Soalan yang perlu ditanya kepada diri sendiri sebelum memohon residensi
Oleh TAN DEE MAY

Sokongan kepada residensi artis sebenarnya melebih dari pembayaran bil mereka, dan dengan penetapan ini meninggalkan kesan berpanjangan yang dapat dirasai sepanjang hidup artis tersebut apabila terdapat orang luar yang nampak dan percaya akan nilai seni dan budaya karya artis tersebut.

Saya mengalaminya sendiri (dan terus alami) kesan berpanjangan daripada residensi saya di Rimbun Dahan, sebuah residensi seni di Kuang, Selangor yang terletak 30 minit daripada Kuala Lumpur.

Keikhlasan, keselamatan dan keyakinan yang saya rasai dari kompleks yang kehijauan ini terus menyusup dalam pemandangan dunia saya yang sering berubah dan kesannya juga dapat dirasai dalam karya seni harian saya iaitu Plates, sebuah penerbitan independen mengenai budaya makanan. Rimbun Dahan memainkan peranan yang cukup besar dalam menyokong penerbitan Plates, Edisi 4: Seeds yang telah dikeluarkan apabila kita beransur ke fasa PKP October 2020.

Residensi bukan percutian
Sebuah residensi bukanlah satu percutian. Walaupun pada mata kasar nampak begitu, lebih-lebih lagi buat mereka yang tidak membuat karya seni tersebut. Mereka inilah yang meninjau daripada luar dan kadang kala merupakan antara yang pertama untuk meminta hasil karya anda...secara percuma.

Bagi mereka yang tidak pernah mempertimbangkan idea untuk benar-benar menyokong residensi atau menyokong seorang artis, mudah untuk mereka abaikan konsep ini. "Wah, anda dibayar untuk pergi bercuti?" Atau yang sering didengari, "Ya, benar, anda sedang bekerja," kata mereka yang menyindir.

Sebaliknya, residensi merupakan sebuah ruang inkubasi yang amat berharga untuk seorang artis meregangkan badan, berfikir dan seterusnya berkarya. Jika anda bertuah, anda juga boleh berkongsi idea dengan artis lain yang ada sewaktu program residensi anda sambil berkongsi meja makan dan ruangan kerja.

Ini antara soalan yang telah saya fikirkan sesuai untuk anda pertimbangkan sebelum membuat permohonan:

Mengapa saya perlu ruang yang khusus dalam jangka masa yang khusus?
Jangan memohon sebuah residensi hanya kerana ruang itu kosong. Sama seperti memohon sebuah geran, anda tidak digalakkan untuk memaksa wujudkan sebuah projek semata-mata ingin memenuhi kriteria residensi berkenaan. Bukan sahaja ia kurang sopan kepada tuan rumah kerana mereka akan berfikir dua kali untuk meluluskan sebuah permohonan residensi selepas ini tetapi anda juga akan mengambil tempat seniman lain di dalam komuniti yang lebih memerlukan tempat itu. Memaksa diri sendiri bekerja untuk suatu projek yang anda tidak ada keinginan untuk memulakan adalah suatu yang merugikan karya serta kesihatan mental anda.

Residensi Seni Rimbun Dahan ©Tan Dee May

Dee May di Rumah Balai ihsan Rimbun Dahan

Apakah harapan sosial, karya dan penempatan diri sendiri sewaktu residensi dan adakah ianya selari dengan harapan mereka?
Adakah anda memerlukan internet berkelajuan tinggi atau ruang studio? Bagaimana pula jarak dan kemudahan ke kedai runcit dan klinik? Adakah ruang penempatannya berkongsi? Jangan anggap semuanya akan disediakan untuk anda.

Muhasabah diri. Adakah anda mampu bekerja sendiri atau anda sering memerlukan interaksi sosial? Jika anda lebih gemar bekerja sendiri, bolehkah anda menghadapi harapan untuk turut serta dalam acara keramaian di tapak residensi anda?

Apakah fokus saya sewaktu residensi?
Sesetengah residensi tidak memerlukan anda menghasilkan sebuah karya di penghujung program anda. Walaupun begitu, anda seharusnya jelas dengan apa yang cuba anda jelajahi dan mengapa keberadaan anda di ruangan residensi itu penting dalam kerjaya seni anda. Anda mungkin teruja dan tergoda untuk hasilkan senarai panjang tentang karya yang anda akan hasilkan sewaktu berada di residensi nanti, namun sama seperti merancang sebuah percutian, semak semula beg anda, potongkan ia kepada separuh. Anda mesti jelas tentang apa yang ingin anda lakukan.

Sudahkah saya benar-benar teliti dengan kriteria permohonan?
Adakah anda diperlukan untuk memberi sejumlah peratusan hasil karya kepada penganjur? Apakah terma syarat hak cipta untuk karya yang anda hasilkan sewaktu residensi? Adakah terdapat sebarang pembayaran yang diperlukan? Minta penjelasan sebelum sertai mana-mana residensi, lebih baik jika anda lakukan sebelum membuat permohonan untuk menjimatkan masa dan juga wang ringgit.

