Tips Untuk Mengubah Seni Anda Menjadi Perniagaan

Oleh MIRIAM DEVAPRASANA

Jadi anda telah bersedia untuk meletakkan kraf anda di luar sana dan memulakan perniagaan, namun dimanakah titik permulaannya? Su Ling Teoh daripada Either / Or Design berkongsi pengalaman dalam membina sebuah jenama tempatan.

Su Ling merupakan seorang artis tanah liat dan pereka barang kemas yang telah menukar hobi sewaktu zaman kanak-kanaknya sebagai sebuah kerjaya. Seorang yang tidak asing lagi dalam industri seni di Pulau Pinang (dan juga pentas antarabangsa), dia kembali ke tanah air selepas melanjutkan pelajaran dalam bidang fesyen dan reka bentuk tekstil. Su Ling telah menubuhkan Either / Or Design pada tahun 2019 dan mendapat inspirasi daripada warisan dan budaya Peranakan di Pulau Pinang serta zaman kanak-kanaknya. Dalam karya unggulnya iaitu “Heritage Collection”, Su Ling telah menggabungkan polimer tanah liat serta kehalusan kaca Czech dan telah menerima maklum balas yang cukup positif, sehingga mendorong perniagaannya melonjak ke arena tempatan dan antarabangsa.

Su Ling berkongsi beberapa perkara yang telah dipelajarinya dalam perjalanan membina Either / Or Design daripada bawah sehinggalah ke tahap yang lebih tinggi.

1. Pentingnya Penyelidikan!
Pada peringkat awal, anda perlu buat penyelidikan untuk semua perkara. Fikirkan mengenai bahan produk, pilihan bungkusan dan juga harga. Lihat juga apa yang pernah dibuat sebelum ini dan apa yang dibuat oleh orang lain. Anda perlu ingat bahawa ini bukanlah satu pertandingan namun bagi memperoleh kejayaan dalam perniagaan, anda perlu tahu bagaimana dan mengapa produk anda lain daripada yang lain.
Penyelidikan juga amat penting dalam membina penonton sasaran. Siapakah pelanggan sasaran anda? Apakah minat mereka? Bagaimanakah produk anda disesuaikan dengan aliran masa kini?

2. Bina sebuah Pelan Perniagaan
Sambil anda menjawab persoalan tersebut, lontarkan beberapa idea anda ke dalam sebuah pelan perniagaan. Anda mungkin tidak akan tahu semua perkara, namun adalah baik sekiranya anda mula merangka sebuah pelan kasar bagaimana cara untuk memulakan sebuah perniagaan.
Sebuah pelan perniagaan memberi definisi kepada objektif jenama anda dan bagaimana ingin mencapai sasaran tersebut. Meluangkan masa untuk membina sebuah pelan yang menyeluruh adalah amat berguna kerana ini akan menjadi panduan kepada perkembangan jenama anda. Sebuah pelan perniagaan menyediakan anda untuk menghadapi cabaran yang bakal ditemui sepanjang perjalanan. Pada pandangan para pelabur pula, anda telah melakukan kaji selidik anda. Beberapa aspek kritikal yang perlu diambil kira adalah:
● Kewangan (berapa jumlah yang boleh anda labur ke dalam perniagaan, berapakah sasaran pendapatan bulanan, perbelanjaan bulanan, lebihan jika ada keperluan)
● Kebolehlaksanaan perniagaan anda (jangka panjang)
● Ancaman kepada industri anda
● Bagaimana untuk kurangkan risiko

