Aku, Pengkritik? Resah, Gelisah dan Iltizam Si Penulis Seni
Oleh Adriana Nordin Manan

Kritikan seni ialah undangan merenung dan berdiskusi. Gagasan ini serta minat untuk menguasai kebolehan mengulas seni secara membina - lantas merancakkan arena seni tempatan - mendorong penglibatan saya dalam program mentor penulisan seni anjuran ASWARA dan CENDANA. Bersempena berlabuhnya tirai program yang bertempoh selama setengah tahun, makalah terakhir ini merumuskan ilmu yang ditimba oleh barisan tenaga pengajar merangkap mentor, dan menyimpulkan renungan berhubung peranan pengulas seni.

Pemula program berlangsung pada satu hujung minggu September lalu, dengan penyertaan 30 penulis dari serata negara. Dari pengamatan saya, ramai daripada peserta ialah penulis dan penggiat seni, khususnya teater, seni tampak dan muzik, selain petugas seni yang bertanggungjawab mengurus acara kesenian, termasuk pesta sastera. Kehadiran mereka memeriahkan bengkel dua hari itu sebagai ruang bertukar pendapat dan mengajukan soalan tentang penulisan seni dalam konteks Malaysia.

Pengajar pertama, Hafiz Hamzah, pemuisi, penulis, dan ahli sidang redaksi majalah SVARA memfokuskan makalah naratif dan peri pentingnya kelompok karya tersebut. Makalah naratif perlu mengetengahkan keperibadian tokoh yang diliputi, termasuk di luar kerangka kerjaya atau imej di mata awam. Sebagai contoh, SVARA menerbitkan tulisan tentang Sasterawan Negara A. Samad Said tanpa menekankan profil beliau sebagai sasterawan tersohor. Diingatkan juga bahawa menulis ialah proses, dan sang penulis perlu kerap mengetahui jawapan kepada soalan dalam diri, iaitu “mengapa saya menulis?”

Sharaad Kuttan, penulis dan wartawan hal ehwal semasa di ASTRO Awani, mempelawa peserta untuk memikirkan sisi politik dan sosial dalam setiap karya seni. Menurut Sharaad, karya yang mencetuskan kontroversi merupakan subjek yang wajar didalami oleh penulis, oleh beberapa sebab. Pertama, kontroversi tersebut mencerminkan titik rentan masyarakat dan pergelutan sudut pandang antara kelompok berbeza. Kedua, kontroversi seni memerlukan penulis lebih teliti memikirkan cara mentafsir karya berkenaan. Ketiga, karya yang mencetuskan kontroversi tetap perlu dinilai dan dihuraikan dari sudut material. Penulis seni tidak boleh terlepas pandang mana-mana daripada tiga tiang tersebut.

Sharmilla Ganesan, wartawan budaya dari stesen radio BFM, mengundang peserta untuk menggarap konsepsi kritikan seni sebagai sejenis teknik penceritaan. Meskipun penulis menulis makalah kritikan, ciri-ciri lazim penceritaan tidak boleh diketepikan, misalnya naratif dan emosi. Sharmilla turut menekankan keperluan setiap penulisan seni menggabungkan fakta dan emosi. Sudut pandang peribadi penulis juga dialu-alukan dalam penulisan seni, menyanggah sebarang pendapat yang menyatakan lensa peribadi tiada tempat dalam kritikan.

Pesanan dari Nabilah Said, penyunting pelantar digital seni serantau, Arts Equator yang berpangkalan di Singapura, masih terngiang di kepala sehingga kini. Nabilah menggesa peserta untuk melihat tugas pengkritik sebagai ikhtiar memelihara kesejahteraan penggiat dan industri seni. Antara tanggungjawab pengkritik adalah memastikan tatacara betul dalam memupuk perhubungan dengan para penggiat seni, mengamati dan memberi respons yang mendalam kepada sebarang karya, serta memiliki kepekaan kepada ekologi atau persekitaran yang dihuni pengkritik, contohnya dunia seni persembahan di Malaysia. Nabilah turut meminta peserta mencari suara pengkritik masing-masing dengan mempertimbangkan tiga contoh tanggungjawab pengkritik, sama ada mencerminkan, bertindakbalas, atau menentang/menyanggah.