Layari laman web mereka dan ambil maklum jika terdapat sesi temuduga daripada penganjur. Kebarangkalian persoalan anda mungkin terjawab di laman tersebut. Jika tidak, hubungi pihak penganjur seawal yang boleh sebelum tarikh tutup permohonan. Anda harus menyemak polisi perhubungan mereka (contohnya: jika tiada panggilan telefon dibenarkan, janganlah anda mengganggu mereka jika tidak mendapat maklum balas selepas seminggu atau mengejar individu yang tidak berkenaan.) Hormati masa mereka. Penganjur mungkin sedang menguruskan jutaan perkara lain selain daripada temuduga terbuka itu. ResArtis adalah antara titik permulaan baik untuk menjelajahi residensi yang disediakan di seluruh dunia.

Saya telah menghadiri beberapa sesi soal jawab oleh residensi. Apa yang paling menjengkelkan adalah para pemohon sudah membuat permintaan seperti bilik khas untuk seorang dan dilengkapi pemandangan yang sedemikian. Ia tidak salah, jika anda membuat bayaran untuk residensi itu tetapi jika anda seorang tetamu yang dibiayai tidak sesuai anda berkelakuan sebegitu.

Oleh itu, apabila anda memohon untuk sebuah residensi pastikan anda membuat semakan latar belakang yang terperinci berkenaan kredibiliti organisasi berkenaan untuk tujuan keselamatan. Jika ada, semak juga testimoni daripada residen terdahulu. Jangan meminta salinan permohonan mereka. Bukan sahaja ia tidak sopan dan menampakkan bahawa anda pemalas, tetapi ia juga kerana kepelbagaian karya seni membuatkan permohonan seseorang itu pasti berlainan.

Lakaran langsung rumah kampung residensi seni Rimbun Dahan © Tan Dee May

Work-in-progress Plates Magazine residensi seni Rimbun Dahan ©Tan Dee May

Fotoshut Rumah-Balai dipterocarp residensi seni Rimbun Dahan ©Tan Dee May

Bagaimana saya dapat menyumbang kepada persekitaran residensi berkenaan?
Tidak dapat disangkal, budi bahasa asas kepada seorang jiran yang baik dan rakan sebilik adalah amat penting. Apabila anda seorang artis dalam residen, anda seorang tetamu dan juga duta bagi kraf dan komuniti yang anda wakili. Apa yang anda dapat bawakan kepada komuniti sebagai seorang individu?

Akhir sekali: Bagaimana jika mereka menolak?
Pada awal 2020, saya dianugerahkan sebuah ruang di Cat Serrat, sebuah residensi artis di Montserrat, Sepanyol untuk bekerja dengan majalah Plates. Selepas beberapa e-mel dan seterusnya sebuah panggilan Zoom, varian baru Omicron pula melanda, saya hanya boleh berharap untuk ke sana dalam tahun yang mendatang.

Maka, jangan membuat perancangan residensi buat masa ini. Lebih-lebih lagi apabila keadaan penutupan sempadan yang tidak menentu. Semak jadual atau polisi mereka berkenaan bayaran balik, SOP pandemik dan juga tempoh kuarantin.

Jika anda tidak terpilih pada kali pertama, kedua mahupun kali kelima, jangan anda simpan di dalam hati dan jangan pula anda berandaian bahawa gagal memohon bererti anda gagal berkarya dan gagal sebagai seorang manusia. Sama seperti temuduga kerja yang tidak berjaya, anda boleh bertanya maklumbalas yang membina mengenai permohonan anda. Namun, ada sesetengah tempat yang tidak akan memberi maklum balas kerana kesibukkan mereka atau ada juga yang menyatakan bahawa mereka memang tidak akan memberi maklum balas.

Walau bagaimanapun, teruskan perjuangan anda. Teruskan berusaha. Perkara paling teruk yang akan mereka kata adalah "no".


Tan Dee May adalah pengasas Plates, sebuah penerbitan dua kali setahun yang menggunakan makanan sebagai pembuka bicara kepada topik yang lebih hangat. Tan merupakan penerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Antarabangsa Chevening (2016), INXO Fund Award (2019), Anugerah Antarabangsa Cat Serrat Writers Residency (Montserrat, Spain, 2020/2021) dan Anugerah Ideas Festival documentary (Brisbane, Australia, 2011). Tan merupakan seorang artis residen di Rimbun Dahan dalam program Southeast Asian Arts Residency pada tahun 2021. Anda boleh kenali beliau lebih lanjut di pautan seperti di bawah:
Copyright © 2023 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service
Ooops!
Generic Popup