Pelbagaikan lirik anda

Oleh AZMYL YUNOR

Diversiti sudah pun menjadi seakan kata kunci hangat pada masa kini sehingga kita mudah terlupa akan ertinya yang sebenar: kepelbagaian. Walaupun sebagai rakyat Malaysia kita bangga dengan adanya "pelbagai masakan dan budaya", malangnya ada satu bidang yang kita masih ketinggalan dalam soal kepelbagaian, iaitu lagu.

Saya tidak berminat dengan perbezaan dalam jenis genre muzik. Sebaliknya, saya ingin memberikan sedikit perhatian kepada kepelbagaian subjek berkaitan penulisan lagu.

Dengan adanya platform penstriman dalam talian serta senarai main yang "tersusun sedia" (curated) oleh robot berdasarkan tabiat mendengar anda, adalah amat sukar sebagai seorang penulis lagu untuk berfikir di luar kotak dan kemudian berasa puas hati. Seakan memakan hidangan yang sama setiap hari, diet anda wajar diperhalusi: wujudkan kepelbagaian atau hadapilah kekurangan zat makanan.

Berikut adalah beberapa petua tentang cara menambah kepelbagaian dalam penulisan lagu anda (juga mana-mana penulisan kreatif lain) selain daripada lagu biasa… [menguap] tentang cinta.

Gambar oleh Calum MacAulay/Unsplash


Berita sebagai titik permulaan kreatif

Sebelum apa-apa, masa untuk satu pengakuan: Saya gilakan berita. Saya suka bagaimana ia mampu memberikan anda suatu versi ringkas kehidupan seharian. Kehidupan seharian lebih menarik daripada mana-mana fiksyen! Saya berdiri teguh dengan mantra ini. Malah, setiap orang boleh tampil menarik dengan cara mereka sendiri sekiranya diletakkan di bawah mikroskop.

Banyak lagu, cerita dan filem hebat direka berdasarkan berita yang kelihatan biasa pada pandangan pertama. Berbekalkan daya imaginasi, seseorang boleh memanfaatkan berita sebagai titik permulaan kreatif untuk memulakan perbualan dalaman atau pertanyaan demi mencipta momentum untuk menemui topik baharu yang mungkin menarik minat anda.

Mungkin jua ianya isu politik atau alam sekitar tetapi apa-apapun, lagu seperti ini cenderung untuk digelar lagu topikal kerana ia membincangkan peristiwa spesifik yang berlaku pada masa dan tempat tertentu. Ia lebih dekat dengan penonton atau pendengar anda, serta menghasilkan senda gurau yang lebih menarik daripada ungkapan "...Jadi saya menulis lagu ini selepas saya berpisah dengan teman lelaki/teman wanita saya…."

Selain itu, berita adalah percuma. Semua orang pun suka barangan percuma, bukan?

Hentikanlah tabiat

Manusia merupakan makhluk cenderung tabiat (creatures of habit), bilamana tabiat mampu menghibur dan memberikan kita rasa adanya rutin (ini sesuatu yang penting). Jika anda ingin membuka diri anda kepada pengalaman dan idea yang baharu, hentikanlah tabiat anda sekali-sekala.

Sekiranya tabiat anda ialah menulis lagu cinta dalam kord minor atau dalam Bahasa Inggeris – cabar diri anda untuk keluar dan mencuba sesuatu yang baharu atau berbeza; anda akan terkejut dengan hasilnya.

Bahasa Inggeris adalah bahasa awal yang saya gunakan untuk mengarang lagu tetapi sejak saya mula menulis dalam bahasa Melayu, saya menyedari bahawa topik-topik saya juga berubah. Beberapa peminat juga mengatakan lagu-lagu tersebut dekat dengan diri mereka pada tahap yang berbeza berbanding karya saya dalam bahasa Inggeris.

Disebabkan rata-rata rakyat Malaysia merupakan poliglot (seorang yang tahu dan boleh menggunakan beberapa bahasa) hasil pelbagai latar belakang budaya dan pengalaman, anda mempunyai lebih alasan untuk mencampurkan kesemuanya! Mengapa tidak masukkan sahaja dua atau tiga bahasa dalam satu lagu, sepertimana cara kita bercakap dalam kehidupan seharian? Jangan biarkan piawaian atau norma "profesional" dalam industri muzik menyekat pengkaryaan sesebuah lagu – buangkan sahaja tabiat ini.


Dengarkan apa yang dikata

Satu klise yang diabadikan oleh media dan budaya popular berkaitan menjadi seorang artis adalah bagaimana kami suka menjadi pusat perhatian. Dalam kebiasaannya, sifat karya seni atau persembahanlah yang menuntut keperluan perhatian dan bukan keinginan semula jadi artis itu sendiri.

Artis yang baik harus menjadi pendengar yang baik – mereka tidak menyampuk dalam perbualan bersahaja demi membuktikan sesuatu tanpa sebab seperti kebanyakan orang; mereka harus berdiam diri tetapi berminat dalam memerhatikan bagaimana dan apa yang sering diperkatakan. Perhatikan topik, cara orang lain bertindak balas atas percakapan yang menyusul, bagaimana mereka bertindak balas terhadapnya, kemudian ekspresi dan bahasa badan (body language) mereka.

Kesan sampingan yang positif juga ketara dalam hal ini: Anda akan kelihatan seperti anda benar-benar berminat dengan sesuatu perbualan (ini bukanlah satu keperluan) dan anda mungkin mempelajari sesuatu yang baru atau bahkan gosip terkini (walaupun anda tidak mahu tahu!). Mendengar dari orang lain juga akan menghadirkan rasa empati – dan inilah nadi yang menghubungkan seseorang artis dengan penontonnya.

Seterusnya: Azmyl menasihati "Bercerita biarlah nyata” 



Azmyl Yunor ialah penyanyi dan penulis lagu dwibahasa, seorang multi-instrumentalis, penerbit, penganjur gig dan ahli akademik yang karyanya diterbitkan dalam bidang pengajian budaya dan kajian muzik popular. Dengan keluaran prolifik dari genre folk ke punk dan seterusnya noise rock (solo dan dengan pelbagai projek bandnya) sejak akhir 1990-an, pemerhatian beliau yang jelas mengenai politik budaya Malaysia kontemporari meletakkan dirinya di arena istimewa persada muzik Malaysia. Dia kerap melewati rantau ini selain aktif sebagai kolumnis bebas, penceramah dan hos radio. Azmyl juga menganggotai Panel Penasihat Industri (Industry Advisory Panel) CENDANA.

Copyright © 2023 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service
Ooops!
Generic Popup