3. Pembiayaan
Either / Or Design adalah perniagaan pembiayaan sendiri sejak mula penubuhannya. Cabaran kewangan itu memang ada dan Su Ling terpaksa menjadi kreatif dan bijak untuk meneruskan operasi. Contohnya, pada peringkat awal, dia telah banyak menggunakan platform percuma daripada pemasaran berbayar. Ini juga sebelum Su Ling merangka sebuah halatuju yang lebih jelas untuk Either / Or Design.
“Sehingga hari ini, saya masih lagi mencari geran yang benar-benar mengena pada operasi Either / Or Design namun mengikuti perkembangan semasa mengenai geran yang ditawarkan oleh badan kerajaan dan bukan kerajaan adalah penting. Pohon mana-mana geran yang anda layak,” kongsinya.
Dari segi melabur kewangan ke dalam perniagaan anda, laburlah pada perkara yang mampu memberi nilai tambah yang besar kepada perniagaan anda. Ini juga termasuk peralatan yang mampu menjimatkan masa. Elakkan daripada berbelanja perkara yang tidak akan bantu operasi anda misalnya pembelian bahan hiasan yang banyak untuk sebuah sesi fotoshoot.
Jika ada pihak luar yang melabur ke dalam perniagaan anda, gunakan wang mereka dengan sebaiknya. Anda harus bertanggungjawab kepada pelabur anda.

4. Memilih sebuah Pasaran
Buat kaji selidik. Ambil masa untuk menerokai sesebuah kawasan atau pekan. Lawati pelbagai pasar, acara dan juga bazar hujung minggu yang ada. Perhatikan pelawat yang hadir itu siapa dan adakah mereka tergolong dalam pembeli sasaran kita. Jika ya, bercakaplah dengan pemilik atau pengendali pasar tersebut. Selepas itu, pertimbangkan segala pilihan yang ada dan buat kira-kira berapa yang boleh anda belanja untuk menyewa sebuah tapak.
Jika anda sedang pertimbangkan untuk menjual secara atas talian, anda mungkin boleh mula dengan sebuah laman Facebook atau Instagram. Anda juga boleh pilih untuk menjual di platform seperti Shopee ETSY, buttermilk, dan juga OUTLET. Ambil maklum berkenaan bayaran yang dikenakan kerana selalunya berbeza-beza.

5. Pilihan Produk: Satu atau Pelbagai?

Tawarkan produk yang anda yakin. Kepelbagaian itu baik, namun penting untuk anda mempunyai sebuah karya istimewa atau koleksi yang membezakan anda dengan karyawan yang lain. Mungkin anda boleh mula dengan mencuba pasaran terlebih dahulu. Kemudian, perlahan-lahan tingkatkan jumlah produk pilihan anda.
Kata Su Ling: “Hasilkan identiti jenama yang menggambarkan gaya istimewa anda. Nilai jenama dan operasi perniagaan anda harus kekal dengan identiti ini.”

6. Labur untuk sebuah Laman Web
Walaupun menggunakan media sosial untuk mempromosikan barang anda adalah berguna namun media sosial tidak wajar dijadikan platform utama anda. Media sosial haruslah bersifat melengkapi yang bertujuan untuk promosikan jenama anda kepada orang ramai dan berinteraksi dengan bakal pelanggan.
Sebaliknya, amat berguna jika anda melabur dalam sebuah laman web untuk mempamerkan jenama anda dan memberi fokus kepada produk dan perkhidmatan yang anda tawarkan. Fikirkan mengenai pengalaman seseorang pengguna tersebut. Semua haruslah memudahkan untuk seorang pengguna.
Sebuah laman web yang dikendali dengan baik memberi keyakinan kepada bakal pelanggan mengenai jenama anda.

7. Interaksi bersama bakal dan pelanggan sedia ada

Anda perlu aktif di media sosial. Kerapkan untuk berkongsi portfolio kerja anda kepada pengguna media sosial yang disasarkan namun elakkan spam. Balas semua mesej dan komen. Mulakan hubungan peribadi yang ikhlas dengan para peminat hasil kerja anda dan mereka yang menghargai karya anda. Sertai juga pelbagai acara yang dianjurkan.
Sebagai tambahan, sentiasa tawarkan perkhidmatan pasca pembelian ketika mereka memerlukan. Berkomunikasi dengan pelanggan selepas sebuah pembelian dan pastikan mereka puas hati dengan duit yang mereka belanjakan. Ini dapat membantu membina sebuah perhubungan dengan mereka.

