Semarak Yang Hilang – Di Sebalik Obor Kritikan Sastera
Oleh Fazrina Jasmin

Obor secara umumnya dilihat sebagai simbol sejagat yang sinonim dengan lambang penerang, penyuluh dan penunjuk dalam tuntutan yang nyata dan benar. Namun, persepsi terhadap obor kritikan sastera di negara ini adakalanya terlihat malap, lesu dan berkemungkinan perlu dinyalakan dan disemarakkan kembali. Karya sastera yang dianalisis dan dikritik perlu bersandarkan kepada penilaian dan pertimbangan berteraskan kaedah yang bersistem dan sewajarnya bersifat jujur bagi menzahirkan apresiasi terhadap sesuatu hasil genre kreatif. Kritikan berupaya menjulang mahupun membenamkan sesebuah karya.

Sesi perbincangan maya menerusi “Memayungi Obor Kritikan Sastera” yang dibawakan oleh George Town Literary Festival 2020 Through the Looking Glass pada 27 November baru-baru ini mengetengahkan isu-isu berkaitan budaya kritik sastera tempatan yang dikupas dan dibicarakan oleh pengarang yang juga pengkritik karya sastera, iaitu S. M. Zakir dan Wan Nor Azriq, berserta Rebecca Ilham sebagai moderator.

Membuka bicara, Zakir membincangkan hubung kait entiti-entiti yang terkandung dalam ekosistem dunia sastera, iaitu pengarang, pembaca dan pengkritik; bagaimana kritikan-kritikan awal lebih menjurus kepada pengkritik cuba memahamkan pengarang mengenai sesebuah pengkaryaan. Rentetan sekitar dekad 70-an ke 80-an menyaksikan kemunculan para pengkritik yang membawa aliran-aliran luar masuk ke alam sastera Melayu seperti Hashim Awang, Mana Sikana, Ramli Isin dan lain-lain. Teori-teori mula bergerak dalam kritikan termasuklah teori-teori tempatan dan daripada situ kritikan dilihat sebagai suatu entiti penting yang bergerak sejajar dengan perkembangan dunia sastera.

Bentuk kritikan bukan akademik atau jurnalistik seringkali menjadi sasaran sekiranya tidak memenuhi kehendak pihak-pihak tertentu yang bertanggapan ia merupakan serangan peribadi seandainya tidak memberi reaksi positif terhadap karya yang dinilai. Ini berbeza dengan kritikan akademik yang bergerak dalam lingkungan pembelajaran dan berlandaskan teori yang kelihatan lebih objektif. Namun, keperluan ikhtisas kini dikatakan agak lari tatkala polisi-polisi universiti tidak lagi meletakkan kritikan itu sebagai suatu perkara yang boleh bergerak sejajar dengan perkembangan sastera tetapi lebih tertumpu kepada keperluan scopus, kesarjanaan, KPI dan sebagainya. Apabila universiti tidak bergerak aktif sebagai entiti dalam ekosistem dunia sastera, maka kritikan perlu bergerak dari luar, sebagaimana yang dilakukan oleh Wan Nor Azriq tatkala dia memetakan kembali karya T. Alias Taib yang hampir sahaja dilupakan suatu ketika dahulu.

Menurut Azriq, kritikan akademik sentiasa datang dengan pemikiran yang skeptikal - sebagaimana seorang sarjana mencari sudut pandang atau idea baru dalam lingkungan teori yang diaplikasikan - sementara kritikan yang bersifat jurnalistik lebih memfokuskan aspek pengarang atau sudut reaksi pembaca itu sendiri. Kedua-duanya perlu bergerak seiring dalam dunia kritikan memandangkan perkembangan akademik juga akan menghubungkan sastera dengan bidang-bidang di luar seperti politik, sains sosial, geografi, psikologi dan sebagainya.

Terdahulu, perkembangan teori di barat telah menyaksikan kesan domino. Tatkala falsafah berkembang,politik turut berkembang dan kritikan akhirnya memperlihatkan perkembangannya tersendiri. Agak malang apabila lesunya bidang kritikan di Malaysia adalah disebabkan tiada gabung jalin antara sastera dengan bidang-bidang lain. Natijahnya, teori tempatan yang diharapkan berkembang secara organik menjadi sekadar tempelan, goyah dan longgar kerana “rohnya” masih bersandar kepada pascakolonial. Suara sastera hampir tenggelam tatkala berdepan dengan isu-isu semasa seperti pandemik, teknologi digital, LGBT dan sebagainya.

