Perlukan dana?

Japan Foundation Kuala Lumpur

Apakah projek yang ditanggung oleh JFKL?
Yayasan Jepun Kuala Lumpur menawarkan geran bagi projek-projek yang mempromosikan budaya Jepun di Malaysia. Mereka menawarkan geran perkongsian kos; jadi mereka tidak membiaya keseluruhan projek dan anda masih perlu mencari sumber dana lain.

JFKL menawarkan geran kepada tiga kategori projek iaitu:
Kategori A: Projek berkenaan Jepun dalam bidang Seni dan Kebudayaan Jepun / Pengajian Jepun dan Penukaran Intelek
Projek seperti pameran seni, tayangan filem atau persembahan berkaitan budaya Jepun juga termasuk di dalam kategori ini. Anda boleh mencadangkan sebuah projek seperti menjemput artis Jepun untuk datang ke Malaysia bagi aktiviti promosi budaya Jepun. Selain itu, anda juga boleh menjemput para cendekiawan, ahli falsafah atau seseorang pakar dari Jepun bagi mengadakan sebuah persidangan, simposium atau seminar.

Kategori B: Kerjasama Budaya
Kategori ini memberi fokus kepada projek kerjasama antara Malaysia dan Jepun. Program pertukaran juga tergolong di dalam kategori ini.

Kategori C: Projek berkenaan Pendidikan Bahasa Jepun
Kategori ini mungkin tidak berapa sesuai dengan anda kerana ia lebih memberi fokus terhadap pembangunan bahasa dan kebiasaannya diberikan kepada organisasi seperti sekolah, institusi pendidikan atau perpustakaan. Mereka yang layak menerima geran dalam kategori ini termasuk latihan tenaga pengajar bahasa Jepun, perolehan bahan-bahan Jepun untuk perpustakaan atau pusat sumber.

Berapakah jumlah dana yang dikeluarkan oleh JFKL?

Kategori A: Sehingga RM14,000
Kategori B: Sehingga RM30,000
Kategori C: Sehingga RM8,000

Apakah keperluannya?
Bagi Kategori A dan B, pemohon mestilah daripada Malaysia, Singapura atau Brunei. Kategori C adalah dikhaskan bagi institusi yang menyediakan pendidikan bahasa Jepun di Malaysia. Anda perlu menjadi sebuah organisasi berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mempunyai sebuah akaun bank di bawah nama organisasi anda. Geran ini tidak dibuka kepada individu.

Bagaimana cara untuk memohon?
Permohonan bagi geran ini dibuka sepanjang tahun namun perlu diserahkan tiga bulan sebelum majlis bagi acara fizikal dan satu bulan sebelum majlis bagi acara atas talian untuk Kategori A dan B.

Kami kongsikan langkah-langkah membuat permohonan:

  1. Muat turun Senarai Semak Kelayakan untuk semak sama ada projek anda memenuhi kesemua syarat kelayakan bagi geran tersebut.
  2. Jika anda layak, muat turun borang permohonan dan penuhkan borang tersebut. Permohonan kewangan juga termasuk dalam borang ini.
  3. Serahkan borang ini melalui surat, e-mel atau temu janji di JFKL. Penyerahan melalui e-mel perlu diikuti dengan penyerahan dokumen asal di pejabat JFKL.

Maklumat sokongan
Selain daripada borang permohonan, anda juga perlu menyerahkan dokumen sokongan seperti:
  • Senarai Semak Kelayakan
  • Cadangan projek yang teliti
  • Maklumat berkenaan organisasi anda
  • Sijil pendaftaran organisasi anda
  • Maklumat atau latar belakang kesemua yang terlibat di dalam projek anda
  • Perjanjian di antara semua yang terlibat di dalam projek tersebut
  • Sebut harga seperti cadangan permohonan anda

Pemberitahuan Keputusan
Permohonan bagi projek fizikal dan “hybrid” bagi Kategori A, B dan C akan menjalani proses saringan dan keputusannya akan diberikan 30 hari selepas tarikh penyerahan lengkap kesemua dokumen. Keputusan bagi projek atas talian Kategori A dan B akan dimaklumkan selepas 14 hari daripada tarikh penyerahan lengkap kesemua dokumen.

Pembayaran Geran
Pembayaran bagi permohonan yang berjaya Kategori A dan B akan dibuat dalam dua bahagian. 50% yang pertama akan diberikan 30 hari selepas penyerahan Notis Penerimaan dan borang Permohonan Pembayaran.
Bahagian kedua pembayaran akan diberikan selepas anda kemukakan Laporan Projek, Laporan Kewangan dan dokumen sokongan yang lain. Jika perbelanjaannya kurang daripada jumlah dalam kertas cadangan anda, JFKL hanya akan membuat bayaran mengikut jumlah tersebut.

