Pada hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan suasana negara sunyi umpama dilanggar garuda. Jalan raya kosong tanpa kenderaan yang kebiasaannya bertali-arus. Taman-taman permainan sepi tanpa manusia. Terbayang di fikiran saya ketika itu semua projek seni yang terpaksa dibatalkan.
“Di mana aku nak cari duit?” Itu yang bermain di fikiran. Beberapa minggu saya kebingungan. Kusut memikirkan kelangsungan hidup.
Pada waktu yang sama satu kaji selidik telah dijalankan oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) yang menunjukkan 93% penggiat seni (termasuk kru) terjejas pendapatan akibat penangguhan projek atau pembatalan kontrak berkaitan seni, dengan lebih 30% responden menyatakan mereka mengalami kerugian mingguan lebih RM5,000 dan lebih 83% responden menyatakan kerisauan mereka dalam aspek penjanaan pendapatan masa depan.
Malah, kerisauan ini bersifat universal. Gail Harrity, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Muzium Seni Philadelphia turut mengakui waktu pandemik ini adalah waktu yang mencabar. Kenyataan beliau ini merupakan sebahagian daripada diskusi dalam talian beberapa pihak pengurusan tertinggi institusi seni di Amerika Syarikat.
Orang ramai mula memperkatakan dunia dalam talian sebagai norma baharu. Bermula April 2020 beberapa galeri seni di Kuala Lumpur mengorak langkah menganjurkan sesi lawatan maya (virtual tour). Antaranya Artemis Art, Segaris Art Center, G13 Gallery, Muzium Kesenian Islam Malaysia dan Jabatan Muzium Malaysia.
Dunia seni kian mekar dengan pelbagai siri pameran, persembahan seni dan perkongsian daripada para penggiat seni. Saya juga tidak melepaskan peluang menghasilkan pelbagai kandungan video (sehingga Disember 2020 lebih 50 video dimuatnaik ke YouTube dan lebih 30 siri Facebook Live disiarkan).
Malah, saya juga menganjurkan kelas seni dalam talian. Namun, ketiadaan projek seni secara tetap menyukarkan perancangan belanjawan. Perkara ini menimbulkan satu persoalan: adakah aktiviti seni dalam talian ini satu norma baharu atau sekadar syok sendiri si penggiat seni untuk menyibukkan diri pada kala tiada
job?
Saya berpeluang menemubual Mohamad Safran Nawi, Pegawai Kebudayaan, Cawangan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang juga Pegawai Projek Panggung Seni Tradisional (PST).
PST merupakan salah satu medium persembahan kesenian tradisional yang dipentaskan secara berjadual di Kuala Lumpur. Ia telah dimulakan pada tahun 2013 di Taman Budaya Kuala Lumpur. Pada tahun 2016, apabila sambutan semakin meningkat, PST dipersembahkan di MaTIC (Malaysia Tourism Centre), yang mempunyai kapasiti 400 orang penonton. Persembahan selama dua malam berturut-turut itu memberi peluang kepada penggiat seni daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), pelajar Universiti Awam (UA) dan agensi kementerian untuk turut terlibat.
“Apabila PKP dikuatkuasakan, kami terfikir mengenai arkib rakaman PST yang lalu. Inisiatif telah diambil untuk menayangkan semula rakaman dari tahun 2013 hingga 2019,” kata Mohamad Safran.
Dia mengakui, pada awalnya matlamat mereka sekadar mahu bereksperimen melihat sambutan penonton dan pada masa yang sama membina kesedaran mengenai JKKN, Facebook Page PST dan acara-acara seni yang telah dianjurkan. Tanpa disangka-sangka siri acara seni dalam talian mendapat sambutan luar jangka.
Apabila Mohamad Safran berkongsi statistik capaian video-video tersebut, saya terpaksa bertanya dua kali (kerana terperanjat mendengar data yang disebutkan).