Profil Seniman & Penulisan CV / Resume
Oleh DANIAL FUAD

Dalam dunia seni, CV ataupun resume merupakan sebuah dokumen yang akan diberikan kepada pemilik galeri, kurator dan rakan kerjasama. Ianya penting kerana terkandung di dalamnya aktiviti yang telah anda lakukan sepanjang kerjaya anda sebagai seniman seperti pameran yang disertai, program seniman tamu dan senarai orang yang mengumpul karya anda.

Kepentingan
CV anda penting kerana ia merupakan pintu masuk kepada kerjaya anda. Selain daripada melihat karya anda, orang akan membaca CV juga untuk mengetahui lebih lanjut tentang anda sebelum membuat keputusan untuk bekerjasama.

“Kebanyakkan pemilik galeri sangat sibuk dan CV yang padat dan bagus amatlah penting kerana ia merupakan perkara pertama yang dilihat orang ramai sebelum membuat kerjasama bersama anda,” katakan Kenny Teng, pemilik Galeri G13.

Struktur

Nama, Tarikh Lahir, & Tempat Lahir

Ini adalah perkara pertama yang anda patut masukkan dalam CV dan merupakan permulaan dokumen anda.

Anda boleh menggunakan nama komersial anda (tambahan daripada nama penuh) supaya lebih senang dikenali dan dengan meletakkan tarikh lahir, lebih senang bagi orang melihat prestasi anda berdasarkan umur.

Tempat lahir diletakkan sekali supaya orang tahu asal anda dan fakta ini penting kerana sesetengah program seniman tamu hanya akan menerima seniman dari sesetengah negara sahaja.

Contoh:
Danial Fuad; 1945; Kuala Lumpur, Malaysia.


Pendidikan
Bahagian seterusnya adalah tahap pendidikan anda. Ini selalunya digunakan untuk mengukur tahap pemikiran dan pemahaman tentang praktis anda dengan merujuk kepada jurusan yang diambil. Secara ringkas, ini bermaksud kemajuan artistik atau akademik anda digunakan sebagai penanda aras kraf dan kemampuan anda.

Struktur menulis pendidikan bermula dengan tahun anda tamat pengajian, kemudian sijil yang diterima dan diakhiri dengan tempat belajar anda. Usah gusar jika anda merupakan seniman yang belajar sendiri (self-taught) kerana anda boleh juga meletakkan tahun anda bermula membuat karya di dalam bahagian ini. Bermula dengan sijil yang tertinggi dan akhiri dengan yang paling rendah anda terima (contoh: diploma) kerana di situ merupakan titik permulaan pembelajaran seni yang lebih tertumpu.

Contoh:
2008 Ijazah Sarjana Muda, (Kepujian), Universiti Sains Malaysia, Penang, Malaysia.

Anugerah dan Program Seniman Tamu
Selepas latar belakang akademik, bahagian seterusnya dalam CV anda memaparkan anugerah yang telah anda terima dan/atau sebarang program seniman tamu yang telah anda sertai. Selalunya dua perkara ini digabungkan sekali tetapi jika anda mempunyai lebih dari 10 aktiviti untuk setiap bahagian, lebih baik ia dibahagikan kepada dua.

Butiran ini memaparkan berapa banyak anugerah yang telah anda perolehi. Ia merupakan salah satu aspek penting dalam CV anda kerana ia sering dititikberatkan apabila seseorang mengkaji anda. Program seniman tamu kebiasaannya memperluaskan pandangan anda sebagai seniman dan mengajar anda berkerjasama dengan orang lain. Dengan menyertai banyak program seniman tamu, ini menunjukkan keupayaan anda untuk belajar.

Contoh:
2016 Pemenang; Bakat Muda Sezaman, Balai Seni Lukis Negara; Kuala Lumpur, Malaysia
2009 Seniman Tamu, Rimbun Dahan; Selangor, Malaysia


Pameran Tunggal
Dibandingkan dengan pameran berkumpulan, pameran tunggal lebih dianggap penting kerana pameran itu lebih berfokuskan tentang anda sahaja. Secara kebiasaan, pameran tunggal dibuat setelah anda selesai mempelajari sesebuah subjek dan bertindak sebagai kesimpulan kajian anda ataupun sebagai sebahagian cara mempamerkan karya-karya terbaru anda (jika anda merupakan seniman yang lebih senior). Galeri jarang untuk mengadakan pameran tunggal dan jika anda mempunya beberapa sepanjang kerjaya anda, ia menunjukkan bahawa anda merupakan seniman yang mantap.

Contoh:
2010 “UNNAMED” by Bayu Utomo; HOM Art Trans; Kuala Lumpur, Malaysia


Pameran Berkumpulan / Terpilih
Pameran berkumpulan selalunya melibatkan dua atau lebih seniman berdasarkan arah tujuan pameran.
Jika kerjaya anda baru bermula mungkin hanya terdapat beberapa pameran sahaja yang baru anda sertai jadi bolehlah untuk memasukkan semua yang anda telah terlibat. Apabila semakin lama dalam bidang ini dan telah menyertai pelbagai pameran berkumpulan, lebih elok jika hanya anda sertakan pameran yang lebih signifikan untuk mengelakkan CV anda berjela. Dalam pemilihan pameran, lebih elok untuk sertakan pameran berkumpulan yang mempunyai bilangan seniman yang kecil atau pun di tempat yang lebih penting. Penting juga untuk tahu, pameran terbuka mempunyai signifikan yang kurang jika dibandingkan dengan pameran berkumpulan yang hanya disertai oleh dua seniman.

