HH–Figura Di Sebalik Svara (Bahagian 2)
Oleh Fazrina Jasmin

Nilai. Pegangan. Kemanusiaan.

Memetik sebahagian daripada coretan Hafiz Hamzah menerusi lembaran Svara Isu 1 (Jan-Mac 2020):

“Ketika perhatian di sekeliling lebih diberikan terhadap hal-hal remeh dan keriuhan yang bukan-bukan, Svara hanya ingin kekal di suatu sudut tersendiri, mengisi ruang berkenaan dengan sebuah penerbitan seni budaya di Malaysia, yang mengingatkan kita kembali apa ertinya untuk bersenggolan dengan sisi kemanusiaan “sekali lagi”.”

Ikuti temu bual saya bersama Hafiz bagi “sekali lagi” menyoroti naratif dan sudut pandang berkisar pada hal-hal keperluan dan nilai yang didukung garis kepengarangan Svara.

Svara suatu bentuk perjuangan?

Bukan perjuangan, tapi sebetulnya keperluan. Saya nak orang faham yang keperluan itu bukan sekadar material. Umpama batang tubuh, roh yang memacu jasad itulah yang akan menentukan hala tuju pemilik tubuh tadi. Jika terisi dengan kejelikan, yang keluar pasti turut sama jelik dan hodoh. Begitu juga sebaliknya – apabila pengisian rohnya bagus, maka akan terlihatlah bayangan perilaku individu yang berakal dan berilmu yang bergerak seiring dengan keperluan tadi.

Keperluan yang ingin diketengahkan melalui penulisan saja?

Itu cara yang kami ketengahkan menerusi Svara. Lain orang, lain cara. Namun, tetap bertitik tolak daripada kesedaran dan asas nilai yang sama – perlaksanaannya saja mungkin berbeza mengikut kesesuaian dan kapasiti masing-masing.

Adakah berbeza insentif hasil penulisan dahulu berbanding sekarang?

Lebih kurang sama saja, tak jauh beza imbuhan dahulu dan sekarang. Ada sesetengahnya yang enggan memberi atau berkongsi dengan orang-orang bawahan termasuklah penulis. Rata-rata masih terpalit dan bergelumang dengan isu royalti sehingga kini.

Dengan sumber kewangan yang terbatas, Svara masih rasional dan bertimbang rasa dalam menentukan kadar yang perlu dibayar – dari RM150 hingga RM500 (bagi yang berpengalaman). Saya akui bayaran sebegini taklah tinggi mana. Hasrat tertinggi ialah untuk memberi imbuhan secara komisen. Contohnya, menerusi ketetapan kadar bayaran tertentu, kami boleh dapatkan bahan cerita pada sekian-sekian tarikh/tempat dan penulis sudah boleh terus bekerja di lapangan tanpa banyak kekangan. Jika nak dibandingkan dengan saluran surat khabar, keprihatinan secara keseluruhannya memang berbeza – lebih kepada pemberitaan dan bukan seperti apa yang Svara kerjakan. Medium yang sama, kerja yang sama (menulis) tapi tujuan, objektif dan cara kerja semuanya berbeza.

Setelah bertebaran Svara Isu 1 sehingga yang terkini Isu 5, sambutan dan jumlah jualan memberangsangkan?

Bagi saya, apa yang terhasil sememangnya niche, jadi saya rasakan memadai. Bukan sudah cukup, tapi sangat memadai sebagai permulaan – dari segi sambutan pembeli dan pembaca yang ada. Cuma banyak lagi yang perlu dilakukan agar Svara lebih berkembang.

Setakat ini, jualan di kedai buku yang agak besar sedikit ialah di Kinokuniya (Kino). Untuk jenama kedai-kedai besar lain, buat masa sekarang belum tergerak lagi nak pasarkan Svara di sana kerana lazimnya mereka akan ambil dahulu, manakala bayarannya agak lewat – jika jangka waktu setahun baru boleh terima bayaran, ibarat kena “sembelih” jugalah.

Saya berterima kasih dan amat berpuas hati dengan Kino yang faham akan konsep yang dibawakan Svara – “barang bagus, buatan tempatan”. Kalau boleh dibayangkan Svara di rak Kino – kecil, kenit tapi bertaring. Untuk kerja-kerja perlaksanaan, pasti ada pasang surutnya – apabila cukup dana untuk terbitkan sesuatu isu, barulah kami boleh bersembang lagi untuk projek-projek seterusnya. Hal-hal seumpama ini memang perlu untuk dipertimbangkan –daripada editorial sehinggalah ke pengedar. Sekiranya ada duit lebih, mungkin boleh upah orang untuk tolong jual dan pasarkan di sana sini. Buat masa sekarang, belum ada lagi.

Tiada tajaan atau pembiayaan?

Ada beberapa iklan yang masuk untuk dipaparkan. Itu sajalah bentuk yang kalau saya boleh kategorikan sebagai tajaan. Sangat minimum – kalau nak diikutkan, masih tak lepas untuk bayar kos cetakan. Membantu, tapi tidaklah menyeluruh.

Bukannya saya tak mencari. Ada juga mencuba nasib, tapi setakat hari ini, masih belum ada rezeki. Apa yang saya kerjakan ini sememangnya “kerja gila”. Orang boleh cakap macam-macam, tapi kalau mereka disuruh buat benda yang sama, belum tentu ada yang sanggup – alamatnya memang tak ke mana. Siapa yang sanggup bersusah-susah nak buat “kerja gila”, ditambah pula perlu banyak berfikir dan berjaga malam. Secara logiknya, lebih baik buat rutin kerja biasa, dah tentu-tentu ada gaji. Hujung minggu boleh beristirahat, melepak, pergi berjalan, tapi ini tidak – ini cara kami dan kami pilih jalan ini. Kami sangat disiplin; seminggu sekali akan berjumpa dan berbincang apa-apa yang patut, misalannya untuk isu-isu yang akan datang.

