Istiqamah ISTIKOMA dan Jalan Lurus CETAK TERUS
Oleh Fazrina Jasmin

“Oh, you don’t know, you don’t know where I’ve been.
Oh, you don’t know, you don’t know what I’ve seen.
If I did something right, would you give up this fight?
Would you say you were wrong and maybe someone else was kind of right?
ISTIKOMA. BERTAHAN TERUS.”

Tulisan berbentuk tipografi bercetak tadi mengiringi ilustrasi grafik berbentuk rangka manusia berjubah yang seakan menggenggam jeriji besi. Rokok yang tersedia menyala di celahan gigi terlihat seakan melepaskan kepulan-kepulan asap yang terkumpul di bahagian sisi. Gabungan teks, ilustrasi dan sejenis tona warna yang agak cool dan mantap pada hemat saya.

Dari “BERTAHAN TERUS”, saya mula meneliti koleksi baju-t terkini yang dimuat naik di media sosial, menampilkan ilustrasi grafik berserta laungan slogan atau tulisan-tulisan berunsur satira seperti:

“BURN. ISTIKOMA TERROR. IT’S TIME TO END SLASH-AND-BURN CAPITALISM”,

“KITA HANYA MERANCANG. KERAJAAN YANG MENENTUKAN”,

“1312 ACAB All Cats Are Beautiful” dan “MYPAPAN ISTIKOMA – MELUNCUR ATAU MATI”.


Saya tersenyum sendiri. Barangkali teks dan ilustrasi yang dipertonton cuba membayangkan hal-hal yang terbit daripada daya imaginasi individu dan tidak mustahil juga menggambarkan isu-isu semasa yang wujud dalam dunia nyata.

Terletak berhampiran Embrace Hall Music and Art Centre yang berpangkalan di Johor Bahru, label ISTIKOMA yang dipayungi oleh servis percetakan Cetak Terus & Co adalah jenama lokal yang merupakan sebahagian daripada ekosistem muzik di selatan tanahair. Umum seringkali menganggap muzik dan ekspresi seni lebih tertumpu kepada apa yang disajikan di atas pentas. Namun, menurut pengasas ISTIKOMA, iaitu Ahmad Zaki Ariff, apa yang lebih penting ialah etika dan “perjuangan” di luar pentas yang lebih besar, seiring dengan aspirasi yang ingin dicapai dan legasi yang bakal ditinggalkan – lumrah yang perlu dilalui oleh mereka yang bergelar usahawan sosial.

“ISTIKOMA memang kerja seni kami. Asalnya kami hasilkan baju-baju untuk band di underground scene, selain kolaborasi dan kerja-kerja belakang tabir untuk hasilkan album. Clothing line yang dikeluarkan menjadi medium ekspresi yang menghubungkan kami dengan kelompok komuniti. Secara ringkas, sejarah ISTIKOMA bermula dari sekadar angan-angan yang digerakkan dari zaman politeknik lagi. Waktu itu saya belajar reka bentuk grafik dan memang ada pengaruh punk – benda-benda yang melibatkan luahan hati tapi tidak diekspresikan secara langsung – tidaklah selantang Fahmi Reza. Itu pun salah satu pengaruh juga,” jelas Zaki.

Menurutnya, kerja seni yang sedari awal bergerak secara kecil-kecilan atas permintaan dan syor dalam kalangan rakan-rakan kian berkembang dan akhirnya berjaya diusahakan sepenuh masa dan turut menjana pendapatan sampingan. Walau bagaimanapun, apa yang diusahakan mungkin tidak disenangi oleh sesetengah kelompok masyarakat - atau juga golongan-golongan tertentu -berikutan kenyataan fesyen yang mungkin berbaur sindiran. Namun, Zaki berpendirian ia tidak lebih sekadar memenuhi kepuasan diri.

“Kebanyakan reka bentuk grafik baju yang terhasil mempunyai maksud simbolik atau luahan tersirat yang ingin disampaikan, bukan sekadar tempelan logo atau lukisan luaran saja. Punk diambil sebagai etika, manakala gaya yang diketengahkan sebenarnya terbuka untuk semua, tidak kira punk mahupun tidak. Jadi, interpretasi bergantung kepada penilaian audiens itu sendiri.”

Tambah Zaki lagi, nama ISTIKOMA diambil sempena sikap dan semangat positif yang ingin disuntik menerusi perjuangan seni mereka meskipun terdapat tanggapan yang skeptikal dan kurang senang dengan nama yang diketengahkan sehinggakan dilabel sebagai “penunggang agama”.

