Idealisme Dalam Distopia: Asal Buangan Menjadi Seni
Oleh Fazrina Jasmin

Himpunan tag roti, resit terkumpul, tiket-tiket lama, kertas pembalut coklat yang tertera padanya maklumat nutrisi. Sekali pandang, seolah-olah tiada nilai dan nampak seperti sampah-sampah kecil – ada kalanya terselit di celah-celah dompet, poket seluar atau mungkin bertimbun dan terbiar di suatu sudut meja; barangkali mudah diterbangkan angin dari kipas siling yang sedia terpasang laju. Namun, sudut pandang yang klise terhadap objek berupa “sampah” ini berjaya diubah 180 darjah tatkala nilai estetikanya dirakam dalam bentuk “lukisan-lukisan hidup” karya Atiqah Khairul Anuar menerusi ANGANBAROK – Pameran Seni Rupa Artis Residensi Sesi 3/2020 pada 23 November –31 Disember 2020 di Rumah Seni Selangor (RUsSEL).

Mengaplikasikan teknik hiperrealisme pada karyanya, cetusan idea yang bermula seawal PKP 2020 lagi menyaksikan Atiqah bijak bermain dengan ilusi, sebagaimana dia mewujudkan kesan “silap mata” dengan menambah pita pelekat pada lukisan agar kelihatan seperti objek asal. Menerusi pameran kali ini, dia mengetengahkan hasil kerja yang bertemakan dokumentasi kehidupannya sendiri, berkisar pada benda-benda terpakai atau terbuang yang selalu ada tetapi jarang-jarang diambil peduli.


“Saya suka kumpul barang-barang ephemeral seperti tin, resit, tiket dan lain-lain. Kadangkala saya beritahu pada orang sekeliling, saya suka kumpul sampah,” ujar Atiqah bersahaja.

Menurutnya, pameran ini adalah hasil percubaan dan kesilapan (trial and error) daripada kepelbagaian gaya yang telah diterokai sepanjang dia berkarya. Bermula dengan akrilik, residensi kali ini membolehkannya bereksperimentasi dan meneroka penggunaan cat minyak dan material-material lain sehingga akhirnya mula menemukan gaya sendiri dalam ruang lingkup tema yang ingin diketengahkan.

“Saya pernah buat installation – sebuah dinding penuh dengan resit-resit peribadi. Terasa seperti self-portrait. Dari sekadar resit, saya boleh tahu dan jejak ke mana saya pergi. Sampai ke satu tahap, kalau saya pergi bayar parking pun saya akan ambil dan simpan segala resit.”

“Resit-resit ini ialah objek ephemeral yang tak kekal dan tulisan-tulisannya akan pudar. Jadi sepanjang proses kajian untuk pembelajaran tahun akhir, saya cuba cari penyelesaian bagaimana nak dokumenkan supaya tak malap atau pudar. Penyelia saya kata, kamu boleh melukis secara realistik, bukan? Jadi apa kata lukis semula resit-resit ini secara realistik. Saya pun melukis dan hasilnya agak baik. Jadi ia bermula dari situ, dengan saya mendokumenkan segala jenis benda yang ada,” jelas Atiqah apabila ditanya lanjut tentang gaya dan proses kerja yang dilaluinya sedari awal.

Sambil merakam perkongsian Atiqah, saya mengimbas lukisan yang terlihat seperti tiket dan pas berwarna disusun sederet dengan himpunan resit kosong yang dikepilkan bersama, namun tiada butir-butir yang jelas. Seperti memahami persoalan yang bermain di kotak minda, Atiqah lantas menambah, “Untuk siri pertama, saya tiru bulat-bulat termasuk semua tulisan pada resit. Tapi bila saya tiru semua sama, saya rasa apa faedahnya? Sebab itu sebagai pelukis, saya olah semula dan saya ada kuasa untuk ubah apa sahaja yang tertera pada dokumen yang saya hasilkan.”


