Sebagai seorang seniman, tentulah sukar untuk bertahan dengan sendirinya oleh disebabkan sumber yang terhad sebagai individu. Untuk pergi lebih jauh, adalah dinasihatkan untuk mempunyai sesebuah galeri sebagai wakil anda. Galeri mempunyai pelbagai jenis sumber yang boleh membantu anda melonjak lebih jauh dalam kerjaya anda sebagai seniman.
Bilakah waktu yang sesuai untuk mencari perwakilan galeri? Menurut Lim Wei-Ling, pengasas dan pengarah Wei-Ling Gallery, anda seeloknya mencari wakil apabila telah mempunyai beberapa karya yang kuat berdasarkan praktis anda. Pengusaha galeri selalunya akan mendalami praktis seni anda untuk memahaminya dan memutuskan sekiranya karya anda bersesuaian dengan arah yang dibawa galeri. Jadinya, amat penting untuk mempersembahkan beberapa siri karya yang telah anda lakukan untuk mempamerkan julat dan kemahiran anda. Penting juga untuk mempunyai sebuah kenyataan seniman yang mantap untuk memberi lebih keyakinan kepada galeri terhadap praktis anda.
Asal UsulAsal usul (provenance) merupakan catatan tentang pemilikan sesebuah karya seni ataupun antik yang digunakan sebagai panduan kesahihan atau menentukan kualiti karya. Dengan mempunyai perwakilan galeri, setiap karya anda akan mempunyai asal usul yang kuat oleh disebabkan setiap urus niaga yang berjalan di sana akan dicatatkan. Kebolehpercayaan anda sebagai seniman akan meningkat jika anda mempunyai catatan tentang keberadaan karya anda.
Sokongan Dan PembangunanGaleri mempunyai pelbagai sumber yang boleh anda gunakan sekiranya mereka mewakili anda. Lim menyatakan bahawa sebuah galeri yang bagus akan sentiasa menyokong seniman yang diwakilinya ke mana arah yang seniman itu mahu pergi. Ini juga akan secara tidak langsung memberi manfaat kepada galeri itu sendiri. Salah satu cara bagaimana galeri boleh menyokong seniman adalah dengan meningkatkan nama mereka melalui pameran antarabangsa seperti Art Fairs, Bienales dll. Sukar untuk seseorang individu menyertai acara seperti itu kerana pihak pengajur kebiasaannya akan menghubungi galeri untuk mendapatkan seniman.
Arkib dan Dokumentasi
Dokumentasi juga merupakan sebuah praktis yang penting untuk diamalkan oleh seniman. Apabila anda mempunyai perwakilan galeri, setiap pameran yang anda sertai akan dirakam dalam penerbitan seperti katalog pameran. Terdapat juga galeri yang menerbitkan buku tentang perjalanan seniman yang diwakili mereka. Ini tidaklah hanya penting terhadap seniman itu sendiri tetapi juga bermanfaat kepada galeri untuk digunakan sebagai catatan seniman yang mereka wakili.
Kestabilan dan Kawalan HargaRamai seniman melalui kesukaran untuk meletakkan harga karya mereka oleh kerana terdapat pelbagai jenis ciri-ciri yang harus diambil kira. Para pengusaha galeri mahir dalam bidang ini dan boleh memberi panduan tentang bagaimana untuk meletakkan harga karya anda.
Selain daripada itu, jika anda mewakili diri sendiri, mungkin sedikit sukar untuk mengawal harga karya anda kerana ia berdasarkan keadaan ekonomi semasa. Anda mungkin terpaksa membuat jualan langsung menerusi studio dan ini akan memberi kesan terhadap harga karya anda. Jika anda mempunyai perwakilan galeri, sedikit mudah untuk anda mengawal harga karya anda. Galeri juga berkemungkinan mampu untuk memberi dana sebagai bantuan mengharungi kesukaran (jika anda telah diwakili dengan mereka dalam jangkamasa yang lama).
Memasarkan DiriJika anda mempunyai perwakilan galeri, lebih mudah untuk anda memberi tumpuan terhadap penghasilan karya. Anda boleh meletakkan tanggungjawab untuk memasarkan diri anda, juga membuat jaringan yang kuat dan memahami trend pasaran kepada galeri.
Mempunyai perwakilan galeri merupakan matlamat ramai seniman yang ingin meningkatkan karya mereka ke persada yang lebih professional. Terdapat banyak manfaat melaluinya tetapi anda haruslah tidak terburu-buru dalam memilih galeri yang mewakili anda. Latarbelakang galeri dan seniman yang diwakili mereka sebelum ini haruslah diambil tahu supaya karya anda tepat dengan citarasa galeri tersebut.
Selain daripada itu, terdapat juga orang yang ingin mengambil kesempatan terhadap seniman yang kurang pengalaman jadi, jika anda diberikan sebarang perjanjian untuk ditandatangani; seeloknya anda mengambil sedikit masa untuk tahu lebih lanjut tentang perjanjian tersebut dan mendapatkan nasihat daripada orang yang lebih arif tentang perihal ini untuk mengelakkan diri anda terperangkap dalam perjanjian yang tidak adil.
Ingin tahu lebih lanjut? Tonton Lim Wei Ling daripada Wei-Ling Gallery berkongsi pendapat beliau tentang galeri seni dan kepentingan mereka