“Setakat ini, terdapat tiga band di bawah Projek ISTIKOMA, iaitu KahKah Celaka, Klabu Asap dan Lintang Pukang (yang merupakan band dari Batam, manakala yang lainnya meliputi sekitar JB dan Singapura). Nama band sudah sebegitu, jadi sekurang-kurangnya penggunaan istilah ISTIKOMA itu sendiri berasal daripada perkataan yang membawa maksud yang baik - boleh jadi hasilnya juga positif apabila disebut berulang-ulang kali,” ujarnya tenang.


Menjadikan peminat dan pengikut sebagai “duta-duta kecil” dan ejen jualan yang mempromosikan ISTIKOMA secara tidak langsung, Zaki menegaskan mereka merupakan nadi dan tunggak utama yang turut menjadi sebahagian daripada tulang belakang ISTIKOMA, selain daripada lima tenaga penggerak tetap yang sedia ada.

“Di media sosial, yang mempromosikan ISTIKOMA adalah dari kalangan kawan-kawan juga, di mana mereka bergerak dalam ekosistem yang sama. Ada yang merupakan artis ilustrasi yang menghasilkan lukisan, kulit album, selain reka bentuk baju-baju band. Ia berpusing dan berlegar di situ – sokongan daripada pelukis dan pereka bentuk seterusnya merentas ke komuniti menerusi gig atau rakaman live yang dipertontonkan melalui YouTube untuk jana pendapatan dan akhirnya sebagai pusingan modal untuk hasilkan koleksi baju baru – ya, ia melibatkan keseluruhan ekosistem.”

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh PKP, Zaki yang juga merupakan salah seorang anggota band KahKah Celaka mengakui pandemik yang melanda sedikit sebanyak merencatkan aktiviti seni apabila mereka tidak lagi bebas bergerak secara berkumpulan untuk bermain muzik atau mungkin memeriahkan booth jualan seperti mana sewaktu berjalannya sesuatu acara atau gig.

“Dari sudut jualan, sebenarnya kami belajar banyak benda secara maya semasa PKP. Umumnya, tidak kiralah apa jenis perniagaan sekalipun, semua yang terlibat sedikit sebanyak pasti akan terkesan. Jadi, kami tidak boleh duduk diam dan “nganga” saja sementara menunggu kemelut ini berakhir. Keadaan sekarang bukan macam dulu lagi, di mana perlu terpacak di pintu-pintu masuk gig untuk edarkan promosi. Kini kami perlu lebih versatil dan kreatif dalam mencipta peluang, selain perlu ada presence yang kuat di platform maya seperti Instagram, Facebook, Twitter, YouTube, Spotify, laman sesawang – apa sahajalah saluran yang ada. Dari segi muzik, album fizikal masih juga dikeluarkan jika ada permintaan tapi apa yang lebih utama ialah pemasaran dan promosi perlu diperkukuh dan digerakkan secara maya.”

Ada betulnya apa yang dikongsi oleh Zaki - model perniagaan harus berubah mengikut peredaran zaman dan perkembangan semasa, selain bijak "mencuri" peluang dengan memaksimumkan sebanyak mungkin rangkaian dan capaian digital. Apa yang dapat disimpulkan daripada perbualan kami, ISTIKOMA yang ada sekarang yang bergerak dan berkembang seiring dengan Cetak Terus adalah jauh lebih baik berbanding tiga tahun lepas sewaktu masih belum dikenali.

"Kami sedar akan keperluan untuk bergerak dengan lebih agresif meskipun setup kedai fizikal adalah ala-kadar dan sederhana saja. Yang penting ialah branding awareness, strategi jualan, capaian serta maklum balas yang pantas menerusi saluran Internet.”

Kredit Gambar www.instagram.com/istikomaterror, www.instagram.com/cetakterusco
www.facebook.com/istikomabertahanterus, www.facebook.com/CetakTerusJanganLeceh


Semua pandangan dan pendapat yang dinyatakan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis sendiri dan tidaklah mencerminkan pandangan dan pendapat daripada pihak CENDANA. Pihak CENDANA merizabkan hak daripada sebarang liabiliti, kerugian, kesilapan dan/atau pelanggaran hak harta intelektual yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh penulis di dalam artikel semasa atau selepas penyiaran, sama ada di laman web atau mana-mana platform rasmi CENDANA atau sekiranya pandangan/pendapat disiarkan semula di mana-mana platform pihak ketiga yang lain.


Fazrina Jasmin merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA-ASWARA.

Kongsi artikel ini
Copyright © 2021 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service 
Ooops!
Generic Popup