“Langit kosong,” ungkapan mengiringi visual Pulau Perhentian, Terengganu.
“Jalan-jalan kosong,” di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
“Pantai kosong,” di Pulau Pangkor, Perak.
“Taman-taman kosong,” di Titiwangsa, Kuala Lumpur.
“Hatimu kosong,” bergema di UNIMAS, Sarawak sebelum berpatah balik ke George Town, Pulau Pinang.
Pengalaman filem puisi sinematik berjudul
KOSONG – The Cinematic Poem Film Experience terbitan
GARISPXL.CO (GARIS) merupakan sentuhan kreatif yang digerakkan secara maya dalam tempoh PKPD sekitar April 2020 menerusi kolaborasi dan proses pembikinan tiga penjuru – susunan dan suntingan video di Cyberjaya, penulisan di Sentul dan gubahan muzik latar di Belanda.
KOSONG mengetengahkan visual binaan dan pemandangan semula jadi di sekitar Malaysia hasil daripada rakaman video yang tersimpan sejak 2015 dan telah dirakam 100% menggunakan teknologi dron.
Menurut Salam Cempreng yang juga merupakan Pengarah Urusan GARIS dan graduan dalam jurusan seni bina, tidak semua orang ada kemahiran merakam foto atau visual yang mendalami aspek seni bina. Minatnya yang mendalam terhadap fotografi menjadi batu loncatan kepada penubuhan GARIS pada 2014 yang sedari awal diusahakan bersama salah seorang rakan merangkap Pengarah Kreatif GARIS, Firdauz Ahmad. GARIS memfokuskan kepada produksi media meliputi pembinaan dan seni bina yang antara lainnya menawarkan kepakaran dan sentuhan kreatif menerusi fotografi, videografi dan realiti maya.
“Rakaman video yang client perlukan biasanya lebih kurang 30% hingga 40%. Baki 60% hingga 70% lagi selalunya terbuang dan terbiar saja dalam hard disk. Dari situ kami bercadang untuk buat sesuatu dengannya masa awal-awal PKPD. Selepas berbincang, kami dapat idea untuk projek kolaborasi video PKP yang ada unsur visual, penulisan dan muzik. Kami cuba padankan visual yang pernah kami rakam menggunakan dron dengan penceritaan yang kami terima. Bila video sudah siap disusun sesuai dengan jalan cerita tadi barulah dimasukkan muzik latar yang digubah sendiri. Prosesnya kami buat secara online dengan rakan-rakan di tiga tempat berasingan; kami di Cyberjaya dan dua lagi rakan masing-masing di Sentul dan Belanda,” ujar Salam apabila ditanya mengenai kerja-kerja belakang tabir bagi menghasilkan
KOSONG.