Teater Baharu, Malaysia Baharu
  •   7 MAR 2018

Oleh Fasyali Fadzly

  • Pementasan Teater Modular 3 ihsan Moka Mocha Ink

    Pementasan Teater Modular 3 ihsan Moka Mocha Ink

  • Pementasan oleh Fasyali Fadzly

    Pementasan oleh Fasyali Fadzly

Saya menjangkakan tidak akan berlaku banyak perubahan dalam karya-karya teater yang bakal dipentaskan selepas PRU 14. Walaupun ada yang menganggap selepas kemenangan Pakatan Harapan menumbangkan rejim Barisan Nasional dan membentuk kerajaan, akan terdapat perubahan landskap politik dengan membawa semangat Malaysia Baharu. Namun, mungkin peristiwa 9 Mei tidak cukup memberikan impak yang besar kepada karyawan teater masakini seperti bagaimana peristiwa 13 Mei memberi kesan terhadap pengkaryaan seni selepas era tersebut. 

Ada yang menganggap kesenian Malaysia akan berubah sekiranya berlaku peristiwa-peristiwa besar dalam lanskap sosial dan politik seperti Rusuhan Kaum tahun 1969 dan gerakan Reformasi yang berlaku pada tahun 1998. Kini dengan peristiwa Malaysia Baharu 2018, adakah ada pembaharuan yang ketara dalam pengkaryaan teater di Malaysia? Ingin saya mengemukakan beberapa hujah yang mendebatkan bahawa tidak akan berlaku banyak perubahan dalam lima tahun akan datang.

Saya ingin mengajak pembaca untuk melihat kembali apakah kegiatan teater yang telah dibuat sebelum PRU 14. Kegiatan teater berkembang dengan baik dari segi bilangan. Tapi jika dilihat dari segi pengkaryaan, tidak ramai yang menghasilkan karya-karya yang kritikal dan penting. Ridhwan Saidi dan Mark Teh adalah antara karyawan penting yang lahir dari gerakan generasi baharu. Mark Teh telah lama bersama Five Arts Centre dan cenderung menghasilkan karya-karya yang kritikal sejak awal pembabitannya, manakala Ridhwan pula melahirkan kegelisahan dalam pengkaryaan teaternya. Beliau sering mengutarakan persoalan-persoalan kritis sewaktu pementasan. Tidak ramai penulis skrip teater yang melahirkan karya-karya luar biasa sebelum PRU. Jika penulis-penulis lain berhasrat melahirkan sesuatu yang luar biasa hanya selepas kewujudan Malaysia Baharu, saya fikir karya-karya mereka hanya akan menjadi sesuatu yang sekadar menempel terhadap suasana baharu dan tidak organik.

Namun, bukan Ridhwan Saidi dan Mark Teh sahaja yang saya jangka akan terus berevolusi dalam persekitaran teater Malaysia Baharu. Khairi Anwar juga berpotensi besar dalam menghasilkan karya-karya kritis yang sering membincangkan hal sosial masyarakat yang tidak seimbang. Di dalam Attorney: Law vs Justice, Khairi sudah bercakap tentang hitam putih sistem perundangan di Malaysia. Menerusi IQ.Rock pula, Khairi mengutarakan pula tentang hal pendidikan dan kemiskinan masyarakat rural. Jika Khairi konsisten dalam meneliti isu-isu lain yang akan timbul dalam Malaysia Baharu secara kritis, maka dengan itu perubahan dalam pengkaryaan akan berlaku.

Ada yang mengatakan kebebasan bersuara dan berekspresi kini sudah terjamin di bawah kerajaan baharu yang merayakan demokrasi. Namun, adakah seniman kita akan mengambil peluang ini untuk berkarya tentang hal-hal yang tak dibenarkan oleh kerajaan lama? Kesan kerajaan lama telah menanamkan satu sikap self-censorship di dalam diri kebanyakan pengkarya. Mereka secara tidak sedar akan mengelak atau mencari alternatif selamat untuk berbicara hal-hal tabu. Self-censorship sudah menjadi sebahagian etika mereka dalam berkarya.

Gambar profil penulis

Saya berikan contoh: jika dahulu penghasilan karya-karya yang bersifat politik kiri akan mendapat perhatian oleh kerajaan. Tindakan dan tekanan akan diambil terhadap produksi sehingga tidak boleh diteruskan. Lantaran itu, karya-karya yang dipersembahkan hanyalah karya-karya ‘selamat’ kerana karyawan sendiri sudah menapis sendiri karya-karya mereka supaya tidak disekat dan ditapis kerajaan. Tabiat ini perlahan-lahan ditanam dan diasuh kepada pengkarya terutama seniman-seniman baharu yang lahir daripada institusi pengajian tempatan yang selalu mendukung aspirasi kerajaan terdahulu. Kebanyakan mereka (dan saya juga – kini semakin insaf) diajar untuk tidak mempersoalkan perkara-perkara tabu dan tidak seiring dengan aspirasi kerajaan BN. Maka, untuk melihat perubahan ketara, ia tidak akan boleh berlaku dengan kadar segera.

Yang ketiga, kebanyakan rakyat Malaysia (yang mengimpikan perubahan) masih terharu (atau orang putih kata “overwhelmed”) dengan perubahan telah berlaku di peringkat kerajaan. Masing-masing masih tersenyum dan berpuas hati dengan kejayaan yang ditempa oleh Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu. Mereka menjadi terlalu optimistik dalam banyak hal. Harapan-harapan baru dicadangkan kepada kerajaan yang mereka percaya mahu mendengar untuk perubahan total. Seniman masih menunggu-nunggu apakah inisiatif baharu yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan untuk membela mereka yang terharu, optimis dan berharap ini. 

Jika seniman masih lagi berada di dalam keadaan terharu, perubahan tidak akan dapat dilihat. Kita akan terus terkandas dalam melahirkan karya-karya yang lebih kritis. Situasinya akan kembali sama seperti dahulu di mana seniman akan sentiasa okay dan terharu dengan apa yang kerajaan berikan.

Namun, saya pasti perubahan akan berlaku. Seniman perlu kekal berfungsi sebagai perakam kegelisahan masyarakat dan pendesak kepada kerajaan untuk memandang kepada hal-hal yang terpinggir. Seniman perlu kekal mengutarakan pemikiran alternatif dan sentiasa kritis dalam memberi pandangan. Kita harus keluar daripada perasaan terharu dan kembali bekerja demi menghasilkan karya-karya yang lebih baik.


Other Articles
Copyright © 2018 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service 
Ooops!
Generic Popup