Laporan
Anda perlu menyerahkan laporan kepada JFKL sebelum pembayaran kedua diberikan kepada anda. Jangan terlalu risau apabila membuat laporan tersebut kerana kesemua format laporan akan diberikan oleh JFKL.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan diluar tatacara yang disebutkan ini, anda boleh hubungi JFKL di:

The Japan Foundation, Kuala Lumpur, Mid Valley City, Kuala Lumpur
Tel: 03-2284 6228/7228 Fax: 03-2287 5859
E-mail: grant@jfkl.org.my


Yayasan Hasanah

Apakah projek yang ditanggung oleh Hasanah?
Yayasan Hasanah (Hasanah) merupakan sebuah yayasan yang memberi fokus kepada pembangunan perpaduan sosial di Malaysia dengan mempertingkatkan kemampuan manusia sambil memelihara aset budaya dan alam semula jadi. Terdapat lima tunjang utama dan salah satu daripadanya adalah "Seni dan Ruang Awam". Bagi tahun 2021-2025, tunjang ini memberi keutamaan kepada pemuliharaan aset Seni, Warisan dan Budaya atau Art, Heritage and Culture (AHC) terutamanya tekstil. Hasanah juga mengadakan festival tahunan Arts for All Seasons (ArtsFAS) yang mempromosikan seni.

Bagi pemulihan aset AHC, sejumlah empat projek yang layak menerima geran:
  • Penyelidikan dan dokumentasi bagi landskap tekstil Malaysia
  • Pembangunan dan pengasuhan bakat
  • Kesedaran dan penghargaan melalui bengkel atau pameran
  • Pengukuhan keseimbangan ekonomi melalui pembangunan pasaran

Arts for All Seasons, atau ArtsFAS merupakan antara usaha baharu oleh Hasanah untuk menjadikan seni lebih didekati oleh masyarakat. Antara matlamatnya adalah untuk tingkatkan kesedaran dan penghargaan terhadap seni seperti Wayang Kulit, Persembahan Opera Teochew dan tarian klasik India. Jika projek seni anda sesuai dengan kriteria kategori di atas, anda boleh memohon untuk geran ini.

Selain itu, projek anda haruslah memaparkan:
  • Kesesuaian kepada penerima;
  • Kemampuan untuk menghasilkan pengeluaran (jangka masa pendek), keberhasilan (jangka masa sederhana) dan keberkesanan (jangka masa panjang);
  • Kemampuan untuk berdaya tahan; dan
  • Kemampuan untuk dipertingkatkan, dikembangkan atau diperbanyakkan di tempat lain atau penerima lain.

Berapakah jumlah pendanaan yang disediakan oleh Hasanah?
Had bagi dana yang boleh diberikan adalah RM2 Juta sepanjang tiga tahun. Projek yang mempunyai jangka masa lebih pendek akan terima jumlah yang lebih kecil.

Apakah syarat-syaratnya?
Anda mestilah sebuah organisasi yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Registrar of Societies (RoS) dan telah beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.

Akaun kewangan organisasi anda perlu diaudit selama dua tahun berturut-turut (sepanjang tiga tahun yang lalu); atau anda mempunyai salinan resit pengiktirafan penyerahan laporan tahunan selama dua tahun kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) atau salinan penyerahan cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Bagaimana cara memohon?
Geran Hasanah dianugerahkan sekali setahun dan permohonan dibuka pada bulan November manakala keputusannya pada bulan April tahun berikutnya. Kesemua permohonan dibuat melalui laman web Hasanah.

Penilaian Kelayakan
Layari laman web geran Hasanah dan turun ke bahagian Penilaian Kelayakan.

Isi kesemua maklumat yang diperlukan dan sertakan sijil pendaftaran organisasi anda termasuk akaun kewangan dua tahun terakhir yang telah diaudit.
Selepas selesai permohonan anda, serahkan kepada Hasanah.

Kebiasaannya penilaian permohonan anda akan mengambil masa selama 1 hingga ke 3 hari dan anda akan menerima e-mel apabila permohonan anda telah diluluskan. Pautan ke langkah seterusnya akan disertakan di dalam e-mel anda.

