Eh! Ada Pementasan Rupanya Pada Sekian-Sekian Haribulan
  •   7 MAR 2018

Oleh Fasyali Fadzly

Seniman menghasilkan karya seni dan itu sememangnya lumrah mereka. Namun dalam satu ekosistem industri yang mapan, ada banyak lagi perkara lain yang perlu diberikan perhatian. Apabila bercakap tentang industri seni persembahan, hanya kerjaya seperti pelakon, penari, pemuzik, pengarah dan sebagainya sahaja yang sering diberikan perhatian. Namun, seseorang perlu sedar bahawa sebuah ekosistem industri seni persembahan yang baik bukan sahaja memerlukan golongan seniman, tetapi sub-sektor yang lain juga.

Seni dan budaya sering diendahkan bukan sahaja orang yang berada jauh dalam bidang ini tetapi orang yang sering terlibat di dalam bidang ini secara langsung. Saya juga adakalanya terlepas beberapa acara seni yang diadakan di Kuala Lumpur. Biasanya iklan hanya muncul di media sosial setelah saya mempunyai perancangan yang lain. Saya fikir, tentu ramai juga orang yang mengalami masalah yang sama. Ada juga acara atau persembahan yang telah tamat tanpa disedari pun bila ia bermula. Ia hanya disedari setelah mendengar buah mulut orang. Jika bernasib baik, dapatlah dibaca tulisan dan ulasan yang diterbitkan.

The Daily Seni ialah salah satu platform yang giat mempromosikan aktiviti seni di Malaysia.

Kebanyakan acara seni persembahan tidak menumpukan tentang salah satu aspek yang amat penting iaitu ketampakan atau visibility. Ketampakan adalah bagaimana sesebuah persembahan atau acara itu disedari akan kewujudannya – baik sebelum, semasa dan selepas sesuatu acara diadakan. Ini membawa kita kepada aspek pemasaran dan promosi sesebuah acara seni itu. Aspek ketampakan ini amat penting kerana sudah tentu sesebuah persembahan teater, tari dan sebagainya memerlukan penonton untuk hadir ke pementasan mereka. Produksi sudah tentunya menggunakan pelbagai platform media supaya acara yang dirancang oleh mereka diketahui bukan sahaja kepada khalayak sasaran tetapi masyarakat umum. Pengiklanan secara tradisional seperti poster, flyer, pamphlet, brosur, banner, papan iklan dan sebagainya adalah antara cara promosi yang digunakan walaupun dilihat semakin berkurangan disebabkan melibatkan kos yang tinggi. 

Selain itu, slot iklan di TV dan radio, promosi di rancangan bual bicara, majlis pelancaran, sidang media dan yang seumpamanya turut digunakan. Teknik pemasaran seperti ini juga adalah salah satu cara yang sering digunakan oleh produksi seni persembahan terutamanya apabila melibatkan artis ternama dan barisan selebriti popular. Semua ini adalah usaha produksi supaya persembahan yang akan dijayakan mereka nanti ‘visible’ atau dapat dilihat oleh bakal para pembeli.

Selain gaya pemasaran yang tradisional, kini sudah ramai yang lebih gemar menggunakan cara yang lebih murah, mudah dan efisyen iaitu menggunakan internet. Media sosial memainkan peranan yang amat penting dewasa ini untuk memasarkan persembahan yang akan diadakan. Platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Youtube dan sebagainya menjadi pilihan untuk memastikan ketampakan yang tinggi untuk persembahan yang mereka telah rancang. Kakiseni yang diasaskan pada tahun 2001 adalah salah satu inisiatif terawal yang menggunakan internet sebagai sebuah platform untuk memberitahu umum tentang kegiatan seni persembahan. Ia menjadi sumber maklumat utama untuk sebarang aktiviti kesenian. Malah ia telah wujud lebih awal daripada kewujudan Facebook. Dalam memastikan ketampakan pelbagai aktiviti seni di sekitar Lembah Kelang, CENDANA melalui inisiatif Bandar Aktiviti Seni Kuala Lumpur menawarkan satu platform promosi aktiviti-aktiviti kesenian di sekitar Kuala Lumpur. Dengan pendekatan crowdsourcing, pengguna boleh menghantar apa sahaja program untuk diiklankan di dalam laman web tersebut.