Daripada 30 peserta bengkel, fasa kedua program mentor melibatkan 12 penulis. Peserta fasa kedua dipilih berdasarkan tugasan penulisan yang diberikan barisan mentor. Dari senarai tugasan mungkin, saya memilih untuk menulis ulasan singkat tentang pameran “Bayang Itu Timbul Tenggelam” di Galeri ILHAM, dan beberapa hari kemudian menerima berita gembira bahawa saya telah diterima ke program mentor. Mentor saya adalah Sharmilla.

Mengimbas kembali, saya teringat betapa saya seolah-olah dijerat inersia pada awal program. Bukan kerana saya tidak tahu perjanjian yang dipersetujui antara peserta dan penganjur. Sebanyak 15 makalah perlu disiapkan dalam masa enam bulan, itu saya sedia maklum. Yang menghantui fikiran saya ialah persoalan sama ada saya layak mengkritik, lebih-lebih lagi karya seni tampak, yang langsung bukan lapangan kemahiran saya. Apa yang saya, seseorang yang gemar melukis tetapi hanya sebagai hobi tanpa mengimpikan hasil indah, boleh katakan tentang karya seniman lulusan seni halus dari institusi ternama? Di fikiran saya pula berlegar ungkapan, “Yang berbakat, berkarya. Yang tidak berbakat, mengkritik.” Perasaan cuak semakin memekat. Sehinggalah tarikh untuk menyiapkan makalah pertama tiba, dan mahu tidak mahu, saya menyiapkan ulasan tentang pameran seni bertajuk “Microscopia” oleh Faizal Shuif. Maklum balas oleh mentor saya jelas, menasihatkan saya supaya mengurangkan perspektif peribadi yang keterlaluan dalam memberi ulasan. Seni mengkritik memerlukan penulis peka membezakan bila diri sendiri boleh dijadikan titik tumpuan, dan bila seeloknya berundur dan mengedepankan seniman.

Meskipun tidak menumpaskan, keresahan itu tetap ada pada minggu seterusnya. Saya meminta nasihat Sharmilla berkenaan cara mengatasi kegusaran bahawa kritikan kita terlalu pedih, lebih-lebih lagi di industri tempatan yang kecil dan memandangkan budaya Malaysia yang rata-rata mengutamakan percakapan berlapik. Keraguan utama saya disebabkan kerisauan yang jika kritikan yang diberi terlalu menghambat, mungkin penggiat muda dan yang baru hendak bertapak kelak hilang keyakinan untuk terus berkarya. Itu bukan sama sekali kesudahan yang diinginkan. Saya juga teringat kisah yang pernah didengari pada suatu masa dahulu. Seorang penggiat seni tempatan membandingkan industri muzik di Malaysia dan Jepun. Menurutnya, penonton Jepun akan terus menyokong dan bersorak untuk seniman tempatan, sama ada yang baru nak bermula dan sebenarnya agak jelik karyanya. Berbeza pula dengan di Malaysia, di mana seniman muda yang mungkin masih berkarya rapuh, akan diherdik dan ditertawakan oleh masyarakat umum. Sebagai lulusan sains sosial saya kurang menyokong konsep kesimpulan pukul rata merentas masyarakat tanpa landasan empirik, tetapi saya tetap bermuhasabah diri dan berharap diri tidak tergolong dalam kelompok pencemuh yang memudaratkan.

Nasihat Sharmilla meminta saya membezakan antara kritikan yang negatif dan membinasakan, dari kritikan yang membina dan berpatutan. Ia bersangkut paut dengan profil seniman.

“Jika seniman berasa yang karyanya sudah siap dan sedia untuk dipersembahkan atau dipamerkan di khalayak umum, maksudnya lampu hijau sudah diberikan kepada sesiapa sahaja untuk memberi pendapat tentang karya itu. Bayangkan jika ada seniman profesional di pesta terkemuka. Takkan kita tak boleh mengkritik mereka? Tentu mereka sudah tahu dan bersedia untuk ‘melepaskan’ seni mereka ke dunia. Pada mereka, karya sudah layak dipertontonkan. Kalau sudah layak dipertontonkan, layaklah juga dikritik. Itu dah di luar kawalan seniman.”