Menghasilkan sebuah Profil Organisasi

Selepas anda berjaya melepasi Penilaian Kelayakan dan telah klik pautan yang telah disediakan di dalam e-mel, anda akan dibawa ke laman web permohonan geran Hasanah di mana anda perlu mendaftarkan sebuah akaun. Di sini anda perlu menghasilkan sebuah profil organisasi.

Menyiapkan Permohonan Geran
Akhir sekali, anda boleh meneruskan permohonan geran. Klik butang Mula di bahagian Permohonan Geran dan isikan maklumat anda, kemudian tekan submit (hantar).

Pengumuman Keputusan
Terdapat dua pusingan penilaian sebelum permohonan anda berjaya.

Pusingan 1: Jawatankuasa Geran Yayasan Hasanah akan menilai dan senarai pendek semua permohonan. Mengikut pemerhatian sebelum ini, perkara ini selalunya berlaku pada minggu kedua bulan Mac.

Pusingan 2: Selepas senarai pendek, Yayasan Hasanah akan mengadakan penyemakkan terhadap permohonan yang berjaya sebelum pilihan yang muktamad. Pemohon yang berjaya kebiasaannya akan diumumkan pada minggu terakhir bulan Mac.

Dokumen Sokongan
Selain daripada borang permohonan yang ada di laman web, anda juga perlu sertakan dua dokumen sokongan dalam permohonan anda: Pelan Pelaksanaan dan Rangka Belanjawan. Kedua-dua ini boleh didapati di laman web.


Yayasan Sime Darby

Apakah projek-projek yang ditanggung oleh YSD?
Yayasan Sime Darby menawarkan geran kepada organisasi yang selari dengan lima tunjang utama mereka - Pendidikan, Persekitaran, Sukan, Masyarakat serta Seni & Budaya. Sejak 2009, YSD telah mengeluarkan sebanyak RM27.95Juta kepada tunjang Seni & Budaya.

YSD menaja projek yang mampu berkekalan walaupun selepas tamat geran, mempunyai impak meluas terhadap masyarakat, kritikal terhadap persekitaran dan mempunyai matlamat yang jelas dan boleh tercapai. Selain itu, organisasi anda juga perlu mempunyai pasukan yang kuat dan pengurusan sumber kewangan yang kukuh dan telus serta senang bekerjasama.

Skop tumpuan YSD bagi Seni & Budaya adalah seperti berikut:
Kelestarian Seni, Budaya dan Warisan Malaysia - Pemuliharaan, Pemeliharaan serta Hebahan seni Malaysia yang boleh disentuh dan tidak boleh disentuh

Sokongan Seni dan Budaya
1. Hasil kreatif artis Malaysia bertaraf antarabangsa
2. Menyediakan platform bagi artis baharu

Pembangunan Permintaan Seni
1. Menyediakan akses kepada Seni
2. Penerbitan, penyelidikan dan dokumentasi

Pendidikan Seni dan Pemerkasaan
1. Bantuan pendidikan bagi pembangunan seni
2. Hebahan Seni untuk masyarakat yang lebih baik
3. Menyediakan platform kerjasama untuk peluang yang lebih baik

Berapakah jumlah dana yang dikeluarkan oleh YSD?
Tidak dinyatakan jumlah maksima, namun berdasarkan laporan tahunannya, YSD telah menyokong beberapa projek dan acara yang berskala besar. Antara projek jangka masa panjangnya adalah:

Pemuliharaan The Royal Press: YSD telah menaja pemuliharaan Bangunan Royal Press berjumlah RM3.11Juta dalam jangka masa enam tahun daripada 2014 hingga 2021.

Hubs for Good: Bekerjasama bersama British Council Malaysia dan Universiti Malaya, Yayasan Sime Darby telah memberikan RM400,000 bagi sebuah program tiga tahun yang merangkumi membaik pulih bangunan, platform rangkaian digital dan pemetaan serta penyelidikan had kreatif.

Apakah syarat-syaratnya?
Anda mestilah sebuah organisasi yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Registrar of Societies (RoS) dan telah beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.