“Dari situ, saya mula bermain dengan maklumat yang ada. Saya boleh pilih apa yang saya ingin kongsi bersama orang di luar sana dan saya boleh padam apa maklumat yang saya tak mahu paparkan kepada umum. Jadi ia memberikan saya “kuasa” dan ruang untuk saya berkongsi dengan orang tapi masih lagi mempunyai “tembok” agar tak terlalu mendedahkan maklumat yang tak sepatutnya.”

Mendengar penjelasan Atiqah, dalam diam saya memberikan tanda “suka” dan bersetuju dengan perinciannya yang amat relatable dan jelas membayangkan hubung kait serta pertembungan antara idealisme dan realisme. Hakikatnya, inilah persoalan berbangkit yang kita sendiri tempuhi dalam konteks kehidupan sehari-hari, lebih-lebih lagi menerusi apa yang dikongsi dan ditayangkan kepada umum di media sosial yang ada kalanya tidak sama dan jauh tersasar daripada realiti sebenar yang cuba disembunyikan.

Seterusnya, mata saya tertumpu kepada imbasan x-ray tulang belakang berona hitam putih yang sangat mirip dengan imej sebenar tetapi diberikan sedikit twist menerusi kesan pensel dan garisan grid pada sebahagian imej.


“Orang selalu bertanya ini gambar betul ke? Kalau diperhatikan secara dekat, sebenarnya boleh nampak seolah-olah separa siap. X-ray pada bahagian kanan saya lukis dengan lengkap, tapi pada bahagian kiri saya biarkan undone menggunakan kesan grid – ya, agak kompleks,” ujar Atiqah sambil berpaling ke arah lukisan yang tergantung. Ditanya tentang cerita di sebalik lukisan berbentuk imbasan x-ray tadi, Atiqah menjelaskan dia mendapat tahu menghidapi sklerosis ringan setelah melakukan pemeriksaan sekitar tahun 2013, berkemungkinan disebabkan postur ketika melukis yang lazimnya dalam posisi duduk.

Sedikit kelainan terlihat pada gaya dan tema lukisan yang menampilkan pelbagai bentuk mata yang dikontraskan dengan warna latar gelap, sekaligus membangkitkan mood suram dan sisi yang agak dark. Atiqah kelihatan cuba bereksperimentasi dengan kelainan dan mengambil inspirasi menerusi apa yang dilihatnya di media sosial. Mata yang dilukis seolah-olah “ditempel” secara rambang; barangkali milik seorang lelaki mahupun perempuan yang kelihatan seperti sedang memerhatikan orang, tidak kurang juga seperti sedang mengintai dan ada yang seakan-akan membayangkan seperti mata-mata yang menyamar. Secara ringkas, pelbagai naratif dan interpretasi yang boleh dikaitkan di sebalik jenis-jenis mata yang melihat dan memandang kembali tadi.


Sama ada PKP memberi kesan terhadap input, kandungan atau proses kerjanya, Atiqah memilih untuk kekal optimis, namun tidak menolak sebarang kemungkinan yang boleh dan bakal terjadi. Ujarnya, apa yang penting ialah kesihatan dan kesejahteraan minda. “Saya akan terus hasilkan kerja seni. Untuk kandungan, mungkin juga sewaktu PKP kebanyakan artis lebih tertumpu untuk hasilkan karya seni berkaitan pandemik dan PKP itu sendiri. Saya cuma berharap masyarakat menjadi lebih kreatif dengan menggunakan cara yang lebih bijak untuk selitkan atau mengekspresikannya menerusi seni secara tidak langsung.”


Semua pandangan dan pendapat yang dinyatakan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis sendiri dan tidaklah mencerminkan pandangan dan pendapat daripada pihak CENDANA. Pihak CENDANA merizabkan hak daripada sebarang liabiliti, kerugian, kesilapan dan/atau pelanggaran hak harta intelektual yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh penulis di dalam artikel semasa atau selepas penyiaran, sama ada di laman web atau mana-mana platform rasmi CENDANA atau sekiranya pandangan/pendapat disiarkan semula di mana-mana platform pihak ketiga yang lain.


Fazrina Jasmin merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA-ASWARA.

Kongsi artikel ini
Copyright © 2021 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service 
Ooops!
Generic Popup