Sahabat dan Handpan
Oleh Fazrina Jasmin

Bunyi yang samar-samar itu kedengaran agak hipnotik dan soothing dari kejauhan, namun ada ketikanya terdengar sedikit janggal – meskipun menenangkan, temponya tidaklah perlahan dan ada masa-masa meningkat laju. Di celah-celah pengunjung, saya menelusuri jalan yang membawa ke arah bunyi “hipnotis” tadi. Sejurus menghampiri tiang konkrit yang terletak tidak berapa jauh dari ruang persembahan, kelihatan seorang pemuda bertopi beret sedang mengetuk-ngetuk sebahagian jari pada sejenis instrumen yang belum pernah saya saksikan sebelum ini – seakan-akan mirip kuali besi besar yang digabungkan atau bertutup dengan sisi-sisi bersimetri yang berlekuk dan membentuk “piring terbang” yang sedikit tebal. Seorang lagi rakan terlihat sedang duduk sejenak di atas kerusi bersandarkan tiang konkrit sambil mengangguk-anggukkan kepala mengikut rentak ketukan sejurus sebelum menerima isyarat mata untuk meneruskan gandingan persembahan bersama.

Latar belakang dan perjalanan karier muzik Jian Hao berserta rakannya, Jasper Tan Ezing mungkin berbeza tetapi kecenderungan dan minat mereka tetap sama – segalanya tertumpu kepada handpan, sejenis instrumen yang pada asalnya popular di wilayah Caribbean Trinidad dan Tobago – diilhamkan dan berkonsep bunyi yang terhasil menerusi dram besi (steel drum).

Sekilas pandang, ternyata instrumen handpan yang sangat unik dan jarang-jarang dilihat di sini - namun agak dikenali di Taiwan, Korea, China, Jepun dan sebahagian negara-negara Eropah - membawa 1001 kisah, kenangan dan inspirasi atas nama pengorbanan dan persahabatan:

keunikan handpan menemukan Jian Hao dan Jasper secara maya sejak beberapa tahun lalu,lantas membolehkan sebuah persahabatan terjalin menerusi hashtag dan kata kunci “#handpan”,

keunikan handpan mendorong Jian Hao – yang terdahulu menganggotai kumpulan tersohor HANDS Percussion Malaysia sebagai pemain genderang dan ahli perkusi sepenuh masa selama 13 tahun – nekad memilih untuk membawa haluan solo bagi merealisasikan impiannya menubuhkan Ondo Handpan Studio di Ampang, KL sejak Disember 2020 dengan perbelanjaan dan kos yang ditampung sendiri,

keunikan handpan jugalah yang membawa Jasper – graduan jurusan perniagaan yang terdahulu berasal dari Melaka, namun sekian lama belajar, menetap, berkerjaya dan mengendalikan studio muzik di Taiwan – kembali ke tanahair pada tahun 2020 untuk menyertai Jian Hao sebagai pengasas bersama Ondo Handpan Studio.

Mengimbas kembali detik-detik awal mula didedahkan kepada muzik handpan lebih kurang tiga tahun lepas, Jasper tertarik dan “jatuh cinta” sewaktu pertama kali menyaksikannya menerusi persembahan muzik jalanan di Taiwan. Menurut Jasper, sedang dia bersiar-siar, terdengar bunyi yang pada awalnya disangkakan terhasil daripada instrumen bertali. Langkahnya terhenti tatkala melihat persembahan handpan (tanpa menyedari telah berdiri selama lebih kurang sejam) sambil terfikir-fikir bagaimana bunyi yang kedengaran amat menenangkan – seolah-olah memberi kesan meditasi – boleh terhasil dengan sekadar ketukan jari atau finger tapping pada alat muzik yang berbentuk unik seperti itu. Tamat persembahan, dia menyapa pemuzik handpan jalanan tadi dan daripada situ timbul keinginan untuk mengetahui dan mempelajari dengan lebih mendalam mengenai keunikan instrumen handpan.

Sedikit berbeza dengan Jasper, Jian Hao mula mengenali dan “bertembung” dengan handpan menerusi YouTube sejak enam tahun yang lalu. Sebagai seorang ahli perkusi yang mahir bermain instrumen seperti dram, gendang dan gamelan, dia sering membuat carian berkaitan muzik untuk mengasah lagi kemahirannya. “Apabila terlihat video handpan, saya rasa hairan dengan bentuknya yang kelihatan seperti kuali terbalik dan bagaimana orang boleh minat untuk memainkan instrumen seperti itu,” ujar Jian Hao sewaktu mula berkongsi cerita.

Dari situ, rasa ingin tahu dan minat mula menebal. Walaupun agak mahal, dia menyimpan hasrat untuk mendapatkan instrumen tersebut dari luar negara memandangkan ia belum lagi menembusi pasaran tempatan. Menurutnya lagi, bergantung kepada saiz, jenis dan kualiti, handpan biasanya dijual pada harga serendah RM2,000-RM3,000. Namun, bagi kepuasan peribadi, dia memutuskan untuk membeli dan mendapatkan jenis serta kualiti terbaik sebagai “hadiah” handpan pertama untuk dirinya – berharga sekitar RM13,000. Handpan tersebut berjaya dimiliki pada tahun 2020 menerusi wang simpanan yang dikumpulkan sepanjang tabungan selama lebih kurang lima tahun.

