Mengatasi Segala Rintangan
  •   7 MAR 2018

Kekurangan dari segi penglihatan visual tidak menghalang Caliph Buskers memperjuangkan visi tersendiri demi masa hadapan muzik mereka

Bukan mudah bila ditakdirkan untuk hidup dengan sebarang kecacatan. Namun terbukti melalui sejarah betapa ramainya individu yang berjaya mengatasi kekurangan atau kecacatan mereka malahan telah berjaya dalam bidang masing-masing. Sama ada dalam bidang sukan, bisnes mahupun kesenian, kisah mereka memberi inspirasi kepada kita semua, dan kita turut merasa terharu dan bangga. Selagi boleh, kita berikan sokongan yang padu buat mereka.

Kumpulan Caliph Buskers


Dalam dunia muzik, nama-nama seperti Stevie Wonder, Ray Charles dan Andrea Bocelli, termasuk anak Malaysia Alfred Ho terdetik di minda bila berbicara tentang ahli muzik cacat penglihatan. Kini, satu lagi kumpulan muzik di Malaysia semakin mencanak namanya, dan semakin banyak mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Caliph Buskers menzahirkan kebanggaan rakyat Malaysia baru-baru ini tatkala mewakili negara di acara True Colours Festival di Singapura. Meraikan kesemua deria pancaindera, festival yang berlangsung pada 22-25 Mac 2018 ini merupakan satu-satunya acara melibatkan para seniman kurang upaya di rantau ini.

Mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga di Singapura, pemuzik berdikari ini berkongsi pentas dengan nama-nama terkemuka dalam bidang muzik, tarian dan kesenian, membuktikan semangat Malaysia Boleh di pentas dunia.

“Ia saat membanggakan buat Azmi, Zaki, Fendi, Nirwan dan Nadira,” kata Syed Ezham, pengurus Caliph Buskers. “Dijemput membuat persembahan di festival True Colours sambil mewakili Malaysia bukan sahaja penghargaan tertinggi malahan merupakan peluang keemasan untuk mereka memperlihatkan bakat dan muzik mereka.”

Bertahun-tahun beroperasi sebagai ahli muzik jalanan, Caliph Buskers mendapat peluang melebarkan sayap pada tahun 2015 bila diundang mempersembahkan lagu ‘Romancinta’ di Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29). Namun penubuhan kumpulan ini agak mengambil masa sebelum ia menjadi gabungan yang padu.

“Kami mula mengenali satu sama lain melalui pelbagai pertandingan muzik dan nyanyian dianjurkan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia,” Caliph Buskers menerangkan. “Dari situ, kami berkumpul dan menilai bakat kawan-kawan bermain muzik. Kemudian kami memutuskan untuk menubuhkan kumpulan untuk bermain bersama dan nama ‘Caliph Buskers’ telah terpilih.

Dari Kiri: Fendi, Azmi, Nadira, Zaki and Nirwan

Membuktikan bahawa kekurangan upaya bukan penghalang, para pemuzik berdikari ini punyai semangat berkarya yang tinggi, dan ianya bagaikan pemacu keinginan mereka untuk mengorak kejayaan demi kejayaan.Selepas persembahan mereka yang menambat hati semasa AJL29, nama mereka melonjak naik di persada muzik Malaysia lantas Azmi, Zaki, Fendi, Nirwan dan Nadira telah mengambil kesempatan ini untuk memperlihatkan bakat serta jenama muzik mereka di beberapa acara.
The National Visual Arts Gallery

Menunjuk bakat di atas pentas Festival True Colours, Photo © True Colours Festival

Persembahan Caliph Buskers di OCBC Square, Singapura , Photo © True Colours Festival

Terkini, kumpulan ini melangkah berjaya dengan lagu-lagu mereka yang menjadi kegemaran di iTunes, seperti ‘Romancita Akustik’ dan ‘Hanya NamaMu’, dan telah berkolaborasi dengan artis-artis tempatan seperti Faizal Tahir. Persembahan terkini di festival True Colours sememangnya menggilapkan nama mereka sebagai salah satu bakat muzik tersohor di rantau ini.

Kami merasa teruja dan juga bimbang bila dijemput untuk membuat persembahan di festival True Colours,” mereka bercerita. “Bimbang kerana kami sedar yang kami akan membuat persembahan di samping artis-artis terhebat di rantau Asia Pasifik dan juga kerana kami tahu pastinya ramai VVIP di konsert tersebut.”

Caliph Buskers merupakan peserta tunggal daripada Malaysia di festival tersebut dan pastinya ia merupakan kejayaan yang hebat kerana pemilihan peserta oleh para pengajur acara amat ketat dan bergantung kepada pencapaian mereka.

Caliph Buskers di antara artis kurang upaya yang di pilih dari serata Asia Pasifik, Photo True Colours Festival

Bagaimanapun, kumpulan tersebut memberikan persembahan terbaik semasa konsert pembukaan festival di Stadium Tertutup Singapura, di mana ia disaksikan oleh Presiden Singapura, Puan Halimah Yaacob. Mereka juga mempersembahkan beberapa lagu dan menghiburkan para peminat di pentas Outdoor Concert di OCBC Square pada hari terakhir festival tersebut berlangsung.

“Kami telah berikrar untuk memberikan yang terbaik dan meninggalkan kesan mendalam di hati para penonton,” kongsi kumpulan tersebut usainya festival berlangsung. “Kami juga berharap peminat kami terus menyokong kami beserta artis-artis lain yang membuat persembahan di True Colours.”

Selesainya persembahan mereka dengan tirai terakhir dilabuhkan di festival tersebut, Caliph Buskers kini memberi fokus kepada meluaskan capaian muzik mereka beserta bilangan pendengar. “Kami mahu berkerjasama dengan lebih ramai lagi artis lain di masa hadapan dengan harapan ia dapat memperlihatkan kelainan dalam muzik ciptaan kami,” kata mereka. 

“Peluang sebegini dengan sokongan tanpa henti daripada para peminat serta penaja membantu kami untuk lebih bersemangat dalam bidang muzik, dan memberi inspirasi kepada kami sebagai seniman.” Nampaknya, peluang bagi mereka setinggi langit bagi kumpulan muzik yang berbakat ini yang sentiasa berusaha tanpa mengenal penat lelah.

Other Articles
Copyright © 2018 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service 
Ooops!
Generic Popup