Bengkel “Why Not Here?” Menghidupkan Semangat Berkarya Di Kala Terasing dan Mencabar Konsepsi Lazim Seni Tari
Oleh Adriana Nordin Manan

Sesi di tapak arca “Breast Stupa Topiary” oleh Pinaree Sanpitak
Gambar ihsan: Why Not Here?

Perkongsian dekat dengan naluri seorang karyawan. Sang penulis mengharapkan pembaca. Sang pelukis mendambakan penatap. Terputusnya peluang untuk berkongsi ciptaan dengan khalayak pilihan mungkin antara sebab utama pandemik yang melanda turut menghambat nurani seni golongan ini.

Bagi karyawan tarian dan pergerakan, suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi memeritkan, menambat tubuh yang ingin berkarya ke titik noktah yang tidak ketahuan. Bagi penari, koreografer dan karyawan tarian kontemporari dari Kuala Lumpur, Summer Gan dan Alisya Razman, keperluan mengundur diri dari rutin kerjaya di kotaraya New York dan pulang ke tanahair ketika dunia seakan terhenti membuka peluang untuk kolaborasi berbentuk bengkel tarian yang diberi nama Why Not Here? Bengkel bercirikan tapak khusus (“site specific”) berlangsung pada 9-13 Disember 2020 di Galeri ILHAM, Kuala Lumpur dan memfokuskan interaksi pergerakan dengan persekitaran, iaitu seni bina Menara ILHAM serta pameran fotografi, “Bayang Itu Timbul Tenggelam.” Proses merancang dan melaksanakan bengkel pula menandakan perjalanan menyelami hubung kait antara tubuh badan dan konteks budaya yang didiami, selain menghargai perbezaan fizikal setiap insan.

Untuk mengubati kerinduan pada tarian, pada mulanya Summer dan Alisya menari bersama di studio kecil milik syarikat teater Five Arts Centre, ihsan program anjuran syarikat tersebut yang menawarkan penggunaan studio secara percuma kepada penggiat seni tempatan. Ketika itu, tiada rancangan untuk membuat sebarang persembahan atau melibatkan orang lain. Sesi sekadar mengerjakan sendi dan berkolaborasi mesra sesama rakan seangkatan untuk memenuhi masa.

“Waktu itu, kami ingin mendalami konsep abstrak yang bermain di minda, tentang hubungan emosi dan fizikal yang terasa hilang ketika PKP,” jelas Alisya ketika diwawancara pada suatu petang di Taman Tun Dr. Ismail.

“Malangnya, menari di ruang tertutup tak memenuhi keinginan kami. Malah boleh dikatakan memurungkan,” tambah Summer sambil tertawa kecil.

Haluan berubah apabila melawati pameran “Bayang Itu Timbul Tenggelam” di Galeri ILHAM. Kebetulan, mereka mengunjungi Menara ILHAM yang terletak sepelaung dari Menara Berkembar Petronas untuk menjenguk pameran dan merasai suasana di bangunan pencakar langit yang mencerminkan keindahan seni bina dengan susunan palang besi geometrik berlatarkan kaca gelap.


Summer dan Alisya
Gambar ihsan: Why Not Here?

Siapa sangka, hasil kunjungan itu, terbisik di hati untuk menjadikan Galeri ILHAM lokasi baharu eksplorasi seni. Pameran yang mengupas sejarah rencam fotografi di dalam negara menjadi titik tolak persoalan seni yang lebih mengujakan.

“Kami terkesan apabila melihat gambar masyarakat Malaysia yang berbilang kaum di pameran “Bayang Itu Timbul Tenggelam,” kongsi Alisya. “Buat pertama kali, terasa yang identiti kami sebagai warga Asia dipaparkan secara positif. Di luar negara, kisah yang dikongsi selalunya kisah orang lain, yang diceritakan bukan cerita kami. Sejarah pun, bukan sejarah kami, kelompok perantau yang bermastautin mencari rezeki di sana,” jelas penari lulusan Sarjana Muda Seni Halus Tarian dari Sekolah Seni Tisch, Universiti New York.

Bagi Summer pula, dia melihat potensi bahan pameran sebagai titik permulaan proses berkarya , mengambil alih tempat muzik yang lazim dijadikan pencetus idea. Dengan sokongan Galeri ILHAM serta CENDANA, Why Not Here? berlangsung selama lima hari berturut-turut pada Disember 2020, setelah ditangguhkan berikutan gelombang ketiga pandemik. Hasrat mempersembahkan karya ciptaan pada penutup bengkel juga terpaksa dibatalkan dan digantikan dengan rakaman filem pendek bertajuk “Here X” dan “Here Y.”

Pengendali sebarang acara perkongsian ilmu pasti berasa sedikit gusar pada awalnya, memikirkan sambutan peserta. Adakah hasrat sang pengajar dapat direalisasikan, atau kecundang akibat intipati atau cara penyampaian yang sukar difahami? Buat Summer dan Alisya, cabaran utama adalah memastikan peserta menyedari bahawa mencipta koreografi yang molek dan indah bukanlah matlamat utama.


Sesi di ruang utama Galeri ILHAM
Gambar ihsan: Why Not Here?

“Kami tak nak mereka berasa takut-takut. Kalau diberi tugasan mereka gerakan yang diilhamkan oleh bahan pameran, kami tak mahu mereka menghadkan diri. Kebolehan teknikal tidak ditekankan, dan sebab itulah kami memilih peserta dari pelbagai latar belakang dan umur,” kata Summer, yang berkelulusan dari Akademi Dramatik dan Musikal Amerika.

