RESIDENSI ARTIS MEMBENTUK AMALGAM DISIPLIN SENI
Oleh Mimi Salleh

Lama dulu saya berimpian merasai pengalaman mengikuti program residensi penulisan di sebuah bangunan yang digelar Treehouse, dengan pemandangan menghadap banjaran Alps. Namun, menerima surat penolakan daripada Yayasan Jan Michalski menyedarkan saya pada saiz mata kail nan sejengkal, mana mungkin kedalaman Tasik Geneva hendak diduga. Semenjak itu, satu persoalan sering bermain di fikiran, adakah program residensi artis hanya untuk mereka yang sudah membina nama? Apakah peluang artis baru untuk menyertainya?

Awal tahun ini, apabila ternampak makluman PORT (People Of Remarkable Talent), sebuah agensi seni dan budaya di bawah Kerajaan Negeri Perak membuka permohonan untuk program residensi artis, saya terus menghubungi mereka. Menurut Nur Hanim Dato’ Mohamed Khairuddin, Pengurus Besar PORT, mereka mencari artis seni halus negeri Perak yang berbakat yang telah bersedia untuk keluar dari kepompong rutin berkarya di studio.

“Kami faham kesukaran artis baru untuk memperolehi pendedahan. Program residensi artis boleh membawa mereka ke haluan yang jelas, termasuklah akses dan perhatian pihak-pihak yang signifikan dalam pengembangan karya dan identiti mereka sebagai seorang artis,” jelas Hanim.


Bangunan Black House menyediakan pelbagai kemudahan ruang bagi program seni PORT

Program residensi PORT mula direalisasikan apabila mereka mentransformasikan sebuah bangunan yang dinamakan The Black House. Ia mempunyai pelbagai kemudahan ruang bagi program-program seni seperti ruang jualan berkonsep artisan, ruang untuk ahli pemuzik negeri Perak membuat latihan dan persembahan serta ruang fotografi. Bahagian atas dijadikan ruang studio untuk artis berkarya dan bilik menginap untuk peserta yang mengikuti program residensi ini.

Menurut Hanim, bimbingan residensi secara konsisten selama tiga bulan adalah usaha untuk membentuk para peserta menjadi lebih berani dalam mengorak langkah dalam persada seni.

“Tempoh residensi adalah peluang untuk mereka berkenalan dengan kurator, pemilik galeri dan pengumpul. Mereka digalakkan untuk berinteraksi dengan para penggiat seni termasuklah komuniti seni setempat. Lebih penting, sesama peserta program residensi juga dapat bertukar pendapat mengenai disiplin seni masing-masing. Menjadi artis, produksi karya bukanlah seperti di kilang yang menghasilkan produk dari acuan yang sama. Ia berevolusi mengikut kematangan artis,” katanya.


Bimbingan residensi secara konsisten membentuk para peserta menjadi lebih berani dalam berkarya

Penjelasan ini selari dengan pendapat Emielia Zainudin, Pengurus Galeri Home of Matahati (HOM). Emielia mengakui peranan residensi mengumpulkan artis-artis berlainan disiplin seni di bawah satu bumbung membolehkan artis baru memilih dan menukar haluan perjalanan seni mereka. Ini termasuklah mengubah atau menggabungkan teknik dan medium sedia ada dengan yang lebih baik. Anjakan paradigma seni perlu berlaku. Berkarya tidak boleh sekadar berteman empat dinding putih dan mengharapkan magis inspirasi muncul dari siling.

“Program residensi HOM mengumpulkan artis pelbagai disiplin yang berpotensi, tetapi mereka bukan duduk di studio sahaja. Kami panggil kurator, pengumpul serta penggiat seni yang lain untuk beri maklum balas. Sesi ini penting terutama kepada artis baru untuk berani mencuba disiplin seni yang baru dan untuk itu mereka mesti letak tepi ego mereka. Artis baru harus bersikap terbuka menerima pandangan untuk penambahbaikan,” kata Emielia.

Semenjak tahun 2008, seramai 24 orang artis telah mengikuti residensi di HOM. Buat masa ini, HOM menempatkan empat residensi iaitu 3M Studio, Adopted Residency (A-RES), Southeast Asia Art Group Exchanged Residency (SAGER) dan International Residency (INTERES). Setiap residensi bertempoh antara tiga bulan hingga enam bulan.

Emielia menjelaskan setiap residensi menawarkan pengalaman yang unik dan berbeza. Justeru, artis perlu tahu keperluan seni yang diingini dan haluan seni yang sesuai dengan dirinya, serta sejauhmana mereka mahu mengorak langkah. Emielia turut memaklumkan ruang jaringan penggiat artis seni halus di Malaysia kecil, maka peluang dan pendedahan kepada artis baru juga terhad.

“Memang benar peluang kita di Malaysia kecil tetapi disebabkan HOM sudah menjalinkan jaringan dengan penggiat seni di luar negara, artis-artis di residensi kami turut mendapat tempias peluang itu. Malah, para peserta program residensi di HOM akan mendapat bimbingan langsung daripada Bayu Utomo Radjikin yang juga Pengarah HOM. Awal-awal lagi Bayu akan bertanya kepada para peserta beberapa soalan. Antaranya apa dan kemana hala tuju mereka sebagai artis,” jelas Emielia.


Kematangan berkarya akan membentuk jadi diri si artis

Sepertimana gabungan aloi dan logam yang membentuk amalgam, mulanya lembut berubah menjadi tampalan yang keras dan tahan lama, begitulah juga gabungan disiplin seni kepada si artis. Program residensi artis adalah inkubator seni yang memberi peluang dan ruang kepada si artis dalam membuat pilihan teknik dan medium yang terbaik untuk perjalanan kariernya.

Memahami nilai karya seni melibatkan simbiosis tiga aspek iaitu sang pengkarya, audien dan karya itu sendiri, maka kematangan berkarya terhasil apabila artis mengambil inisiatif untuk berada dalam eko sistem seni yang positif. Cukup-cukuplah artis berada di dalam zon selesa di bawah lindungan siling studio. Pecahkan tembok ego supaya tidak pegun. Artis perlu yakin dan berani untuk menonjolkan seni mereka. Ini termasuklah mempunyai keyakinan untuk berinterasi dan menjelaskan setiap sudut seni yang ingin dibawa kepada para penggiat. Kematangan berkarya akan membentuk jadi diri si artis sekaligus memberi peluang kepada artis untuk menjenamakan dirinya.

Koleksi gambar adalah dari koleksi PORT



Semua pandangan dan pendapat yang dinyatakan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis sendiri dan tidaklah mencerminkan pandangan dan pendapat daripada pihak CENDANA. Pihak CENDANA merizabkan hak daripada sebarang liabiliti, kerugian, kesilapan dan/atau pelanggaran hak harta intelektual yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh penulis di dalam artikel semasa atau selepas penyiaran, sama ada di laman web atau mana-mana platform rasmi CENDANA atau sekiranya pandangan/pendapat disiarkan semula di mana-mana platform pihak ketiga yang lain.

Mimi Salleh merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA-ASWARA.

Share this article
Copyright © 2021 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service 
Ooops!
Generic Popup