FEMME DREAMSCAPES INSPIRASI WANITA UNTUK BANGKIT MENCABAR DIRI
Oleh Mimi Salleh

Memasuki ruang terbuka berdinding putih terasa diri diperhatikan. Lebih 50 pasang mata merenung tanpa berkedip. Ada yang bermata galak, ada yang bermata redup. Namun semuanya menyimpan cerita. Kisah kehidupan yang diselimuti impian, cabaran dan escapisme. Malah, kita yang memandang ikut terbawa-bawa dengan emosi. Sesekali, terluah juga kata-kata, “Ahhh, aku tidak keseorangan.”

Menelusuri pameran solo Emila Yusof berjudul Femme Dreamscapes ini seperti menyaksikan satu persembahan teater visual. Dengan setiap langkah, seolah-olah kita dibawa ke ruang latar masa dan latar tempat yang berbeza. Setiap lukisan disusun dan dipamerkan mengikut tema yang kita hanya sedari apabila membaca judul setiap lukisan. Misalnya, di sudut kanan ruang, beberapa lukisan wanita memegang jantung berwarna merah. Membaca judul lukisan iaitu “Lonely won’t leave me alone’, “Ambil hati”, “Ambil Kapak Belahlah Dada” dan “Just take my heart when you go”, kita boleh mendengar suara wanita-wanita ini. Berjalan lagi, kita akan menemui sekelompok wanita yang membisikkan impian melalui tajuk “Secret Wish”, “Espresso”, “Daydream”, “Zhizaoju Love Stories,” dan “A wonder of star”.


Siri Wanita Malaysia mewakili kepelbagaian bangsa yang ada di Malaysia

Emila bukan hanya bermain dengan ayat, malah memaparkan wanita daripada pelbagai bangsa dan lapisan sosio ekonomi. Lukisan berjudul “Diya" memaparkan wanita bersari melihat kerlipan cahaya. “Tudung Batik Sarong” seorang gadis berbaju kurung dengan jahitan leher bertulang belut berseledangkan kain batik, dan dalam lukisan “Kopitiam”, seorang gadis berbaju cheongsam memegang secawan kopi. Hanya melihat pada jenis baju dan latar yang digunakan, para hadirin boleh meneka bangsa setiap wanita ini. Siri Wanita Malaysia adalah koleksi tiga buah lukisan yang mewakili kepelbagaian budaya, perayaan dan bangsa yang ada di Malaysia.

Pakaian dan wanita umpama lagu dan irama. Ia menjadi ekspresi yang saling melengkapi. Namun, adakala pakaian hanyalah luaran yang menutupi perasaan. Misalnya, kita akan melihat sekelompok lukisan wanita dengan wajah yang serius dengan latar warna yang garang tetapi apabila kita membaca judul lukisan, prejudis awal dicabar. Judul “Repression”, “Ruins”, “Goldfish” dan “Suppression” memberi sisi realiti bahawa ada kelompok wanita yang harus sentiasa tampak kuat di mata umum walaupun mereka sebenarnya menyimpan derita.

Emila berjaya menzahirkan tema pameran solonya dengan baik dan ia juga bertepatan dengan tema Hari Wanita Sedunia 2021, iaitu Memilih Untuk Mencabar (Choose To Challenge). Ternyata karya-karya yang dipamerkan mencabar prejudis dan paradigma umum terhadap wanita. Malah sebagai seorang artis yang belajar sendiri (self-taught), kita boleh lihat usaha Emila mencabar dirinya dalam penggunaan gaya dan medium. Saya boleh simpulkan sebagai ‘kenyang’ melihat kepelbagaian penggunaan gaya seni dan jenis-jenis medium seperti cetakan lino, kolaj dan catan. Keberanian bekas juri International Biennial of Illustrations Bratislava, Slovakia ini bereksperimen dengan karya nyata memberi kesegaran pada keseluruhan koleksi.


Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Balai Seni Visual Negara

Dato’ Tom Abang Saufi, Pengerusi Balai Seni Visual Negara semasa ucapan perasmiannya memuji keberanian Emila menerokai potensi luar kotak. Katanya, “Tahniah kepada Emila Yusof atas keberaniannya dalam mencabar konvensyen, dan keberaniannya untuk mencabar dirinya ke tahap yang lebih tinggi dalam perjalanan seninya.”

Artis kelahiran Pahang ini mengakui dia mula melukis pelbagai rupa wanita sejak tahun 2006 dan karyanya berevolusi dengan masa. Katanya, “Karya saya mendapat pengaruh gaya Hokusai, terutama siri poetess dan gaya Vienna Secession.”

Apabila disebut gaya Vienna Secession dan melihat pada latar belakang Emila sebagai seorang artis grafik dan ilustrator buku bergambar kanak-kanak, kita boleh melihat penekanan pada motif dan corak. Antara pelukis terkenal yang mempengaruhi aliran gaya lukisan Emila ialah Gustav Klimt.


Inspirasi corak geometrik semasa melawat Muzium Seccesion di Vienna

Menikmati lukisan Emila, kita turut melihat hujan, hutan, pokok, langit, awan, bulan, burung dan banyak lagi. Dia mengekspresikan dirinya dengan menyerap semua yang ada di sekelilingnya. Di dalam blog emilayusof.com dia mengakui inspirasi hadir apabila dia melihat alam. Memandang ke langit malam dan melihat bintang berkerlipan akan timbul soalan, “Why a star? Why not wish on the Big Dipper? Or Cassiopeia? Or all the stars? Or the whole universe?” Persoalan ini kemudiannya Emila zahirkan melalui calitan warna pada kanvas.

Lebih menarik, Emila tergolong dalam satu peratus penduduk dunia yang dominan kedua-dua belah tangan. Ambidextrous atau dwicekatan adalah kemampuan untuk menggunakan kedua-tangan kanan dan kiri dengan cekap. Katanya, “Saya melukis dan menulis dengan tangan kanan, membuat kerja seharian dengan tangan kiri.”


Emila mengembleng inspirasi dalam Femme Dreamscapes

Mengenali Emila, dia seorang wanita yang kemana-mana sahaja ada buku lakaran dan alatan melukis. Berbekalkan alatan melukis yang ringkas seperti pen, pensil dan pensil warna dia berjaya menghasilkan lakaran yang akhirnya menjadi lukisan, buku atau zine. Di pameran ini, hadirin juga berpeluang melihat koleksi travel journal Emila yang mana beberapa daripadanya telah diangkat menjadi lukisan. Malah, proses kreatif tersebut turut menghasilkan dua buah buku, iaitu Puteri Gunung Ledang dan Fleeting Moments, yang turut dijual sepanjang pameran berlangsung.

Walaupun ini pameran solo, namun Emila berjaya mengembleng semua inspirasi seni halus yang diperolehi, menyebabkan kita melangkah keluar dari ruang pameran ini dengan perasaan puas. Pameran solo ini masih boleh dihadiri di Tingkat 3, bangunan GM, Jalan Robertson sehingga 31 Mac ini. Lukisan dibuka untuk jualan dan boleh juga dilihat di blog emilayusof.com.



Semua pandangan dan pendapat yang dinyatakan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis sendiri dan tidaklah mencerminkan pandangan dan pendapat daripada pihak CENDANA. Pihak CENDANA merizabkan hak daripada sebarang liabiliti, kerugian, kesilapan dan/atau pelanggaran hak harta intelektual yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh penulis di dalam artikel semasa atau selepas penyiaran, sama ada di laman web atau mana-mana platform rasmi CENDANA atau sekiranya pandangan/pendapat disiarkan semula di mana-mana platform pihak ketiga yang lain.

Mimi Salleh merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA-ASWARA.

Share this article
Copyright © 2021 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service 
Ooops!
Generic Popup