Nak dapatkan geran?
Oleh SOFIA AMANEE

Setiap hari, pembiaya korporat dan peribadi menerima pelbagai permohonan geran dan tajaan. Bagi seorang pemohon, menantikan keputusan antara permohonan berjaya ataupun tidak adalah sesuatu yang membimbangkan dan membuat mereka tertekan. Jika anda pernah terfikir bagaimana cara untuk membuat para pembiaya ini memilih projek anda, usah khuatir. Kami kongsikan cara-caranya.

Penerima dana Cendana Wendy Teo, seorang arkitek bertauliah dan pengasas Borneo Laboratory kini berkongsi tips dan nasihat bagaimana anda boleh menghasilkan sebuah kertas cadangan yang kuat dan mempunyai peluang besar untuk meraih dana. Bersertakan peralatan dan matlamat yang jelas, anda boleh memberi sebuah penyertaan yang hebat dan mampu meningkatkan peluang untuk berjaya.

Sedikit perkongsian cepumas:

Pastikan ada mesej untuk disampaikan? Gunakan bahasa yang mudah difahami

Tips no.1 - Jelas dengan mesej atau buah fikiran anda. "Kebiasaannya, peringkat percambahan buah fikiran mana-mana hasil kreatif masih lagi belum kukuh dan dalam fasa penerokaan," kata Teo, tetapi penulisan yang rumit boleh menyebabkan para pembiaya gagal memahami tujuan projek anda.

Jadi, hasilkan sesuatu yang mudah difahami oleh para pembiaya dalam cara pembentangan yang mesra. Jika anda risau sama ada kertas kerja anda bakal difahami atau tidak, tanya kepada rakan dan kenalan yang berbeza adakah mereka faham segala buah fikiran yang ada di dalam kertas kerja anda. Teo juga menitikberatkan kepentingan dalam pengkhususan sebuah permohonan.

Selain daripada mempunyai mesej yang betul apabila memohon kepada pembiaya, "Anda perlu membina suara anda untuk meyakinkan mereka bahawa anda adalah orang yang terbaik untuk projek yang anda cadangkan," tambah Teo. Anda mungkin mempunyai pelbagai buah fikiran untuk dikongsikan namun kata beliau, pilihlah yang terbaik untuk dipersembahkan. Anda perlu fikir masak-masak dan mendapatkan gambaran sebenar berkenaan proses dan peralatan yang bakal digunakan untuk meyakinkan para pembiaya apa yang boleh tercapai.
Teo berkongsi proses seni beliau yang ringkas dan padat untuk mendapat kesan yang lebih hebat.
Ambil masa untuk mencari mesej yang terbaik untuk hasil kerja anda

Sebarang hasil seni atau hasil kreatif tanpa sebuah mesej yang kuat dan jelas adalah tidak bermakna, kata Teo. Jadi apabila anda sedang memohon pembiayaan, kertas kerja anda perlulah tulen, bermakna agar pembiaya dapat rasakan semangat serta keghairahan anda dalam menjayakan projek ini. Tunjuk dan buktikan kepada para pembiaya bahawa buah fikiran anda istimewa dan berbaloi untuk masa dan wang ringgit mereka.

Mengikut Teo, meniru hasil seni orang lain adalah sebuah jalan mati, jika anda benar-benar ingin kekal lama di dalam kerjaya seni. Pentas seni ini berdasarkan merit dan orang akan mengingati hasil seni yang baik. Pastikan permohonan anda dikuatkan dan disokong oleh bukti kerjaya seni anda dan bukan orang lain. Tenang dalam menyampaikan mesej dan buah fikiran anda, dan biarkan ia bercambah dalam pelbagai bentuk.

Projek Teo telah memberi manfaat kepada komuniti Borneo.
Sertakan sebuah kenyataan visi atau misi bagi projek anda

Para pembiaya mungkin lebih berminat untuk mengetahui cara bagaimana anda ingin menghasilkan projek anda lebih dari yang anda sangkakan. Mereka ingin ketahui perjalanan projek yang telah anda lalui, apa yang masih ingin dicapai, siapa pereka projek yang merancangnya atau dimanakah projek ini pada hari ini dan dimanakah projek ini bakal berada pada masa akan datang.

Jadi, Teo menitikberatkan bahawa amat penting untuk mempunyai sebuah pengenalan projek yang umum, ringkas dan padat. Anda boleh mengulas lebih mendalam berkenaan garis masa projek itu apabila diperlukan. Lampirkan sekali perjalanan anda dalam projek berkenaan dan bagaimana anda ingin sampaikan projek ini kepada khalayak ramai. Bentangkan secara jelas apakah hasil yang para pembiaya dan khalayak ramai boleh jangkakan daripada projek ini.

Berbeza pula bagi pembentangan video anda - pilih sebuah cerita yang ringkas untuk menceritakan projek anda. Ini dapat memudahkan mereka untuk menerima dan memahami projek anda.

Wendy Teo Butterflygarden
Maklumkan perkembangan anda kepada pembiaya

Benar, penyerahan permohonan dan mengenalpasti kaedah terbaik untuk permohonan anda mungkin mengundang kerisauan tetapi jangan terlalu risau dan merumitkan diri anda. "Jika anda rasakan kertas kerja anda mengelirukan atau terlampau luar biasa, anda mungkin boleh membuat perundingan bersama organisasi berkenaan dan menjelaskan masalah yang anda hadapi," galak Teo. Kebanyakan pembiaya sentiasa bersedia untuk membantu anda. Selain itu, maklumkan perkembangan anda kepada mereka atau jika terdapat sebarang perubahan, agar para pembiaya dapat membuat jangkaan apa dan bila hasil kerja anda akan siap dan sedia untuk dipertontonkan.


Wendy Teo merupakan seorang arkitek bertauliah, pengasas dan kurator Borneo Laboratory. Teo telah memohon sebuah projek pembiayaan seni visual individu iaitu Create Now 1.0 dibawah CENDANA. Beliau berkongsi bahawa penerimaan pembiayaan ini sememangnya pembakar semangat untuk menterjemah dan membangunkan sembilan daripada hasil lukisan tangan beliau kepada sebuah pengalaman 3Dimensi. Dengan adanya pembiayaan ini, Wendy mampu bekerja dengan lebih serius untuk menterjemahkan hasil seninya ke tahap yang lebih tinggi. Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan Wendy Teo, sila layari laman sesawangnya: https://wendyteo.com/
Copyright © 2023 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service
Ooops!
Generic Popup