Idealisme Dalam Distopia: Asal Buangan Menjadi Seni (Bahagian 2)
Oleh Fazrina Jasmin

“Tajuk siri pada masa itu “Fraud”. Asalnya pada objek-objek terbuang seperti resit kita boleh tengok macam-macam maklumat yang tertera, tapi ada yang saya lukis tanpa apa-apa butiran – resit kosong. Selain resit, saya duplicate dokumen-dokumen penting seperti kad pengenalan, pasport, sijil kelahiran, tapi saya “singkirkan” maklumat peribadi – jadi ia adalah umum dan boleh jadi kepunyaan sesiapa sahaja. Ya, ibarat silap mata, saya gemar bermain dengan ilusi.”

Itu antara intipati awal perbualan saya bersama Atiqah Khairul Anuar bertempat di Rumah Seni Selangor (RUsSEL) pada penghujung petang Sabtu yang terakhir dalam bulan Disember, selang beberapa hari sebelum tahun 2020 hampir melabuhkan tirai. Atiqah merupakan salah seorang artis hiperrealis yang menjayakan ANGANBAROK – Pameran Seni Rupa Artis Residensi Sesi 3/2020 anjuran RUsSEL (perincian hasil kerja Atiqah ada saya nukilkan menerusi artikel Bahagian 1).

Pertemuan yang diatur lebih kurang seminggu awal terpaksa dilewatkan sedikit berikutan hujan lebat. Siang hampir menjengah senja tatkala kehadiran saya disambut mesra oleh Atiqah sambil ditemani beberapa lagi orang rakan di tingkat atas premis seni yang menempatkan ruang studio di mana dia bekerja dan berkarya.

Ikuti temu bual yang mengupas perkembangan semasa selain berkongsi sudut pandang, sisi peribadi dan segalanya tentang Atiqah.

Sekiranya ditanya siapakah Atiqah?
Seorang pelukis.

Kerjaya didorong oleh jiwa keinginan (passion) sedari kecil?
Ya, saya kira semua orang pun dari kecil sudah ada minat. Cuma, semakin membesar ada yang tak pursue. Ada yang mulakan “kerja” dengan contengan dan ia “melekat” dalam diri. Bagi saya, semakin saya membesar, jiwa ingin tahu turut berkembang seiring dengan minat.

Darah seni mengalir dalam keluarga?
Kami adik-beradik ada sisi-sisi kreatif yang berseni, cuma saya yang betul-betul pursue dan jadikannya sebagai profesion. Jika nak katakan ibu bapa mendalami seni, mungkin mereka tak memahaminya seperti saya, tetapi mereka amat supportive. Ada juga masa-masa tertentu yang mereka tak berapa sokong sepenuhnya tapi itu masa awal-awal persekolahan. Sejak menengah atas lagi saya dah tahu dan memang ingin serius berkarya walaupun pada asalnya pengkhususan saya ialah aliran sains.

Mungkin itulah antara masa-masa yang agak sukar dan getir memandangkan ibu bapa agak skeptikal. Tetapi saya buktikan kecemerlangan dan melanjutkan pengajian Seni Halus di UiTM. Akhirnya, mereka menyokong keputusan saya. Mungkin mereka masih tak faham sepenuhnya dan ada had setakat mana saya perlu jelaskan pendirian saya, tapi cukuplah apabila mereka beri sokongan seperti mana yang saya perlukan.

Difahamkan sekitar 2017, Atiqah pernah menyertai program residensi di Saung Banong Arts, Jogjakarta. Boleh berkongsi pengalaman menjalani residensi tempatan berbanding di luar?
Residensi pertama di Jogja merupakan internship cumanya berjalan di luar sekolah. Jika nak dibandingkan sangat pun tak boleh – masa di Jogja saya masih menuntut dan belum lagi jumpa gaya sebenar. Secara jujur, saya memang struggle di sana. Semua yang dibuat tak kena. Ditambah pula “rasa” yang sangat jauh dari rumah.

Sentimen dia berbeza dengan di sini, lebih-lebih lagi cabaran baru apabila perlu berdepan dengan pandemik. Banyak aktiviti yang terpaksa ditangguhkan dan tak sewenang-wenangnya boleh pergi melawat studio atau menerima tetamu. Sesi diskusi juga tak banyak untuk bertukar-tukar pendapat sesama artis.

Pada saya, sebagai artis tak boleh syok sendiri saja untuk berkarya – masih perlukan pandangan dan maklum balas dari luar. Itu yang saya selalu kongsi dan beritahu dengan orang. Perkara yang sangat saya rindukan ketika zaman belajar ialah setiap minggu akan ada sesi kritikan untuk pembelajaran.

Beza kritikan seni di sini berbanding di Jogja ialah susah untuk orang mengkritik kerja seni secara berdepan. Ada suatu pengalaman di Jogja sewaktu kami pergi ke upacara penutup dan mereka adakan sesi perkongsian, mereka benar-benar berdebat mengenai kerja seni secara terang-terangan di situ dengan curator dan juga artis sendiri, yang mana saya rasakan bukan budaya kita di sini. Pada saya pengalaman ini juga membuka mata dan meluaskan horizon sebagai artis.

