Gebu. Berbulu. Pengubat sendu. Haiwan peliharaan dianggap ahli keluarga tersayang di banyak isi rumah hari ini. Di mata manusia, gelagat haiwan peliharaan ada kala comel, menghiburkan malah diakui juga, merimaskan. Namun, jarang kedengaran haiwan ini diketengahkan dalam karya seni. Oleh itu, pameran “FURiends: Portrayals of Cats & Dogs” kelolaan Galeri G13 di Petaling Jaya, Selangor menyuntik keceriaan dalam kelainan yang dibawa dengan paparan imej haiwan peliharaan yang dibela oleh barisan karyawan seni tempatan.
Sesuai situasi semasa, andaian awal sebelum melawat pameran (secara virtual dalam situasi ini, meskipun pelawat boleh memilih untuk mengunjungi pameran versi nyata) adalah pameran akan mengetengahkan imej haiwan sebagai teman pelenyap kesunyian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun, karya yang dipamerkan didapati melangkaui skop ini dan boleh disimpulkan sebagai paparan figuratif haiwan peliharaan yang merangkumi pelbagai perspektif, dari fitrah hakiki sehingga watak luar biasa yang mungkin dimainkan dalam gambaran fantasi sang pengkarya. Ruang lingkup yang luas untuk menghayati tema haiwan peliharaan memberi kebebasan untuk mengolah karya mengikut tafsiran kendiri.
Tanggapan haiwan peliharaan sebagai teman di kala kesunyian ketara dalam karya yang meletakkan manusia dan haiwan sebelah menyebelah. “Companion Since 2011” oleh Fadilah Karim, “Always There” oleh Yuki Tham dan “Moment” oleh Gan Tee Sheng mengambil sisi pandang yang senada, di mana imej manusia berpaling daripada pandangan tepat ke arah penatap. “Companion Since 2011” memaparkan seorang wanita dengan seekor kucing di riba dan lagi seekor di sisi. Kita dapat rasakan yang wanita itu sedang memikirkan sesuatu, dari pandangan ke tepi seolah ke arah sesuatu yang terletak di luar rangka lukisan. Rona yang memenuhi karya minyak pada linen ini cenderung kepada spektrum perang-kelabu, menghidupkan konsep kesunyian atau bertafakur.