“Kerja gila” beri adrenaline rush?

Sememangnya – ibarat tuhan sudah beri nyawa, akhirnya ada benda berfaedah yang nak dibuat dan terasa ada gunanya di situ. Kalau melihat pada zaman sekarang dengan segala macam trend yang disajikan menerusi media sosial, pemahaman dalam kalangan budak-budak muda boleh dikatakan “terputus” dan rata-ratanya buta sejarah. Mereka lebih selesa menjadi “pengguna” dan terima saja bulat-bulat apa yang ada di depan mata tanpa banyak soal. Katakanlah yang lahir sekitar tahun 2000, sekarang sudah berumur 21 tahun. Mungkin mereka tak dapat nak bayangkan apa yang berlaku dalam negara sekitar 1998, padahal dua tahun saja sebelum kelahiran dan rentetan peristiwa terdahulu boleh dicapai dan diketahui dengan satu cara saja – membaca. Malangnya, mereka tetap liat nak buat.

Ada pihak panas punggung dengan Svara?

Ancaman tak ada, tapi kami tahu banyak benda yang berlaku dalam industri. Contohnya, ada majalah yang besar-besar mengambil konsep yang serupa, tukar susun atur hampir sama dengan Svara – mereka mungkin tak mengaku, tapi apabila dilihat dan diteliti, kami boleh tahu. Pada kami bagus – maksudnya apabila “masuk padang”, orang mula beri perhatian dan mereka rasakan perlu untuk mempertingkatkan bahan penulisan, kualiti material dan lain-lain untuk kekal berdaya saing. Bagi orang-orang lama dalam industri, mereka sangat faham dengan apa yang Svara lakukan dan mereka hormat dan boleh rasakan kelainan Svara – feel tak sama kalau nak dibandingkan tatkala mereka membaca Malaysiakini atau online portal misalnya berbanding dengan membaca Svara.

Dunia berevolusi seiring dengan kecangggihan teknologi digital – mampukah Svara kekal relevan dalam era ini?

Pada kami, relevannya sesuatu itu bukanlah dalam bentuk “perlumbaan” gembar-gembur populariti atau hype – bukan berapa banyak capaian hits, berapa ramai yang like/dislike dan sebagainya. Kami tak mahu semua itu. Secara peribadi, tak adil untuk meletakkan sisi humanistik dalam bentuk angka-angka like/dislike/share saja. Mungkin terlihat sedikit bangang dalam konteks dunia perniagaan, tapi apa yang ingin kami tekankan ialah pengisian. Kalau dapat sepuluh orang pembeli/pembaca, tapi tiga saja yang “menjiwai”, kami rasa sudah cukup baik. Kami bukanlah nak mengelak atau menidakkan kelebihan platform digital. Apa yang penting, perlu berbalik kepada pendirian dan sikap – nilai yang tak ramai nak genggam apabila nurani sudah dikaburi dengan duit.

Sedikit perkongsian, pada penghujung 2020, saya menjalani residensi dalam talian (yang sepatutnya diadakan di Vietnam dan Singapura, tapi dipinda secara maya disebabkan pandemik). Mereka yang terlibat bukan calang-calang – ada yang telah buat kajian selama sepuluh tahun dari Jepun, lulusan RMIT, Melbourne, dari Sri Lanka dan lain-lain negara.

Bagi slot persembahan, tak ada benda besar-besar yang nak ditonjolkan, melainkan inisiatif yang sedang berjalan. Waktu itu, saya angkat mock-up Svara yang ke-4 dan jelaskan, di sini kita ada Svara. Walaupun sekadar melihat melalui skrin, semua terpegun kerana tak sangka saya boleh hasilkan sesuatu yang gah seperti Svara. Pada mereka, melihat pada luaran saja seolah-olah perlukan dana yang besar dan tenaga kerja yang ramai – mereka semacam tak percaya apabila diberitahu angka asal yang menggerakkan Svara (tolak penulis sambilan, kembali empat orang saja). Melihat kepada Svara, ada peserta yang berhasrat untuk datang ke Malaysia dan lihat secara dekat bentuk bahan bacaan yang ada di sini walaupun hakikatnya mereka tak faham Bahasa Melayu.

Di KL sendiri, ada yang mengatakan pernah dengar tentang Svara tapi tak tahu butirannya secara terperinci. Jika ditakdirkan selepas ini Svara tak mampu untuk bertahan, apa yang saya boleh katakan – sekurang-kurangnya pernah ada lembaran majalah seperti ini. Bermula dari tiada apa-apa, kini kami sudah “jalankan amanah” untuk diwarisi dan dikenang sehingga hujung usia.


Semua pandangan dan pendapat yang dinyatakan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis sendiri dan tidaklah mencerminkan pandangan dan pendapat daripada pihak CENDANA. Pihak CENDANA merizabkan hak daripada sebarang liabiliti, kerugian, kesilapan dan/atau pelanggaran hak harta intelektual yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh penulis di dalam artikel semasa atau selepas penyiaran, sama ada di laman web atau mana-mana platform rasmi CENDANA atau sekiranya pandangan/pendapat disiarkan semula di mana-mana platform pihak ketiga yang lain.


Fazrina Jasmin merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA-ASWARA.

Kongsi artikel ini
Copyright © 2021 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service 
Ooops!
Generic Popup