“Sebagai penari, apa yang penting adalah ciri bawaan diri. Kami tak mencari kesempurnaan - jauh sekali kesempurnaan yang hanya berpaksikan meniru gerak tari penari ternama. Sebagai orang Asia, kadang-kadang kita lebih selesa meniru, sebab itu jalan yang lebih selamat. Naluri itulah yang ingin kita lawan,” tambahnya.

“Dalam berkarya perlu ada unsur bermain. Kami nak peserta menghayati ini dan menjadi selesa dengan unsur bermain yang ditekankan,” tambah Alisya. “Konsep bengkel yang kami perkenalkan memerlukan rombakan semula persepsi terhadap bengkel tarian secara umumnya.”

Meskipun hasrat mereka tertanam dengan jelas, penerimaan oleh peserta pada mulanya tidak selari. Pada hari pertama dan kedua, peserta tetap di takuk performatif, mempersembahkan pergerakan yang menekankan lenggok yang indah. Eksperimentasi dan keberanian ditolak tepi, sementara yang diutamakan ialah pergerakan hebat dan terpuji. Pada hari ketiga, jalan lain diambil untuk melancarkan pemahaman.

Dibahagikan kepada kumpulan, peserta diminta memikirkan cara ‘menyatukan diri’ dengan ruang persembahan. Dalam masa 20 minit, mereka perlu mengkoreografi pergerakan secara improvisasi. Usaha ini membuahkan hasil.

“Pilihan yang dibuat lebih berani, dan mereka tidak lagi takut untuk melanggar ‘peraturan’ yang ditetapkan,” kongsi Summer. “Mereka juga lebih selesa bekerjasama, dan memberi lebih perhatian kepada proses kolaborasi.”

Tiga filem pendek oleh pasukan Why Not Here? diterbitkan di Instagram dan YouTube. Dengan durasi sekitar lima minit, naratif filem terbuka kepada takrifan sang penonton. Bertemakan identiti feminin, “Here X” bermula dengan adegan sepasukan penari wanita yang berarak sebaris, diselangi pergerakan rawak oleh setiap seorang. Dengan perubahan pergerakan antara rawak dan dikoreografi, dibantu oleh pertukaran lokasi di sekitar Menara ILHAM serta muzik latar, kehangatan iltizam feminin dapat dirasai.

“Here Y” pula menonjolkan dinamik perhubungan sesama ahli kelompok, dan interaksi penari dengan persekitaran. Pada permulaan filem, para penari kelihatan seperti ahli sebuah unit - seperti keluarga - menghadap dinding galeri dan menghentak kaki serta melaung. Kemudian, adegan penari individu di lokasi seperti tangga kecemasan, ruang terbuka di tingkat atas dan kaki lima memaparkan sosok muka dan pergerakan badan masing-masing pada persembahan yang berpentaskan ruang konkrit. Struktur besi bersulamkan lenggok gemalai sang penari.

Adegan yang paling menarik perhatian ialah interaksi pergerakan tubuh dengan persekitaran seni bina. Sebagai contoh, pergerakan si penari apabila berada di dalam ruang arca “Breast Stupa Topiary” oleh Pinaree Sanpitak yang terletak di luar Menara ILHAM.

Untuk filem ketiga, babak di sebalik latar bengkel serta wawancara dengan Alisya dan Summer turut diterbitkan, berkongsi kisah di sebalik proses percambahan dan pelaksanaan Why Not Here?


Penari Berlatarkan Besi, Berpentaskan Konkrit
Gambar ihsan: Why Not Here?

Apabila diminta berkongsi renungan usai bengkel, Summer dan Alisya melihat Why Not Here? sebagai wadah membandingkan pengalaman hidup dan kerjaya masing-masing di negara yang berbeza. Dalam mengamati pergerakan tubuh badan peserta Why Not Here?, Alisya semakin memahami perbezaan fizikal antara orang Asia dan orang berketurunan Eropah seperti dilihat di New York, Berlin dan kotaraya dunia di mana dia pernah bekerja.

“Di sana, selalunya saya satu-satunya penari berketurunan Asia di studio. Dan saya sedia maklum yang struktur badan orang Asia berbeza daripada majoriti di sana. Perbezaan itu, saya boleh rasa. Tubuh kami bergerak dengan cara berlainan. Tapi selepas bekerja dengan penari tempatan, hakikat ini lebih jelas,” kata Alisya.

Bersetuju dengan Alisya, Summer pula semakin memahami tanggungjawab sebagai pengajar.

“Yang penting adalah mewujudkan ruang yang selamat untuk eksperimentasi. Kerentanan penari itu yang diingini, dan untuk mencapainya penari perlu mempercayai diri sendiri dahulu, dan seterusnya mempercayai kami.”

Summer menyimpulkan keinginannya untuk menjadi pengajar yang konstruktif dan memanfaatkan ketika berkongsi sebab dia mengendalikan Why Not Here?

“Hati saya tergerak untuk mengadakan bengkel yang Summer pada masa lalu - yang lebih muda dan tergapai-gapai cuba menjadi lebih selesa dalam tubuh badan sendiri - perlukan.”


Semua pandangan dan pendapat yang dinyatakan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis sendiri dan tidaklah mencerminkan pandangan dan pendapat daripada pihak CENDANA. Pihak CENDANA merizabkan hak daripada sebarang liabiliti, kerugian, kesilapan dan/atau pelanggaran hak harta intelektual yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh penulis di dalam artikel semasa atau selepas penyiaran, sama ada di laman web atau mana-mana platform rasmi CENDANA atau sekiranya pandangan/pendapat disiarkan semula di mana-mana platform pihak ketiga yang lain.

Adriana Nordin Manan merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA-ASWARA.

Share this article
Copyright © 2021 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service 
Ooops!
Generic Popup