tahu), saya perlu rajin memerhati dan pantas menyesuaikan diri; serta belajar dan mencuba perkara yang berkesan buat diri saya.
Satu perkara yang saya dapati menarik tentang kreativiti adalah bagaimana lazimnya kita tidak diajar akan cara-cara untuk menjadi kreatif.
Sebuah aspek penulisan lagu yang sangat saya sukai ialah mengarang lirik. Sebagai penyanyi dan penulis lagu, kata-kata adalah segala-galanya bagi saya dan jika saya tidak berhati-hati, saya mampu merosakkan segala-galanya, bukan hanya lagu saya. Keperibadian dan konsistensi pentas saya serta watak yang saya tampilkan, semuanya akan kelihatan cetek jika kata-kata yang digunakan tidak sepadan.
Berikut adalah beberapa petua mudah untuk membantu anda dalam menghasilkan idea untuk lirik jika anda seorang penyanyi dan penulis lagu yang bercita-cita tinggi, namun mungkin menghadapi kekangan penulisan (writer’s block) yang digeruni:
Diam dan dengar
Umumnya, kita mempunyai kemahiran mendengar yang lemah – walau bagaimanapun, kita mahukan pendengar buat diri sendiri tanpa mendengar dahulu daripada orang lain. Tidak hairanlah bagaimana rata-rata daripada kita mudah kecewa, seterusnya menggunakan media sosial untuk melampiaskan perasaan! Di sekolah, kita diajar untuk berdiam diri, mendengar dan tidak menyoal guru kita. Jadi, punca halangan kolektif ini amatlah mendalam.
Artis yang baik juga seorang pemerhati; golongan ini tidak berusaha keras untuk menjadi subjek utama dalam bual bicara kosong. Sebaliknya, andalah yang memilih untuk melakukan pemerhatian terhadap masyarakat sekeliling; subjek pilihan anda ialah orang lain. Jika anda mendapati diri anda berada dalam kumpulan yang perbualannya rancak semacam, dengar betul-betul. Perhatikan apa yang boleh membuatkan orang lain teruja, takut, malah mengeluh. Idea untuk lagu anda memang ada di mana-mana, menunggu untuk dipetik… syaratnya, anda mesti berikan sepenuh perhatian. Jadi, tingkatkan kemahiran mendengar anda. Apa lagi ya?
Lain kali, apabila anda pergi ke kafe atau restoran kegemaran anda, duduklah berseorangan. Keluarkan fon telinga anda dan pasangkan telinga! Dengarkan perbualan perlahan (kadang-kadang ada juga yang kuat) di sekeliling anda. Ia mungkin barista atau pelayan yang mengulas sesuatu secara santai dengan rakan sekerja atau bos mereka. Mungkin pasangan atau keluarga di sebelah anda sedang bertengkar tentang frappuccino besar yang hendak dipesan. Mungkin juga ada seorang warga digital yang memaksimumkan Wi-Fi percuma sedang dia menyampaikan sesuatu kepada kliennya yang berada di luar negara melalui aplikasi Zoom. Peluang ada di setiap ruang, walaupun sekilas pandang ia kelihatan biasa. Pentingkan juga cara penyampaian, bukan isinya semata-mata.
Gambar oleh Andrea Piacquadio/www.pexels.com
Tuliskan dialog
Saya sering bergurau bahawa sebagai penulis lagu, saya bukanlah menulis lirik, tetapi dialog. Gurauan ini ada benarnya kerana saya mempunyai latar belakang pembikinan filem dan kewartawanan, jadi saya faham akan cara orang bercakap dan berkemahiran dalam mendengar dari orang lain. Jangan sekadar mendengar lagu, perhatikan juga dialog dalam filem atau siri TV kegemaran anda dan seperti yang saya katakan sebelum ini, perbualan yang ada di sekeliling anda. Lirik yang baik bersifat tulen – ia tidak dipaksa atau seperti acuh tidak acuh. Jangan risau, anda tidak perlu menjadi penyair untuk menjadi penulis lirik yang baik. (Walaupun pada pendapat saya, para penyair merupakan penulis lirik yang hebat kerana medium dan konteksnya sahaja yang berbeza!)
Fikirkan tentang latar belakang anda sendiri jika anda tidak dilatih dalam bidang muzik. Adakah terdapat perkataan dan frasa yang sering digunakan dalam bidang kerja anda? Elakkan daripada memilih frasa yang bombastik, walaupun kadangkala gabungan perkataan yang kelihatan pelik menghasilkan lirik yang terbaik (lihat sahaja penyanyi dari Amerika, Meat Loaf dan penggabungan frasanya yang unik).
Walaupun tips ini khusus buat “penulis lagu”, anda masih boleh mencuba walaupun anda menulis untuk medium yang lain, memandangkan syarat/tips ini merujuk kepada isu produktiviti – kegagalan untuk mengarang atau menulis dalam suatu jangka masa yang telah ditetapkan. Ia juga bergantung kepada, di mana anda belajar untuk menulis lagu. Secara umumnya terdapat dua: Falsafah Bob Dylan – “Saya menulis ini dalam masa tiga minit” atau “Pemikiran pertama adalah yang terbaik”; atau Falsafah Leonard Cohen – “Saya mengambil masa enam bulan dan beberapa draf untuk menghabiskan lagu ini” atau “Menulis adalah proses semakan dan menulis semula yang sukar”. Saya tergolong dalam golongan yang pertama.
Kembangkan perasaan cinta terhadap bahasa dalam setiap bentuk medium – secara peribadi saya sukakan bahasa harian atau gaya bahasa pasar kerana sumbernya tidak terhad, sekeliling anda dan ia juga merupakan cara terbaik untuk menghubungkan anda dengan audien kerana mereka sudah biasa menggunakannya hari-hari. Elakkan dari berfikiran sempit.
Penulisan lagu adalah suatu kraf, semakin banyak anda melakukannya, semakin baik penulisan anda nanti. Selamat menggubah lagu!
Azmyl Yunor ialah penyanyi dan penulis lagu dwibahasa, seorang multi-instrumentalis, penerbit, penganjur gig dan ahli akademik yang karyanya diterbitkan dalam bidang pengajian budaya dan kajian muzik popular. Dengan keluaran prolifik dari genre folk ke punk dan seterusnya noise rock (solo dan dengan pelbagai projek bandnya) sejak akhir 1990-an, pemerhatian beliau yang jelas mengenai politik budaya Malaysia kontemporari meletakkan dirinya di arena istimewa persada muzik Malaysia. Dia kerap melewati rantau ini selain aktif sebagai kolumnis bebas, penceramah dan hos radio. Azmyl juga menganggotai Panel Penasihat Industri (Industry Advisory Panel) CENDANA.