PUISI SENI VISUAL BASQUIAT DARI KACAMATA PELUKIS EMPAT NEGARA (BAHAGIAN 1)
Oleh Mimi Salleh

Sebut sahaja nama Basquiat sudah terbayang grafiti SAMO, simbol tengkorak, limpahan warna garang pada kanvas dan keberaniannya menyentuh isu ketidakadilan sosial. Siapakah gerangan pelukis ini yang menyebabkan galeri dari empat buah negara bergabung membuat pameran? Malah, bukan sekali tetapi dua kali Galeri Artemis Art menganjurkan pameran lukisan dedikasi kepada Basquiat. Pertama kali ialah pada Ogos 2020. Kali ini mereka bergabung dengan Julia Gallery (Taipei), Langgeng Art Foundation (Jogjakarta, Indonesia) dan Vinyl On Vinyl Gallery (Manila, Filipina).


Empat galeri yang bergabung untuk pameran Letter To Basquiat

Di laman sesawang Artemis Art kita boleh melihat lukisan15 orang artis dari empat buah negara. Pada awalnya, saya meneka berdasarkan tema pameran ini, Letter to Basquiat mungkin eulogi atau puji-pujian kepada pelukis kelahiran New York itu. Namun, setelah membaca e-katalog yang diberikan, ia lebih daripada sekadar puji-pujian. Ia adalah pengakuan para artis yang terkesan dengan legasi Basquiat.

Sebelum melayari lebih jauh ke dalam pameran maya ini, terlebih dahulu saya cuba mengenali insan seni yang telah menjadi sumber inspirasi ramai. Semasa hidupnya, Jean-Michel Basquiat dilihat sebagai pemberontak dan selepas kematiannya dia diangkat sebagai ikon aliran seni pop (pop culture). Kematiannya pada usianya 27 tahun menyebabkan saya teringat sumpahan kematian tragis yang dipanggil 27 Club dalam kalangan artis muda. Artis-artis seperti Jimi Hendrix, Kurt Cobain dan Amy Winehouse adalah antara artis yang sedang berada di kemuncak kerjaya apabila mereka menemui ajal. Adakah oleh sebab kematian awal itu karya seni mereka menjadi popular?

Itu persoalan yang cuba saya jawab sepanjang menelusuri perjalanan hidup dan karya Basquiat terutama impak karyanya yang jujur menyentuh isu darjat dan kekayaan. Lahir sebagai rakyat kulit hitam campuran Latin di Amerika membuatkan karya Basquiat seolah-olah menjadi wakil suara minoriti. Karyanya disampaikan menggunakan campuran simbol, perkataan dan calitan warna yang membuat ramai terkesima.

“I don’t think about art when I’m working. I try to think about life.”

Membaca petikan kata-kata Basquiat yang tertera di mukasurat kedua e-katalog Letter to Basquiat sudah menampakkan jiwa memberontak yang disampaikan melalui grafiti SAMO, simbol-simbol - terutama tengkorak -pada awal kariernya yang memberikan nilai moden pada gaya aliran Neo-Expressionism yang sekaligus membuat dirinya dikenali. Apatah lagi persahabatannya dengan Andy Warhol yang membawanya masuk ke dalam kelompok elit. Apabila Basquiat meninggal dunia pada tahun 1988, nilai lukisannya terus melonjak. Lukisannya menjadi rebutan para pengumpul yang sanggup menawarkan nilai bidaan mencecah jutaan dolar. Rekod jualan tertinggi ialah lukisan bertajuk Untitled (1982) yang dijual pada acara lelongan bernilai lebih AS$110 juta.

Ada pengkritik yang menyelar karya Basquiat sebagai tidak berkualiti, dan kematiannya hanya mewujudkan kelompok kultus yang tidak memahami seni. Malah, tidak kurang yang melontar andaian nilai lukisan Basquiat melonjak gara-gara strategi pemasaran wakil Basquiat untuk menarik perhatian para pengumpul. Walau apapun pendapat pengkritik, hakikatnya nama Basquiat masih disebut-sebut dan karyanya terus-menerus memberi impak besar kepada ramai artis selepas 33 tahun dia meninggal dunia.


Antara lukisan artis Malaysia yang dipamerkan

Justeru, memahami latar belakang Basquiat ini memberi pemahaman kepada saya dalam menghadam makna yang cuba disampaikan oleh 15 orang artis dari empat negara ini. Tambahan pula, membaca surat dedikasi kepada Basquiat yang dilampirkan dalam e-katalog pameran dari galeri Artemis Art memberi satu lapisan emosi, seolah-olah kita diberi izin untuk membaca helaian diari si artis dalam bentuk visual, meluahkan suara hati mereka terhadap Basquiat. Menariknya, lukisan para artis ini juga seolah-olah puisi warna dan tekstur yang mereka sulam khas sebagai hadiah kepada artis pujaan mereka, Basquiat.

Pada masa yang sama, melihat lukisan-lukisan yang dipamerkan, kita boleh rasa ketelusan para artis menonjolkan identiti dan gaya tersendiri dalam apa jua aliran yang mereka pilih. Membaca latar belakang perjalanan karier setiap artis yang terlibat juga seperti membaca perjalanan awal karier Basquiat yang berusaha untuk jujur, walaupun dikritik. Mungkin kerana itu Basquiat terus menjadi pengaruh nyala rasa kepada ramai, khususnya artis muda.

Menelusuri satu per satu lukisan di pameran maya Letter to Basquiat, secara peribadi saya ikut rasa teruja untuk berlaku jujur dalam berkarya. Walaupun badan sudah dikandung tanah, karya yang meninggalkan impak kepada masyarakat akan terus malar hijau dan memberi inspirasi kepada dunia seni.

Terima kasih kepada Artemis Art dan Greydea Studio untuk ihsan gambar dan maklumat pameran.



Semua pandangan dan pendapat yang dinyatakan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis sendiri dan tidaklah mencerminkan pandangan dan pendapat daripada pihak CENDANA. Pihak CENDANA merizabkan hak daripada sebarang liabiliti, kerugian, kesilapan dan/atau pelanggaran hak harta intelektual yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh penulis di dalam artikel semasa atau selepas penyiaran, sama ada di laman web atau mana-mana platform rasmi CENDANA atau sekiranya pandangan/pendapat disiarkan semula di mana-mana platform pihak ketiga yang lain.

Mimi Salleh merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA-ASWARA.

Share this article
Copyright © 2021 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service 
Ooops!
Generic Popup