RED DOT: Titik Mula, Titik Merah
Oleh Fazrina Jasmin

Kerdil, namun memberikan implikasi yang cukup besar – tertinggal sahaja satu titik pada bilangan angka, nilai yang terpapar boleh jadi menyusut atau bertambah. Teks ucapan, mesej bertulis atau naratif penceritaan tanpa tanda titik barangkali boleh mencetuskan tanda tanya dan kecelaruan apabila tidak difahami dengan jelas maksud atau konteks penyampaiannya. Simbolisme titik atau noktah dalam kehidupan juga secara umumnya menandakan berakhirnya perihal sesuatu bagi memberi laluan kepada permulaan sesuatu yang baru.

Bagaikan sebuah keraian seni yang menjulang dan meraikan perbezaan serta kepelbagaian latar belakang, gaya dan genre, namun tetap berpaksi dan bersandar kepada persamaan atau penyatuan titik mula atau reset yang diharapkan membawa “ong” atau tuah, seiring dengan kebangkitan semangat, harapan dan impian baru – itulah rumusan perasaan yang mengiringi setiap langkah tatkala saya meniti pameran berkumpulan berjudul RED DOT anjuran Core Design Gallery, Subang Jaya yang berlangsung dari 27 Februari - 27 Mac 2021. Pameran ini menampilkan karya yang dibarisi lapan artis kontemporari dan disatukan dalam format pameran baru, 100% dihasilkan tanpa kanvas.


Sebagaimana Haafiz Shahimi menghidupkan imej “Seperti Lembu Dicucuk Hidung” menerusi karya tiga panel yang menampilkan base logam rata berbingkai dengan penggunaan warna latar garang persis merah Ferrari, begitu jugalah artis muda multidisiplin berbakat besar, Ain Rahman menghamparkan rona merah terang menerusi binaan anggunnya, “Diamond of Fierce” berasaskan batang keluli, benang elastik dan fabrik elastik yang tampak utuh walau diregang dan dilenturkan dalam bentuk-bentuk yang tidak simetri. Tampil gah dan eksklusif dengan gaya tersendiri, kedua-dua karya senada dalam memperlihatkan sisi-sisi yang bercirikan ketegasan, keberanian dan kekentalan dalaman meskipun terpaksa akur dengan keterbatasan dan ketidaktentuan hari-hari mendatang sepanjang berdepan dengan penularan Covid-19 sejak setahun yang lalu.


Sentimen yang hampir serupa diluahkan oleh Syahmi Jamaluddin menerusi “Once Upon A Time In Dreamland” yang pada hemat saya bijak bermain dengan garis masa dan perspektif “imej di dalam imej” sepanjang tercetusnya pandemik. Dari imej flora pada lapisan pertama, jelas terlihat bayangan kehidupan yang masih perlu ditempuh sehari-hari tanpa henti pada lapisan karya kedua, yang akhirnya membawa kepada penggemblengan usaha dan tenaga dalam memerangi dan mengekang penularan wabak yang tetap berterusan – digambarkan menerusi jenis-jenis alat perubatan pada lapisan karya ketiga.


Sekiranya Nor Tijan Firdaus dengan karyanya, “Just Scan It” membangkitkan isu kelestarian dan kepenggunaan yang agak moden dan tech-savvy menerusi paparan kod bar yang sering terpakai untuk kawalan stok atau barangan jualan di gedung-gedung atau pasar raya, Mohd Fairuz Paisan (Po Oi) menerusi dua karyanya, “Titik Merah Di Dalam Gelombang Hijau” dan “Merah - Dalam 5 Ada 6” membangkitkan aura keharmonian tradisional menerusi gabungan warna-warna kayu hijau dan merah yang bercirikan bumbung rumah Minangkabau – masing-masing membentuk lingkaran bulatan dan satah-satah pentagon dengan permukaan yang beralun-alun. Saya difahamkan Po Oi mengikuti jejak langkah bapa dan datuknya yang mahir dalam seni pertukangan – suatu kelebihan yang, pada pendapat saya, melancarkan lagi proses pengkaryaan dan penghasilan kerja seninya.