Perkembangan dari sudut kritikan akademik dilihat perlu lebih rencam dan dinamik dalam menerokai bidang-bidang baru, manakala kritikan bukan akademik perlu lebih bersifat kreatif dalam menghubungkan karya dengan pembaca. Umum mengetahui kritikan yang bersifat akademik mempunyai rangka yang tersendiri dan sering sahaja perlu mengambil karya-karya yang telah kukuh dan dilabel sebagai karya-karya besar. Ini tidak membuka ruang kepada karya-karya baru yang tidak menepati keperluan ikhtisas tadi. Di sinilah peranan yang seharusnya dimainkan oleh kritikan yang bersifat jurnalistik, khususnya bagi memperkenalkan karya-karya baru yang lebih segar dan relevan seiring dengan peredaran zaman.

Saya mengangguk tanda setuju tatkala kedua-dua ahli panel membicarakan tentang perlunya usaha bagi menginstitusikan gerakan kritikan secara konsisten, agar kritikan bersifat akademik dan jurnalistik dapat mewujudkan suatu ekosistem sastera yang bukan sahaja bergerak dalam ruang lingkup domestik, malahan dapat mara ke depan bagi menyumbang kepada pembinaan dan perkembangan falsafah di Malaysia. Ini memerlukan pemangkin-pemangkin yang dapat mempercepatkan perkembangan atau premis-premis teori. Pemangkin yang dimaksudkan di sini termasuklah pelaku-pelaku dalam ekosistem sastera itu sendiri, iaitu penulis, aktivis, pembaca dan pastinya didokong oleh mereka yang mentadbir dan berkuasa ke atas institusi. Secara peribadi, saya melihat ia tidak sekadar terhenti di situ; ketetapan halatuju dan perlaksanaan dalam ruang lingkup institusi juga perlu lebih demokratik, terbuka dan menyeluruh tanpa ada prasangka atau bersikap prejudis dengan hanya memenuhi tuntutan dan mempertimbangkan kepentingan pihak-pihak tertentu sahaja.

Selain institusi, konteks hubungan antara pengarang dan pengkritik harus diberi perhatian. Pengarang perlu berjiwa kental, matang dan berlapang dada dalam menerima kritikan, manakala pengkritik harus bersifat terbuka terhadap evolusi atau teori baru dalam melihat isu-isu semasa. Seandainya tiada tapak falsafah yang kuat dalam diri, seseorang pengkritik sekurang-kurangnya perlu ada citarasa yang bagus dan jiwa keinginan atau passion yang kuat. Pengarang baru yang ingin menjadi pengkritik juga perlu meluaskan horizon pembacaan agar tidak dibatasi oleh citarasa sendiri. Dalam erti kata lain, dia perlu berupaya membezakan antara “saya suka dengan karya ini” menerusi peribadi sebagai seorang pembaca dengan “karya ini bagus atau tidak” dari sudut pandang seorang pengkritik dan pembaca.

Selain itu, penggerak-penggerak sastera juga perlu bergerak di luar institusi sekaligus mendepani teknologi yang sedia ada, umpamanya membawa masuk sastera ke dalam platform maya seperti YouTube selain saluran konvensional seperti penerbitan akhbar dan institusi penerbitan sastera. Sastera dan teknologi perlu bergerak seiring bagi memastikan budaya kritik sastera tidak terasing bahkan dijiwai oleh segenap lapisan masyarakat, khususnya golongan muda alaf baru.

Kredit Gambar http://www.georgetownlitfest.com

Semua pandangan dan pendapat yang dinyatakan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis sendiri dan tidaklah mencerminkan pandangan dan pendapat daripada pihak CENDANA. Pihak CENDANA merizabkan hak daripada sebarang liabiliti, kerugian, kesilapan dan/atau pelanggaran hak harta intelektual yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh penulis di dalam artikel semasa atau selepas penyiaran, sama ada di laman web atau mana-mana platform rasmi CENDANA atau sekiranya pandangan/pendapat disiarkan semula di mana-mana platform pihak ketiga yang lain.


Fazrina Jasmin merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA-ASWARA.

Kongsi artikel ini
Copyright © 2021 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service 
Ooops!
Generic Popup