Hari itu khabar angin mula bertiup kencang mengatakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikuatkuasa semula. Tanpa berlengah saya terus ke Galeri Ilham kerana pameran kali ini ada kelainan. Sepanjang 20 minit perjalanan menaiki Grab menuju ke bangunan yang terletak di belakang LRT Ampang Park, katalog digital pameran lukisan Homebody yang telah dimuat turun bermain di fikiran.
Perkataan homebody secara umum digunakan untuk menunjukkan kecenderungan dan keselesaan seseorang duduk di rumah. Sebaliknya, apabila PKP berlaku, homebody bukan lagi bermakna kita keseorangan di rumah. Kini, ahli keluarga berkumpul dan hampir semua aktiviti kerjaya, persekolahan, rutin keluarga malah aktiviti sosial berlegar di dalam ruang lingkup alam maya. Ini mencetuskan beberapa persoalan : Apakah interpretasi pelukis cilik ini mengenai tema homebody? Bagaimanakah tahap ekspresi seni kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun? Sudut seni manakah harus dikongsi dengan para pembaca kerana mereka adalah kanak-kanak tanpa latar belakang seni?
Keluar dari lif di tingkat tiga Galeri Ilham saya melalui pendaftaran semakan COVID-19. Kesempatan itu, saya memohon sekiranya dapat berjumpa dengan kurator galeri. Di sebalik pelitup muka, saya tersenyum saat bertentangan mata dengan Khat Mirzan, Eksekutif Galeri Ilham. Menurutnya pertandingan bertemakan homebody ini bermula pada Mac 2020 apabila PKP pertama kali dikuatkuasakan. Sebanyak 34 buah karya telah dipilih daripada lebih seratus penyertaan dan pameran dibuka bermula 5 Januari 2021- 5 Mac 2021
“Kami faham cabaran PKP bukan hanya dirasai oleh orang dewasa tetapi juga kanak-kanak. Justeru, pertandingan seni ini dianjurkan dengan harapan ia menjadi ruang kepada kanak-kanak untuk menyalurkan kreativiti dan pada yang sama mengurangkan kegelisahan dan kebosanan berada di rumah sewaktu PKP.”
Apabila bertanya mengenai kriteria pemilihan para pemenang, Khat membawa saya ke sebelah kiri ruang pameran. Memasuki bilik itu, saya terasa seperti Alice di daerah Wonderland yang terpaksa mengecilkan saiz badan kerana semua lukisan digantung mengikut aras mata kanak-kanak. Melihat lukisan-lukisan ini secara berdepan terdapat rasa kagum berbaur empati.
Mengikut pandangan mata kasar, lukisan yang tergantung kelihatan seperti contengan si anak kecil bermain dengan dakwat dan catan. Tetapi apabila membaca deskripsi bersebelahan setiap lukisan terasa diri dibawa ke alam imaginasi kanak-kanak yang bercerita perihal perubahan rutin harian, kesunyian, ketidaktentuan, kemurungan dan kekeliruan.
“Ini karya-karya yang kami kategorikan sebagai special mention. Walaupun lukisan mereka naif, ekspresi seni dan interpretasi mereka terhadap tema memberi makna pada keseluruhan karya. Itu salah satu kriteria pemilihan pemenang,” jelas Khat sambil menunjukkan beberapa lukisan.