Akaun kewangan organisasi anda perlu diaudit selama dua tahun berturut-turut (sepanjang tiga tahun yang lalu); atau anda mempunyai salinan resit pengiktirafan penyerahan laporan tahunan selama dua tahun kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) atau salinan penyerahan cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Bagaimanakah cara memohon?
Permohonan dibuka sepanjang tahun dan anda boleh merancang permohonan anda mengikut penilaian suku tahunan mereka:

  • Bagi permohonan yang mensasarkan untuk dinilai/diluluskan pada akhir Februari, serahkan permohonan pada akhir Oktober tahun sebelumnya
  • Bagi permohonan yang mensasarkan untuk dinilai/diluluskan pada akhir Mei, serahkan permohonan pada akhir Januari
  • Bagi permohonan yang mensasarkan untuk dinilai/diluluskan pada akhir Februari, serahkan permohonan pada akhir April
  • Bagi permohonan yang mensasarkan untuk dinilai/diluluskan pada akhir Februari, serahkan permohonan pada akhir Julai

Anda boleh memohon geran melalui lama web Yayasan Sime Darby dan permohonan anda perlu disertakan dengan:

Rancangan Projek: Rancangan projek adalah dokumen fokus utama yang penting untuk anda dan terdapat garis panduan di laman web YSD sebelum sebelum butang aplikasi permohonan.

Pengumuman Keputusan
Proses penilaian dan kelulusan boleh mengambil masa sehingga tiga bulan selepas tarikh tutup penilaian suku tahunan dan jika mereka ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan projek anda, YSD akan menghubungi anda dalam masa 45 hari.
Permohonan yang berjaya akan dihubungi melalui telefon dan e-mel untuk langkah seterusnya manakala permohonan yang tidak berjaya akan dimaklumkan melalui alamat e-mel yang disediakan pada borang permohonan.

Penyaluran Dana
Pemohon yang berjaya akan menerima tajaan berperingkat dengan jadual yang telah dipersetujui sebaik sahaja menerima dokumen sokongan.

Penyerahan semula Rancangan Projek bagi Pemohon Yang Tidak Berjaya
Rancangan projek yang tidak berjaya tidak dibenarkan untuk memohon selama enam bulan berikutnya, manakala pemohon yang tidak berjaya boleh memohon untuk projek yang lain tanpa sebarang tempoh bertenang.

Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut boleh didapati pada bahagian FAQ pada laman web YSD atau anda boleh hubungi 03 7623 7111.


Krishen Jit Fund

Apakah projek yang ditanggung oleh KJF?
Kini berada pada tahun ke-16, Krishen Jit Fund diuruskan oleh Five Arts Centre bagi menyokong kerja-kerja keperluan bagi ahli seni di Malaysia. KJF menanggung projek seperti:

  • Bengkel
  • Penempatan / Residen
  • Ujian produksi
  • Penyelidikan dan dokumentasi
  • Penulisan
  • Penghasilan karya baharu dalam muzik, tarian, teater, penulisan, filem, visual / seni persembahan

Berapakah jumlah dana yang diberikan?
Dana yang dikeluarkan oleh KJF adalah berdasarkan rancangan projek anda namun purata julat bagi jumlah yang diberikan pada tahun 2021 adalah daripada RM1,000 hingga RM20,000. Projek yang memberi fokus kepada Malaysia diberi keutamaan.

Apakah syarat-syaratnya?
Berbeza dengan tiga pembiaya yang disebut awal tadi (dimana anda perlu berdaftar dengan Ros atau SSM dan menyediakan akaun yang diaudit), KJF terbuka kepada semua anak seni di Malaysia dan pemilihan dibuat berdasarkan CV yang dimuat naik pada proses permohonan.

Bagaimanakah cara memohon?
Pusingan 2021 telah tamat namun dana ini ditawarkan pada setiap tahun dan anda perlu sentiasa peka akan tarikh tutup permohonan ini pada laman web Five Art's Centre. Mengikut pengurus dananya Marion D'Cruz, kebiasaanya mereka akan membuat hebahan permohonan pada setiap awal bulan Jun.

Prosedur langkah demi langkah disertakan pada laman web mereka. Permohonan lengkap kemudian boleh dihantar melalui surat atau e-mel kepada:
Five Arts Centre, 27 & 27A Lorong Datuk Sulaiman 7, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Atau e-emel kepada: fiveartscentre@gmail.com

Pengumuman Keputusan
Pengumuman kebiasaannya berlangsung selama dua bulan sehingga akhir bulan Julai. Permohonan yang berjaya dan tidak berjaya akan dimaklumkan (kebiasaannya) pada bulan Oktober (dua bulan selepas tarikh tutup).
Anda juga perlu ambil maklum bahawa penerima yang berjaya menerima Krishen Jit Fund tidak layak memohon geran tersebut selama dua tahun selepas itu.

Penyaluran Dana
Sebahagian daripada dana tersebut akan diberikan sebaik sahaja menandatangani Surat Perjanjian manakala bakinya akan disalurkan sebaik sahaja tamat projek dan laporan akhir diserahkan.



Copyright © 2023 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service
Ooops!
Generic Popup