Hasil kerja seni pernah disalah tafsir sepanjang berkarya?
Pada saya tak timbul sangat isu yang melibatkan tafsiran atau tanggapan umum. Semasa belajar pun kami berkumpul untuk diskusi seni dan itulah yang kami buat – belajar menerusi tafsiran atau interpretasi orang lain. Setiap orang ada pandangan tersendiri, tak ada betul atau salah. Saya ada interpretasi sendiri tapi saya juga gembira mendengar bagaimana orang menafsirkan kerja saya – maknanya mereka boleh relate dengan karya. Jika orang tafsir dan kritik secara negatif tentunya kita akan rasa down tapi saya tetap terima. Kalau tak terima langsung seperti tak mahu belajar apa-apa pula.

Perkara yang memberikan kepuasan atau menggembirakan sebagai artis?
Plus point ialah apabila orang menyukai hasil kerja saya dan mereka ada personal connection. Tapi saya faham dan akur yang seni sangat subjektif, tak semua boleh terima hasil kerja kita. Yang paling menggembirakan ialah apabila adik-beradik sendiri memahami kerja saya. Ada masa-masa kakak atau adik akan datang ke studio dan berbual mengenainya. Itu yang menggembirakan saya – apabila dapat berkongsi dengan keluarga atau orang-orang terdekat.

Passion yang bertukar menjadi profesion – adakah terapeutik? Setimpal dengan usaha, kesungguhan atau masa yang diperuntukkan?
Sepanjang saya berkarya, saya taklah rasa seni sebagai sebuah terapi. Mungkin sebab saya telah menjalaninya untuk sekian lama – dari zaman sekolah, diploma, ijazah pertama sehinggalah ke peringkat sarjana. Sepanjang tempoh tersebut saya tak berehat atau mengambil cuti lama.

Saya akui ada masa-masa yang saya rasa tak mampu lagi untuk menjadi seorang artis – rasa seperti hendak berhenti saja. Saya tak pernah beritahu ini kepada sesiapa. Ada juga bertanya dengan artis lain sama ada mereka pernah terlintas untuk berhenti. Rata-rata menjawab tak sebab mereka didorong oleh minat dan seni sudah sebati dalam diri. Tapi untuk saya, tak dinafikan ada melalui fasa-fasa yang membuatkan saya terfikir untuk berhenti – mungkin berhenti sementara atau sekurang-kurangnya bercuti seketika.

Dalam tahun 2020 saya alami kesukaran walaupun sekadar nak hasilkan lukisan biasa. Saya agak kecewa sebab saya kenal diri saya. Sebelum ini saya jenis yang sangat produktif dan boleh duduk di depan kanvas berjam-jam, tapi pada fasa itu saya rasa agak tepu dan tak boleh hasilkan apa-apa sampai saya sendiri tak pasti sama ada saya benar-benar pure artis atau sebaliknya.
Ada masa bukannya saya tak tahu nak buat apa, cuma saya “tak tahan”. Ada hari-hari yang saya datang ke studio tapi sekadar merenung saja sampaikan peralatan seni pun tak disentuh.

Cara menangani fasa-fasa suram dan bangkit?
Saya fikir perlu mula balik dan mencari semula rentak perlahan-lahan. Kena pula pada waktu itu sedang menjalani residensi, jadi saya fikir ini sebuah tanggungjawab. Saya perlu juga bangkit untuk berbuat sesuatu tapi saya tak boleh paksa untuk kerah minda duduk di depan kanvas berjam-jam. Jadi saya guna pendekatan pecahkan masa bekerja dalam 15 minit, berhenti rehat dan sambung semula 15 minit berikutnya. Selepas itu meningkat naik ke 30 minit dan seterusnya sejam dan akhirnya dapat rentak yang dikehendaki semula. Itu menurut pengalaman peribadi saya, lain orang mungkin lain cara.

Perkara yang boleh membangkitkan atau membenamkan mood berkarya?
Satu perkara saya tak gemar ialah apabila orang bercakap atau memerhatikan ketika sedang kerja. Saya tak kisah jika ada orang di dalam bilik yang sama cuma agak kurang selesa apabila orang memerhatikan saya melukis. Saya lebih selesa dalam zon sendiri.

Soalan terakhir berbentuk rambang – genre lagu pilihan?
Saya dengar hampir kesemua genre tapi lebih cenderung kepada muzik berentak rock.

Semua pandangan dan pendapat yang dinyatakan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis sendiri dan tidaklah mencerminkan pandangan dan pendapat daripada pihak CENDANA. Pihak CENDANA merizabkan hak daripada sebarang liabiliti, kerugian, kesilapan dan/atau pelanggaran hak harta intelektual yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh penulis di dalam artikel semasa atau selepas penyiaran, sama ada di laman web atau mana-mana platform rasmi CENDANA atau sekiranya pandangan/pendapat disiarkan semula di mana-mana platform pihak ketiga yang lain.


Fazrina Jasmin merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA-ASWARA.

Kongsi artikel ini
Copyright © 2021 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service 
Ooops!
Generic Popup