Setentang dengan dinding yang terdahulu menampilkan karya Po Oi, Anniketyni Madian terlihat “bermadah” (dalam bahasa melayu Sarawak, madah bererti cakap/kata/beritahu) menerusi karya yang tertumpu kepada etnik penduduk besar di Sarawak, iaitu etnik Iban dan menterjemahkannya dalam bentuk struktur kekeluargaan dan masyarakat serta aktiviti pertanian. Teknik campuran kayu, resin dan akrilik yang berkemungkinan dilakukan secara berulang-ulang lapisan demi lapisan secara tidak langsung berjaya memberi kedalaman atau depth. Sekiranya objek atau binaan tadi diperhalusi atau diperhatikan dengan lebih dekat, akan terlihat sisi-sisi berona gelap, selain menampakkan sudut bayang-bayang yang tidak terlalu ketara pada pandangan mata kasar.


Suhaimi Fadzir tampil dengan karya seni berjudul “Mahsuri Tracing”, iaitu salah sebuah karya sub-siri yang terhasil menerusi Langkapuri Art Project (sebuah projek seni berasaskan penyelidikan yang bermula sejak 2018) bagi menelusuri legenda Pulau Langkawi yang masyhur dengan kisah legenda Mahsuri. Titik merah yang ditampilkan terlihat sebagai titik fokus dan menjadi simbolik kepada keluhuran hati budi Mahsuri meskipun dikelilingi dengan kerencaman ragam manusia yang tidak dapat lari daripada perasaan cemburu dan hasad dengki. Mengetengahkan objek-objek harian yang barangkali diguna pakai di perkampungan nelayan, objek berbentuk rantai besi pada hemat saya agak menonjol berbanding dengan yang lain – mungkin membayangkan belenggu fitnah yang merantai dan mengheret Mahsuri sehinggalah terputus nyawa dan diperkukuhkan lagi dengan warna latar putih yang melambangkan kesucian darah yang mengalir tatkala ditikam – pastinya sebagai suatu bentuk pembuktian yang jelas menandakan Mahsuri benar-benar tidak bersalah.


Sebelum beredar, saya sekali lagi melintasi lampu-lampu neon biru yang berkelip-kelip pada laluan keluar masuk galeri bertemakan “The Devil is A Gentleman (Limited edition of 5)” karya Azad Daniel. Sambil tercari-cari dalam diam di manakah “titik merah” yang mungkin ingin diketengahkan oleh Azad, saya akhirnya akur dengan rumusan bahawa tidak ada sebarang elemen merah yang perlu digali secara khusus atau mendalam, bahkan judul karya itu sendiri awal-awal lagi secara halus telah merungkaikan persoalan yang berlegar-legar di minda. Pada dasarnya, kejahatan atau perilaku yang jelik dan buruk barangkali berselindung di sebalik pemakaian, perwatakan atau gerak-geri yang sekilas pandang tampil menawan, dan “bendera merah” inilah yang seharusnya diwaspadai agar seseorang itu tidak mudah terpedaya atau ditipu bulat-bulat tanpa sedar.


Selain memberikan vibe tatarias sekitar zaman ’40an-‘50an, gaya ala gentleman menyapa orang di sekeliling dengan cara tunduk sedikit, diikuti dengan isyarat menanggalkan topi, kini seolah-olah membuat “kemunculan semula” dan terlihat relevan dengan situasi semasa – mirip gaya menyapa tanpa perlu berjabat tangan atau bersentuhan, cukup sekadar mengangguk atau menundukkan sedikit kepala atau juga menyilangkan tangan di dada ke bahu sambil mengekalkan penjarakan fizikal, khususnya bagi upacara atau majlis yang lebih formal.


Semua pandangan dan pendapat yang dinyatakan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis sendiri dan tidaklah mencerminkan pandangan dan pendapat daripada pihak CENDANA. Pihak CENDANA merizabkan hak daripada sebarang liabiliti, kerugian, kesilapan dan/atau pelanggaran hak harta intelektual yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh penulis di dalam artikel semasa atau selepas penyiaran, sama ada di laman web atau mana-mana platform rasmi CENDANA atau sekiranya pandangan/pendapat disiarkan semula di mana-mana platform pihak ketiga yang lain.


Fazrina Jasmin merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA-ASWARA.

Kongsi artikel ini
Copyright © 2021 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service 
Ooops!
Generic Popup