Tetapi ada juga nasihat susulan supaya pengkritik tidak terjerumus dalam tabiat memerli. Kerana sesungguhnya menjadi pengkritik bererti memiliki kuasa mutlak untuk menggambarkan dan mengkhabarkan karya kepada masyarakat umum.

“Kalau awak berasa yang tulisan awak sangat sinis, kelakar atau menusuk sehingga awak berasa geli hati dan megah, berhati-hatilah kerana itu mungkin tanda awak sebenarnya mengkritik dengan niat merendahkan,” kata Sharmilla ketika mesyuarat bulanan kami.

Mengimbas kembali pengalaman sepanjang program, perasaan cuak beransur pudar pada fasa kedua, di mana saya semakin memahami tatacara penulisan ulasan seni, berbanding penulisan bukan fiksyen atau skrip drama yang lebih dekat pada diri ini. Berpandukan nasihat mentor, saya belajar memastikan sebarang pendapat didampingi hujah yang tidak berdasarkan perasaan semata, tetapi pemerhatian saya sebagai penonton. Saya juga semakin peka terhadap konteks pameran atau persembahan, dan menyesuaikan ulasan saya padanya. Misalnya, ketika menulis tentang pameran seni oleh seorang seniman muda yang baru kehilangan bapa dan mengetengahkan tema kesedihan dan kehilangan berikutan kejadian tersebut, saya belajar mengurangkan keinginan untuk menyampaikan kritikan berilmiah, tetapi sebaliknya melihat pameran sebagai ruang peribadi seniman yang telah dibuka sedikit kepada orang luar, untuk dijenguk dengan hormat. Apabila menulis tentang pameran dalam talian yang berkonsep kesarjanaan dan dikurasi oleh penuntut Doktor Falsafah pula, saya sengaja mengambil pendekatan lebih bersahaja dan menekankan perasaan saya ketika melawat, supaya semangat ilmiah tidak menenggelamkan asas melawat pameran, iaitu respons nurani kepada seni yang dipaparkan.

Perlunya pengkritik di dunia seni tempatan diterangkan oleh penganjur program, Fasyali Fadzly, Dekan Fakulti Teater di ASWARA yang juga penulis dan pengarah teater. Sebagai penggiat, Fasyali mengharapkan kupasan yang mendalam terhadap karyanya. Malangnya, setelah berbelas tahun menghasilkan karya teater, kupasan tersebut masih belum menjelma.

“Ulasan yang saya pernah baca selalunya terlalu pendek, dan tidak berikhtiar mendalami karya serta respons pengkritik. Tapi saya tak salahkan penulis, kerana kebanyakannya untuk terbitan di blog peribadi atau akhbar tabloid,” kongsi Fasyali melalui wawancara dalam talian.

Timbul pula pertanyaan tentang kelayakan untuk menerima penelitian.

“Sebagai pembikin teater, saya tertanya adakah karya saya begitu tidak memuaskan, sehingga tiada sesiapa yang mengambil peduli untuk mengulas dan mengupas dengan betul-betul?” terpacul soalan dari mulut Fasyali.

Pada hemat saya, pasti ada yang mengikuti dan mengamati karya di luar sana. Cuma, budaya mengkritik dan berdialog itu belum semekar yang diimpikan. Pelantar juga kurang, apatah lagi peluang.

Berbekalkan latihan dan tunjuk ajar yang diterima sepanjang program yang seperti program latih tubi menulis, saya berasa lebih yakin terhadap suara dan perspektif yang dibawa. Semoga memberi manfaat, walau pada skala yang kecil.


Semua pandangan dan pendapat yang dinyatakan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis sendiri dan tidaklah mencerminkan pandangan dan pendapat daripada pihak CENDANA. Pihak CENDANA merizabkan hak daripada sebarang liabiliti, kerugian, kesilapan dan/atau pelanggaran hak harta intelektual yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh penulis di dalam artikel semasa atau selepas penyiaran, sama ada di laman web atau mana-mana platform rasmi CENDANA atau sekiranya pandangan/pendapat disiarkan semula di mana-mana platform pihak ketiga yang lain.

Adriana Nordin Manan is a participant of the CENDANA - ASWARA Arts Writing Mentorship Programme 2020-2021.

Share this article
Copyright © 2021 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service 
Ooops!
Generic Popup