REZEKI MERKET, SENI DAN BROWNIES
Oleh Fazrina Jasmin

“TUKANG MASAK DI HATI AWAK.”

Kapsyen serba putih yang terpampang pada apron serba hitam dan diserlahkan lagi dengan lukisan emoji cinta mini atau mini heart berwarna merah jambu berjaya mencuri perhatian saya. Ia terlihat digayakan oleh seorang pemuda (barangkali juga seorang tukang masak) dengan bahasa tubuh yang ceria dan bersahaja – tidak kurang juga kelihatan bangga menyarung apron dengan kapsyen yang agak cheeky dan mencuit hati tadi.

Mata saya seterusnya tertumpu pada bungkusan serba hitam berlabel “TEPUNG COQ UDANG SEGERA” yang sekali lagi menampilkan mini heart merah jambu di penjuru atas label. Kombinasi kapsyen dengan kontras latar belakang gelap yang diserikan dengan mini heart yang hampir serupa kelihatan ringkas, namun sekali lagi berjaya menarik perhatian tatkala saya melayari laman sesawang www.merketteam.easy.co.


“Biasanya apabila kita makan makanan-makanan yang sedap, letih disebabkan seharian bekerja boleh jadi hilang dan terubat. Bagi saya sendiri, walaupun setakat ada setengah jam saja sehari untuk duduk dan makan di tempat kegemaran, sudah cukup untuk membangkitkan keceriaan dan seterusnya membolehkan saya berkarya,” ujar Azreen Yusof, artis merangkap pengasas Studio Azreen dan merketteam.easy.co (Merket).

Merket merupakan cetusan idea dan “air tangan” Azreen yang terhasil pada awal PKP 2020. Terdahulu, Azreen membina kerjaya sebagai Arkitek Projek selama lebih kurang 11 tahun sebelum akhirnya membuat keputusan untuk beralih arah dan menumpukan perhatian dalam bidang seni secara sepenuh masa. Bermula dengan Studio Azreen, dia giat mempamer dan mempromosi hasil kerjanya menerusi platform media sosial di samping mengadakan bengkel dan kelas seni untuk kanak-kanak berusia 5-12 tahun, termasuklah golongan kanak-kanak istimewa, lambat bertutur dan autistik. Setakat ini, bengkel atau kelas yang dijalankan sudah mencecah lebih 20 sesi, di mana setiap sesi memuatkan maksimum 15-20 peserta.

“Seni membuatkan kanak-kanak ini lebih fokus. Selain mode bengkel, saya juga mengajar kelas seni persendirian secara one-on-one di rumah mereka. Berdasarkan pengalaman, kanak-kanak yang mempunyai ciri-ciri autisme rata-ratanya menyukai aktiviti seni dan mempunyai bakat yang boleh digilap walaupun mereka tergolong dalam kategori kanak-kanak istimewa. Bergantung kepada teknik mengajar, mereka sebenarnya boleh mengikuti dan fokus semasa menjalani aktiviti seni. Jika perlu, saya akan dapatkan bantuan beberapa orang rakan untuk sama-sama menjaga dan mengawal kelas sekiranya melibatkan jumlah peserta yang agak ramai,” ujar Azreen yang sebelum ini pernah menjalinkan kolaborasi dengan DBKL bagi menganjurkan bengkel seni.


Menurut Azreen, kelas seni secara bersemuka terpaksa ditunda akibat pandemik. Tidak putus asa, dia lantas memulakan perniagaan berasaskan makanan bagi menampung perbelanjaan harian dan lain-lain kos melibatkan keperluan kerja seni yang telah berjalan sedari awal.

“Sewaktu cuti sekolah pada awal tahun 2020, saya telah pulang ke Kedah untuk luangkan masa bersama ibu bapa dan keluarga. Tidak lama selepas itu, PKP diumumkan dan saya tidak boleh kembali ke KL. Jadi semua pun terhenti termasuklah kerja seni. Perniagaan brownies yang saya usahakan pun sama tergendala sebab pelanggan semuanya di KL.”

“Jadi saya terfikir apa yang patut saya lakukan. Setakat sehari dua masih boleh bertahan lagi. Sumber kewangan pula bergantung kepada pendapatan harian – kalau tak bekerja, tak ada duit. Waktu itu bulan puasa. Jadi saya dapat idea “Merket” (loghat Kedah untuk pasar atau market) untuk mempromosikan barang-barang kering keluaran peniaga-peniaga kecil dari pasar yang tidak boleh beroperasi sewaktu PKP dan menjualnya secara online.”

Azreen menjelaskan dia perlu bertindak pantas bagi mendalami selok-belok rantaian bekalan produk-produk yang ingin dipromosikan serta kaedah pembungkusan yang bersesuaian bagi memenuhi kehendak dan cita rasa pelanggan.

“Saya kena belajar cepat – bagaimana hendak dapatkan barang-barang kering yang terbaik, cara selamat untuk bungkus, apa yang perlu untuk pastikan barang-barang tidak tercemar atau rosak setelah dipos. Contohnya, ikan masin atau belacan – sudah tentu ada bau. Jadi kena pastikan semuanya dibungkus rapi dan elok. Setakat ini, saya bersyukur belum ada lagi pelanggan mengadu atau memberi komen yang tidak baik mengenai barang-barang yang mereka terima.”

