HH–Figura Di Sebalik Svara (Bahagian 1)
Oleh Fazrina Jasmin

“Satu isu kami buat dalam tiga ke empat bulan. Untuk setiap satu esei, saya duduk membayangkan dalam otak orang membaca waktu malam sambil bersantai di bawah cahaya malap – lagu jazz atau apa-apa genre terpasang sebagai muzik latar. Tak perlu baca semua, cukup sekadar satu artikel dan esok-esoknya sambung semula. Itu cara kami rancang untuk hasilkan Svara.”
Sedikit tersentak dalam diam tatkala saya mendengar pernyataan tadi – sepantas kilat imbasan bayangan yang hampir sahaja serupa bermain di minda bawah sedar untuk seketika. Sayalah orang itu – pertama kali menyelak-nyelak secara santai helaian Svara Isu 1 pada malam 19 September 2020 setelah seharian menghadiri Bengkel Penulisan Seni fasa 1 di ASWARA, iaitu “pentas sulung” yang menemukan saya dengan Ketua Editor Svara, Hafiz Hamzah. Bezanya, tiada muzik latar yang mengiringi perihal tadi – sekadar suara yang kedengaran sayup-sayup dari kaca televisyen yang sedia terpasang di dalam kamar.


“Secara peribadi, nilai yang membentuk jati diri dikutip dari zaman kanak-kanak lagi – sepanjang formative years. Bercakap tentang asal-usul saja pun sudah sangat polarised. Saya lahir di Pulau Pinang, pernah menetap di Kota Kinabalu dan Sitiawan sebelum berpatah balik ke Sarawak dan membesar di sana. Peralihan dan latar belakang ini yang membentuk diri saya – apabila bercakap soal nilai, sebenarnya bukanlah sekadar sembang kosong,” ujar Hafiz bersahaja sambil menghirup kopi ais segar pada petang Sabtu 6 Mac 2021 di sudut ruang koridor Kedai Buku Tintabudi.

Mengenali sisi peribadi Hafiz, dia yang merupakan graduan jurusan Teknologi Maklumat dari Universiti Malaya (UM) pernah menghadiri sesi pemilihan polis dan askar di Sungai Petani atas saranan keluarga, namun menarik diri pada saat-saat akhir sejurus sebelum mengangkat sumpah memandangkan jiwanya tidak terpaut untuk menyarung uniform dalam membina kerjaya. Sedari awal, matlamatnya jelas – mengintai peluang pekerjaan yang seiring dengan minat yang menebal dalam bidang bahasa, sastera dan penulisan.

“Tamat saja peperiksaan akhir, besoknya saya mula bekerja dengan majalah muzik ROTTW. Tak sempat nak lepak atau apa-apa. Kalau balik rehat dan jumpa keluarga di Sitiawan, tak ada kerja pula. Keluarga saya biasa-biasa, bukan keluarga senang – tak ada pilihan untuk lepak rumah saja-saja. Sudahnya, terus saja kerja sampai setahun.”

“Saya ada berhenti sekejap dan kerja IT semula – ijazah IT, rasionalnya kena juga guna scroll sedikit. Kerja dalam setahun jugalah di Amcorp dengan syarikat besar dari India. Tak lama selepas itu, kawan editor hubungi semula untuk cover automotif. Mula-mula tak tahu apa pun, tapi disebabkan hendak menulis selain cerita politik, terima saja tawaran. Kini, sudah mencecah 15 tahun dalam bidang automotif (termasuk sewaktu di Berita Harian) dan buat masa sekarang sudah empat tahun saya berkhidmat menerusi laman sesawang Paultan.org,” ujar Hafiz.

Menurutnya lagi, berbekalkan minat sahaja belum memadai untuk menempuh pasang-surut cabaran hari-hari mendatang. “Jika nak menulis sepenuh masa, perlu kental dan sedar yang bidang penulisan semata-mata tak menjamin hidup selesa setiap masa – bukan hendak kaya, cuma selesa. Jadi, keperluan dana itu penting. Peluang terakhir baru guna apa saja bentuk dana yang ada untuk capai apa yang diimpikan. Sedari awal saya sedar tentang itu – keperluan untuk struggle dan bersyukur Tuhan beri jalan.”