Terdahulu, enam tahun mengikuti kelas dalam talian dan merujuk sumber yang didapati menerusi Internet, Jian Hao mempelajari dan mempraktikkan seni bermain handpan dengan hanya berlatih teknik ketukan jari dan tangan pada permukaan meja. “Apabila saya tengok banyak video tiap-tiap hari tanpa gagal melalui YouTube, secara automatik saya akan “menghafal rakaman visual” dan mendapat rentak serta corak bermain sedari awal. Apabila handpan akhirnya berada betul-betul di depan mata, saya cuma perlu ubahsuai sedikit teknik memandangkan permukaan meja berbeza dengan permukaan handpan yang berlekuk dan diperbuat daripada besi.”

Jelas Jian Hao yang mula hasilkan silibus sendiri menerusi Ondo Handpan Studio, kaedah bermain handpan adalah sangat fleksibel – ia boleh disentuh atau diketuk dengan menggerakkan kelima-lima jari dan tidak terikat pada satu-satu jenis teknik sahaja. Di sesetengah negara, teknik ketukan menggunakan jari telunjuk atau jari hantu adalah lebih menonjol, namun tetap bergantung kepada kesesuaian dan keselesaan individu.

“Semua orang boleh mencuba dan mempelajari seni bermain handpan. Teknik bermain sebenarnya lebih tertumpu kepada improvisasi atau freestyle. Jika biasa bermain alat genderang seperti bongo atau gendang, lebih mudah untuk kuasai. Walaupun tak ada asas muzik atau tak mahir bermain alat muzik, biasanya tak ada masalah untuk cepat tangkap dan mendapatkan rentak – ia memang sesuai untuk semua peringkat.”

“Kami ada sediakan kelas tapi tak fokuskan sangat kepada teori dalam kalangan pelajar asas kerana tak mahu lunturkan semangat mereka menguasai teknik bermain handpan secara praktikal. Jadi kami terus ajar selok-belok kemahiran melalui amali sentuhan dan ketukan instrumen sebenar.”

Ditanya tentang masa yang diambil untuk menguasai dan memainkan sesebuah lagu, menurut Jian Hao ia bergantung kepada jenis lagu dan seni ketukan. Bagi lagu yang mudah dan ringkas, contohnya lagu klasik seperti “Lenggang Kangkung”, mungkin hanya memakan masa antara beberapa jam ke satu hari untuk berlatih sehingga mahir.

“Secara asasnya, cuma perlu berlatih teknik sentuh dan ketuk. Apabila ini berjaya dikuasai, anda boleh mainkan apa-apa lagu, tak kira genre – cuma bunyi dan gaya saja berbeza memandangkan handpan lebih cenderung kepada bunyi yang sesuai untuk bermeditasi,” ujar Jia sambil menunjukkan video YouTube menampilkan artis handpan luar negara sedang memainkan lagu Metallica berjudul “Nothing Else Matters” versi “tenang”. Ternyata, handpan boleh melengkapi dan dimainkan bersama instrumen lain, termasuklah piano dan instrumen bertali.

Jelas Jian Hao lagi, pemain handpan tempatan yang dikenalinya setakat ini tidak lebih daripada lima orang. Penerimaan dan sambutan terhadap muzik handpan mungkin masih lagi bertatih pada peringkat permulaan – barangkali mengambil sedikit masa untuk melangkah dengan lebih jauh. Namun, ia tidak sama sekali melunturkan semangat mahupun passion Jian Hao dan Jasper bagi berkongsi minat dan keterujaan dalam kalangan penggemar muzik dan instrumen alaf baru, apatah lagi melibatkan instrumen unik seperti handpan.

“Kami mahu masyarakat lebih terbuka untuk mengenali dengan lebih dekat muzik dan instrumen baru seperti ini. Nasihat buat mereka yang bercadang untuk memiliki handpan atau mungkin sekadar ingin mencuba untuk ambil “feel” mempelajarinya, kami sarankan agar melihat dan mencubanya dahulu di studio kami (menerusi temu janji dan pastikan patuhi syarat-syarat SOP).”

Kredit Gambar www.instagram.com/ondo.handpan, www.facebook.com/OndoHandpan


Semua pandangan dan pendapat yang dinyatakan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis sendiri dan tidaklah mencerminkan pandangan dan pendapat daripada pihak CENDANA. Pihak CENDANA merizabkan hak daripada sebarang liabiliti, kerugian, kesilapan dan/atau pelanggaran hak harta intelektual yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh penulis di dalam artikel semasa atau selepas penyiaran, sama ada di laman web atau mana-mana platform rasmi CENDANA atau sekiranya pandangan/pendapat disiarkan semula di mana-mana platform pihak ketiga yang lain.


Fazrina Jasmin merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA-ASWARA.

Kongsi artikel ini
Copyright © 2021 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service 
Ooops!
Generic Popup