Promosi BAS KL oleh CENDANA

Namun, hal-hal ketampakan bukan sahaja mengenai urusan-urusan promosi dan publisiti semata-mata – bukan hal-hal berkaitan sebelum persembahan berlangsung. Ketampakan sesebuah produksi atau kegiatan seni perlu berlanjutan. Kerja-kerja pengarkiban, penerbitan ulasan dan kritikan, post-performance talk, forum, kajian akademik dan banyak lagi adalah hal ketampakan yang sering dipandang remeh dan tidak penting. Tidak ramai yang mahu melabur dalam aspek ini. Diskusi, penulisan dan pengarkiban ini memerlukan usaha yang lebih meluas dan bukan terhad kepada kumpulan produksi tertentu sahaja.

Sebenarnya, ketampakan inilah yang menjadi bukti bahawa seni persembahan di Malaysia subur. Namun, ia tidak harus berhenti pada usaha promosi dan publisiti. Acara apresiasi perlu disuburkan juga supaya persembahan pentas terus ‘hidup’ di bibir dan minda penonton dan juga pencinta seni persembahan. Cakap-cakap selepas persembahan habis adalah penting demi memastikan ketampakan aktiviti ini bertahan dengan lebih lama. Laman web seperti Critics Republic, Arts Equator, Eksentrika, Daily Seni dan banyak lagi yang sering menerbitkan ulasan dan kritikan adalah sebagai salah satu usaha untuk memastikan bahawa sesebuah pementasan tidak tamat di atas pentas.

Selain itu, acara seperti Borak Arts, Sandiwara Mahjong Paper Discussion (anjuran MaTA), konferens akademik anjuran universiti-universiti tempatan, forum anjuran Persatuan Teater Malaysia juga adalah usaha supaya ketampakan seni persembahan menjadi semakin jelas. Pelbagai strategi juga perlu dibuat supaya ia mampu menjadikan aktiviti-aktiviti ini bersifat lebih inklusif – rentas generasi, kaum, gender, bahasa dan geografi. Bantuan dan insentif juga perlu diberikan kepada organisasi yang menjalankan kerja-kerja pengarkiban supaya orang lain dapat melihat dengan jelas apakah yang telah dilakukan pada masa lalu bagi memastikan seni kita lebih progresif.

Yayasan Sime Darby, Think City dan Pelancongan Pelancongan dan Kebudayaan contohnya telah memberikan penajaan kepada dua inisiatif seperti My Arts Memory Project dan Arts Education Archive Malaysia. Namun usaha ini tidak perlu terhad kepada kerja-kerja pengarkiban semata-mata dan perlu dibuka kepada banyak lagi inisiatif yang menjadi penyokong kepada industri seni persembahan.

Dengan ketampakan yang semakin jelas, lebih ramai orang akan semakin mengambil tahu dan peduli tentang aktiviti kesenian yang diadakan dalam komuniti mereka. Sangat tidak masuk akal jika seseorang itu mengatakan seni persembahan di Malaysia mundur. Banyak produksi yang mementaskan karya mereka di merata tempat, disebut-sebut di dalam pelbagai pembentangan akademik, forum dan sebagainya. Yang kurang adalah liputan mengenai mereka. Selain produk seni, pelaburan juga boleh dibuat dalam aspek ketampakan bukan sahaja untuk pasaran tempatan, tetapi pasaran global. Dengan ketampakan yang jelas akan memastikan ekosistem seni persembahan berputar dalam kitaran yang lebih baik.


Other Articles
Copyright © 2018 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service 
Ooops!
Generic Popup