Mendengar perkongsian Hafiz, beberapa persoalan pokok muncul dalam benak fikiran – apa atau siapa yang mendorong atau memberinya inspirasi dan kesedaran sedari awal dia mula serius berkarya. Sejurus ditanya, Hafiz dengan tegas memperincikan “nahu naratifnya” dengan cukup jelas – dibangkitkan oleh semangat dan rasa ingin tahu yang tinggi rentetan daripada tsunami politik yang melanda negara sekitar tahun 1998 (waktu itu dia masih lagi berada di Sarawak, manakala “gelombang tsunami” terus berlanjutan sehingga tahun-tahun berikutnya).

“Sekitar 2001, Dewan Tunku Canselor (DTC) UM dilaporkan terbakar di media massa akibat litar pintas. Waktu itu saya dalam tahun pertama dan baru selesai menjalani orientasi, di mana hampir setiap malam sebelum itu atur cara orientasi berlangsung di DTC. Pelbagai teori dan spekulasi bermotif politik dilontarkan oleh pelbagai pihak. Ini sedikit sebanyak membuka mata saya untuk memahamkan apa sebenarnya naratif yang cuba diketengahkan oleh media pada masa itu. Saya cenderung untuk tak sekadar menerima bulat-bulat segala versi yang dilemparkan, sebaliknya akan mengkaji sendiri setiap apa yang didengar di samping menelusuri segala bentuk naratif yang dijaja.”

“Habis belajar, walaupun sudah menggenggam segulung ijazah, saya rasakan diri ini agak ketinggalan, kosong dan sedikit bodoh dalam banyak sisi – akar umbi keluarga, sejarah negara, kewarganegaraan, pemerintahan dan sebagainya. Bukan sebab saya anti sesiapa, cuma rasa tak puas hati kian menebal, lebih-lebih lagi dari sudut pandang organisasi hierarki yang budayanya menurut saja tanpa banyak soal, tanpa minda yang kritis. Sejak itu, saya mula membaca dan terus membaca untuk membina kefahaman, di samping cuba hadam segalanya tentang Malaysia berserta hubung kait peristiwa yang berlaku di dalam negara secara total – kiri, kanan, depan, belakang. Saya mula membaca sejarah bukan sebagai mata pelajaran malahan lebih daripada itu.”

Berbalik kepada awal-awal kerjayanya di ROTTW, Hafiz menambah, “Saya berhenti menulis di ROTTW kerana rasa seperti tak lagi boleh menulis dan tak ada tool yang membolehkan saya untuk terus menulis. Walaupun tema berkisar tentang muzik semata-mata, tapi seni menulis itu sendiri memerlukan kefahaman – tentang alat muzik, sejarah muzik dan sebagainya. Pertama sekali, saya perlu bina kefahaman dan daripada situ juga saya nekad untuk fokus pada pembacaan bagi mengukuhkan lagi asas kefahaman terhadap subjek yang ingin saya dalami.”

Merenung kembali perkongsian Hafiz – jikalau pun diajak berbicara tentang nilai dan sikap sedekad yang lalu, konteksnya mungkin agak terasing kerana kurangnya kefahaman tatkala masih lagi “teraba-raba” dalam gelap. “Sepuluh tahun lepas, saya tak ada kefahaman yang sama seperti sekarang, khususnya tentang salasilah, sejarah dan pembentukan negara. Kini, segala-galanya sudah jelas buat saya. Rasionalnya, setiap daripada kita ada pilihan jalan masing-masing – sama ada ingin kekal kosong dan mundur di tampuk lama atau bangkit dengan kesedaran dan pendekatan ambil peduli atau alert tentang perkembangan semasa untuk terus mara. Itulah yang membentuk nilai dan sikap, tak kira dalam apa saja bidang profesion dalam lingkungan peranan yang dimainkan oleh setiap daripada kita – sama ada dari sudut seni kreatif, korporat hatta individu sekalipun.”


Semua pandangan dan pendapat yang dinyatakan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis sendiri dan tidaklah mencerminkan pandangan dan pendapat daripada pihak CENDANA. Pihak CENDANA merizabkan hak daripada sebarang liabiliti, kerugian, kesilapan dan/atau pelanggaran hak harta intelektual yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh penulis di dalam artikel semasa atau selepas penyiaran, sama ada di laman web atau mana-mana platform rasmi CENDANA atau sekiranya pandangan/pendapat disiarkan semula di mana-mana platform pihak ketiga yang lain.


Fazrina Jasmin merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA-ASWARA.

Kongsi artikel ini
Copyright © 2021 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service 
Ooops!
Generic Popup