Menerusi Merket, Azreen masih boleh menyuntik dan mengaplikasikan elemen seni pada reka bentuk label produk dan juga kad nota yang didatangkan sekali dengan barang-barang yang dipesan oleh pelanggan.

“Saya bekerjasama dengan “Abang Limo” yang akan hantarkan barang-barang pesanan. Selain sebagai strategi pemasaran, saya cuba cipta kelainan dengan menyediakan pakej servis dan customer experience yang terbaik buat pelanggan. Selain itu, bergantung kepada permintaan, saya sendiri akan hasilkan seni kerja tangan seperti doodles yang dilukis spesifik pada kad penghargaan sebagai tanda terima kasih. Jadi, kerja seni yang merupakan minat utama saya tidak mati begitu sahaja – sehinggalah lahirnya design apron tukang masak yang banyak menerima maklum balas positif dan perkongsian di media sosial,” ujar Azreen ceria tatkala kami menyoroti cerita di sebalik apron “TUKANG MASAK DI HATI AWAK” pada awal bicara tadi.


Mengakui sudah bertemu dengan “tukang masak idaman” yang banyak memberi inspirasi dalam kerjaya seni dan perniagaan Merket, Azreen bercita-cita untuk mendirikan studio khas bagi membolehkan kanak-kanak berkarya dan bereksperimen dengan seni, selain menyimpan impian untuk memiliki sebuah premis perniagaan berkonsep marketplace cafe.

“Saya memang suka melihat kerja tangan dan interpretasi seni kanak-kanak kerana mereka sangat jujur. Sekiranya mereka warnakan orang berwarna biru, mereka ada jawapan yang lurus dan jujur kenapa ia diwarnakan sedemikian. Jika saya kumpulkan kesemua cerita kanak-kanak ini, saya boleh hasilkan sebuah buku.”

“Saya berhasrat untuk bina marketplace cafe yang menjual barang-barang kering dan pada masa yang sama menyajikan juadah masakan menggunakan barang kering segar yang dijual tadi. Ruang premis perlulah berciri mesra kanak-kanak bagi membolehkan ibu bapa menikmati juadah dengan tenang sambil anak-anak bermain dan beraktiviti, selain adanya ruang khas bagi mempamer kerja tangan dan jualan merchandise,” tambah Azreen yang mengambil inspirasi daripada kafe berkonsep seni di Jogjakarta.

Ditanya tentang cabaran yang dilalui sepanjang PKP 1.0 sehingga kini, Azreen menegaskan setiap individu perlu ada kekentalan minda dan memperbaharui semangat dalam diri setiap hari, selain tidak cepat mengalah untuk terus mencari atau mencipta peluang berniaga yang pulangannya boleh dikongsi dan dinikmati dengan ramai pihak sekiranya berhasrat untuk mengembangkan lagi sesebuah perniagaan.

“Saya berpegang kepada konsep berkongsi rezeki. Pada rezeki yang kita peroleh, ada rezeki dan bahagian orang-orang lain juga di situ. Andainya kita tidak mampu untuk tolong 10 orang, kita boleh mula dengan menolong mungkin satu orang. Lagi banyak kita berkongsi, lagi besar manfaat, lebih banyak pulangan yang akan kita terima. Hikmah Covid-19 – selepas PKP 2.0, duit hasil daripada perniagaan Merket dapat saya kembang dan salurkan kepada kerja seni, selain meneruskan perniagaan baking yang sedia ada. Berkat berkongsi rezeki, semua boleh berjalan serentak dan perniagaan juga makin berkembang. Terkini, saya sudah ada dua orang pembantu tetap.”


Jelas Azreen lagi, “Simbolik mini heart – di mana ada cinta, di situlah letaknya jiwa. Apa yang kita buat harus bermula dengan soul. Makanan yang sedap juga perlukan kemahiran dan soul dalam penyediaan barulah dapat beri kepuasan dan good vibes kepada pelanggan. Begitu juga dengan seni dan perniagaan atau apa sahaja yang ingin kita usahakan – perlu bermula dengan soul dan kesungguhan – barulah datangnya feel serta momentum dan segalanya akan menjadi.”


Semua pandangan dan pendapat yang dinyatakan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis sendiri dan tidaklah mencerminkan pandangan dan pendapat daripada pihak CENDANA. Pihak CENDANA merizabkan hak daripada sebarang liabiliti, kerugian, kesilapan dan/atau pelanggaran hak harta intelektual yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh penulis di dalam artikel semasa atau selepas penyiaran, sama ada di laman web atau mana-mana platform rasmi CENDANA atau sekiranya pandangan/pendapat disiarkan semula di mana-mana platform pihak ketiga yang lain.


Fazrina Jasmin merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA-ASWARA.

Kongsi artikel ini
Copyright © 2021 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service 
Ooops!
Generic Popup