Process of building polymer clay cane (or caning). - Photos by Su Ling Teoh.

8. Perhubungan dan kolaborasi bersama artis lain
“Saya tidak dapat tekankan betapa pentingnya perkara ini, membina hubungan bersama artis lain teramatlah penting.” Kata pereka ini.
Bertukar maklumat dan menyokong artis lain membina sebuah ukhuwah. Para artis juga melalui cabaran dan halangan yang hampir sama dengan anda, jadi dengan anda menyertai sistem sokongan seperti ini, anda akan dapat memberi dan juga menerima motivasi antara satu sama lain.
Ini juga membuka peluang untuk kolaborasi dan juga mudah untuk anda mendapatkan maklumat terbaharu.

9. Apabila cabaran menimpa
Berurusan dengan pelanggan ini boleh menjadi satu cabaran dalam perjalanan anda membina sebuah jenama dan perniagaan. Anda akan berasa geram apabila mereka persoalkan harga dan kualiti kerja anda.
Belajar untuk kenali nilai diri dan hasil kerja anda. Kualiti produk anda akan berbicara dengan sendiri jika anda memberikan usaha yang gigih dan ikhlas. Tidak perlu terima jika seorang pelanggan itu tawar menawar tanpa sebab yang munasabah. Terapkan peribadi yang profesional dengan minda yang terbuka untuk kemajuan apabila anda berdepan dengan penolakan. Maksudnya, sentiasa usaha untuk membuat penambahbaikan tanpa menyimpan dendam atau mengambil hati.

10. Berurusan dengan perkara yang tidak sering dibicarakan
Memulakan sebuah perniagaan itu ada kalanya susah dan rumit. Membina sebuah jenama itu mengambil masa. Penting untuk anda iktiraf perkara ini agar anda faham, semua ini adalah asam garam sebuah perjalanan.
Ada juga cabaran-cabaran yang lain.
“Seperti ramai ahli kreatif, saya juga tidak terkecuali daripada sebuah ketandusan kreativiti dan masih lagi mencari cara untuk mengatasi perkara ini,” kata Su Ling. “Apa yang saya dapati paling berkesan adalah untuk terus melalukan apa yang kita tahu ataupun menghasilkan sebuah karya terdahulu dengan sedikit perbezaan yang unik.”
Pengurusan masa juga mungkin satu lagi cabaran kerana berkarya sambil menjalankan sebuah perniagaan mungkin memerlukan waktu kerja yang lebih lama. Akan ada saat-saat yang memerlukan pengorbanan dan menjadi seorang yang “perfectionist” tidak akan membantu! Pilihlah kemajuan daripada kesempurnaan tidak kira sama ada kemajuan itu kecil atau besar. Ini amat membantu untuk anda menguruskan masa dan jangan terlampau berfikir! Jangan abaikan kualiti kerja anda, namun jangan pula tunggu untuk waktu yang sempurna bagi menyelesaikan karya anda.

Kata Akhir
Mengubah seni anda kepada sebuah perniagaan itu satu perkara yang seronok dan menerujakan. Anda telah bekerja keras untuk kemahiran dan minat anda, kini tiba masa untuk orang ramai turut sama menghargainya juga. Teruskan untuk pelajari kemahiran baharu untuk tingkatkan kreativiti dan seni anda. Bercakap dengan ramai orang, bina perhubungan dan lakukan kolaborasi. Hasilnya dapat dilihat apabila anda mahir dalam apa yang anda lakukan. Untuk menjadi yang terbaik, anda haruslah belajar dan terus berusaha.
Either / Or Design pernah diterbitkan dan diiktiraf oleh pelbagai organisasi, acara dan media arus perdana untuk nilai seni, keunikan dan peranan mereka dalam mempertingkatkan warisan George Town, Pulau Pinang sebagai sebuah tapak warisan dunia UNESCO.
Untuk maklumat lanjut dan laman web mereka, sila lawati Either / Or Design di sini.


Copyright © 2023 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service
Ooops!
Generic Popup