Mengimbau kembali kenangan bagaimana golongan pendahulu mencari makan di KERINGAT Riwayat Pendahulu Negara
By Danial bin Fuad

Seniman mempunyai pelbagai peranan di dalam masyarakat seperti pendidik, petukang ataupun perakam sejarah. Sejak dari dahulu lagi seni - terutamanya seni lukis - telah menjadi perakam sejarah dan ini terbukti dengan lukisan terawal yang telah ditemui di Lubang Jeriji Saléh, Kalimantan, yang berusia lebih 40,000 tahun. Peranan seniman sebagai perakam sejarah adalah apa yang cuba disampaikan oleh Muzium dan Galeri Seni Bank Negara dalam pameran maya terbaru, Keringat Riwayat Pendahulu Negara. Pameran ini mengandungi hasil karya dari seniman tersohor, antaranya Abdullah Ariff, Long Thien Shieh, Eric Peris dan juga Hossein Enas. Dibahagi kepada empat bahagian, pameran ini merakamkan bagaimana setiap sektor ekonomi dahulu kala berfungsi.

Pertanian
Ismail Mat Hussin - Tumbuk Padi

Pertanian merupakan aktiviti ekomi tertua di dunia dan juga antara penjana ekonomi Tanah Melayu sejak dari dahulu lagi. Dalam bahagian ini, terlihat hanya dua jenis pertanian yang menjadi tumpuan para seniman, iaitu padi dan getah. Padi merupakan pertanian yang telah digiatkan sejak abad ke-10 lagi di Tanah Melayu, manakala getah telah dibawa masuk oleh H.H. Ridley ke Kuala Kangsar pada tahun 1876. Salah satu karya yang menarik perhatian adalah “Tumbuk Padi” oleh Ismail Mat Husin, kerana aktiviti ini semakin ditelan zaman dan kemajuan teknologi. Jika tidak dirakam, kemungkinan bagi anak cucu kita mengetahui teknik ini adalah sangat tipis. Selain itu, karya “Untitled” oleh Hossein Enas juga menarik kerana beliau mengambarkan petani membajak sawah menggunakan kerbau. Latarbelakang karya ini menggambarkan keadaan gelap dan terdapat pantulan cahaya di tanah (kemungkinan cahaya bulan) menandakan petani tersebut bekerja sebelum matahari terbit. Bagi saya, karya ini seakan menyangkal dakwaan penjajah yang menyatakan penduduk setempat pemalas. 

Perikanan
Abdul Rahman Rahim - Big Catch

Aktiviti perikanan juga telah dilakukan berkurun lamanya. Pentadbiran kerajaan zaman dahulu dapat dibahagikan kepada agraria (pertanian) ataupun maritim (perikanan). Dapat dilihat pelbagai jenis aktiviti perikanan yang digambarkan dalam bahagian ini seperti mencari kerang, menolak sampan dan juga membuat serkap ikan. Abdul Rahman Rahim mengambarkan nelayan yang baru pulang dari laut sambil menarik ikan di dalam karyanya “Big Catch”. Dapat dilihat betapa beratnya pekerjaan sebagai seorang nelayan yang hanya pulang ketika matahari telah terbenam, dan jelas kelihatan gayanya yang menarik hasil tangkapannya itu seperti kelelahan. Selain itu, karya Yee Mook Sin yang bertajuk “Shell Searches, Muka Head, Penang” memaparkan dua perempuan yang sedang mencari kerang di persisiran pantai. Sebanyak 13 karya berkaitan perikanan dipamerkan tetapi hanya karya ini sahaja yang memaparkan golongan wanita membuat kerja perikanan. Dapat disimpulkan bahawa pada zaman ini, golongan lelaki lebih dominan dalam pekerjaan perikanan, terutamanya yang turun ke laut.

Perlombongan
Long Thien Shih - Raja Abdullah Builds Gedong to Store Tin
Tajudin Ismail - Gedong Raja Abdullah

Pada tahun 1857, pentadbir daerah Klang, Raja Abdullah telah membuka Lembah Klang bagi tujuan perlombongan. Kaya dengan bijih timah, seramai 87 orang penggali Cina telah pergi ke sungai Klang dan menjadikan Ampang - yang pada ketika itu hutan belantara - tapak utama mereka. Raja Abdullah memainkan peranan penting sebagai orang Melayu pertama yang terlibat dalam bidang perlombongan yang pada ketika itu didominasi oleh golongan Cina. Kepentingan beliau juga diketengahkan oleh Chin Kon Yit, Tajuddin Ismail dan Long Thien Shih yang telah merakamkan Gedong Raja Abdullah, tempat penginapan beliau yang juga merupakan gedung menyimpan biji timah. Selain itu, terdapat juga sejarah menarik berkenaan gedung tersebut dimana di situ juga merupakan pangkalan utama Raja Abdullah ketika Perang Saudara Klang menentang Raja Mahadi yang terjadi akibat perebutan kuasa.

Perniagaan Kecil
Harun Hj A Bakar - Hari Pasar Di Kelantan
Ismail Mat Hussin - Perempuan Pasar.

Peranan golongan wanita lebih menyerlah dalam bidang perniagaan kecil dan ini terlihat apabila daripada 13 karya, sebanyak enam daripadanya mempunyai wanita sebagai subjek utama. Perniagaan adalah aktiviti yang telah dilakukan sejak dari awal pembukaan Kota Melaka yang memang terkenal dengan kunjungan orang dari seluruh pelusuk dunia untuk berdagang. “Perempuan Pasar" oleh Ismail Mat Husin menceritakan suasana di pasar di mana kelihatan seorang wanita sedang memilih pisang sementara seorang lagi wanita sedang mendukung anak seperti menunggu gilirannya. Kewujudan orang ramai pada latar belakang karya ini menggambarkan suasana kemeriahan dan kesibukan di pasar, tetapi diimbangkan pula dengan penggunaan tona warna yang harmoni dan tenang. “Hari Pasar di Kelantan” ciptaan Harun Hj. A Bakar juga menggambarkan suasana pasar tetapi yang menarik perhatian pada lukisan ini adalah teknik ‘pointilisme’ di mana sapuan berus digantikan dengan titik-titik kecil yang merangkumi seluruh kanvas. 

George Santayana pernah menyatakan, mereka yang tidak mengambil iktibar daripada sejarah akan pasti mengulangnya. Peluang melihat aktiviti ekonomi yang semakin pupus amat berhargadan pemilihan karya dalam pameran ini sangat berkesan bagi memaparkan cara hidup warga pendahulu. 

Untuk mendampingi tatapan visual dan menghasilkan penghayatan yang lebih mendalam, pengunjung setiap bahagian galeri maya juga disajikan bunyi latar yang berkaitan.

KERINGAT Riwayat Pendahulu Negara boleh dilihat di http://www.museum.bnm.gov.my/forefathers/index.html.

The views and opinions expressed in this article are strictly the author's own and do not reflect those of CENDANA. CENDANA reserves the right to be excluded from any liabilities, losses, damages, defaults, and/or intellectual property infringements caused by the views and opinions expressed by the author in this article at all times, during or after publication, whether on this website or any other platforms hosted by CENDANA or if said opinions/views are republished on third party platforms.

Danial Fuad is a participant of the CENDANA - ASWARA Arts Writing Mentorship Programme 2020-2021.

Share this article
Copyright © 2021 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service 
Ooops!
Generic Popup