Contoh:
2016 Carbon Copy: A Printmaking Exhibition; G13 Gallery; Selangor, Malaysia


Jika anda menyertai art fair atau pun art expo di bawah sesebuah galeri, penting untuk anda menyertakan nama galeri yang mewakili anda.

Contoh:
2019 Art Expo Malaysia 2019 bersama Segaris Art Centre; MATRADE Exhibition and Convention Centre; Kuala Lumpur, Malaysia


Pameran Antarabangsa / Terpilih
Semakin lama anda dalam bidang ini, anda mungkin akan dijemput ke pameran antarabangsa jadi penting untuk anda mengasingkan pameran tempatan dan antarabangsa supaya lebih senang orang membezakannya. Mendapat peluang besar seperti ini sangat berharga bagi seniman kerana ia meluaskan pasaran karya anda ke persada antarabangsa. Selain itu, dengan mengetengahkan pameran antarabangsa yang anda sertai, ia membuatkan orang lebih yakin tentang bakat anda dan juga menghapuskan stigma “jaguh kampung”. Jangan lupa juga untuk menyatakan negara di mana pameran anda berlangsung.

Contoh:
2020 Brain Invasion; Block 17 Art Space; Bacolod, Filipina


Aktiviti
Penyertaan aktiviti berkaitan seni juga boleh disertakan dalam CV anda. Ini dapat membantu anda di permulaan kerjaya sebagai seniman muda yang masih kurang menyertai pameran. Aktiviti seperti melukis mural, menjaga galeri atau pun aktiviti sukarelawan boleh diletak kerana ini menceritakan sedikit sebanyak tentang anda di luar cakupan pameran. Tiada salahnya untuk orang mengetahui kemahiran anda di luar bidang seni.

Contoh:
2018 Komisen Karya; Hotel Four Seasons Kuala Lumpur; Kuala Lumpur, Malaysia

Koleksi
Elok untuk disertakan juga dalam CV anda jika karya anda telah dibeli oleh orang persendirian atau pun organisasi awam/peribadi. Ini membuatkan CV anda lebih kuat kerana jika karya anda dikumpul oleh pengumpul seni yang terkenal, ini akan meyakinkan lebih ramai orang untuk mengumpul karya anda. Maklumat tentang siapa yang membeli karya anda boleh didapati dengan mudah melalui galeri yang mewakili anda atau pun rakan kerjasama.
Nota tambahan: Seeloknya karya anda dikumpul oleh lima individu atau organisasi sebelum anda meletakkan bahagian ini dalam CV anda. Anda boleh meletakkan nama pembeli karya anda sahaja dan jika ia merupakan pembeli antarabangsa, elok untuk meletakkan lokasinya

Contoh:
Balai Seni Lukis Negara; Kuala Lumpur, Malaysia
Pakhruddin Sulaiman; Selangor, Malaysia


Penerbitan/Penyiaran
Akhir sekali, bagus jika anda boleh menyenaraikan sebarang penerbitan (surat khabar, majalah, buku) atau pun penyiaran (televisyen, radio) yang telah menulis tentang anda atau mempamerkan karya anda. Ia boleh jadi dalam bentuk cetakan, atas talian malahan esei pameran asalkan ia ada menyebut tentang anda ataupun karya anda. Format bibliografi boleh digunakan di mana bermula dengan tajuk penerbitan, di mana ia diterbitkan, nama penulis (terutama sekali jika ia adalah esei pameran atau pun akademik), dan tarikh.

Contoh:
“Malaysian Artist Explores the Intersection of Printmaking and Climate Change”; The Star; March 2021
“Constructed Realities in the Landscape Paintings of Syed Fakaruddin” by Sarah Abu Bakar; February 2021


Menulis Profil Seniman
Selain daripada semua ini, sesetengah situasi juga memerlukan profil seniman anda. Untuk profil ringkas, anda boleh ambil apa yang terbaik daripada bahagian-bahagian CV dan tukarkan dalam bentuk penulisan. Profil seniman berlainan daripada kenyataan karya akan tetapi kadangkala ia boleh digabungkan untuk memberi penjelasan lebih mendalam tentang praktis anda.

Contoh:
Jane Doe lahir pada tahun 1945 di Kuala Lumpur. Pada tahun 2005, beliau telah mendapat pendidikan formal yang pertama ketika memperoleh Diploma Seni Lukis di Universiti Teknologi MARA, Sri Iskandar. Beliau kemudian menyambung ke peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) di Universiti Sains Malaysia dan tamat pengajian pada tahun 2008. Aktif dalam latar seni, beliau telah dijemput menjadi seniman tamu di Rimbun Dahan pada 2009 dan beliau juga telah merupakan salah seorang pemenang bagi pertandingan Bakat Muda Sezaman 2016.

Kesimpulan
CV atau resume merupakan pintu masuk untuk anda dan juga karya anda jadi ia haruslah dibuat dengan cara yang profesional. Pemilik galeri dan kurator mungkin melalui banyak CV dan jika anda tidak dihasilkan dengan baik, anda mungkin akan terlepas peluang. Perkara yang utama dalam CV atau resume adalah untuk memberi keyakinan kepada orang lain tentang anda sebagai seniman, jadi CV anda haruslah memaparkan betapa aktifnya anda dalam latar seni. Natijahnya, ini juga akan berkait dengan harga karya anda kerana untuk dianggap sebagai aktif, penanda aras yang mudah adalah mempunyai empat (sekurangnya) pameran setahun dan ini penting dalam justifikasi harga karya anda.



Copyright © 2023 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service
Ooops!
Generic Popup