Antara dua titik, sudah pasti ada jarak yang memisahkan. Yang dekat, boleh menjauh dan begitu juga sebaliknya. Boleh jadi penjarakan sosial (kini ditukar kepada
penjarakan fizikal) mendekatkan hati-hati yang terpisah akibat pandemik; membawa kepada suatu titik temu yang berupaya untuk sekurang-kurangnya menormalkan cakap-cakap atau perilaku yang sebelum ini saling berselisih dan bercanggah.
Itu merupakan rumusan peribadi yang saya peroleh menerusi pameran berkumpulan berjudul JARAK anjuran Patisatustudio di Hinggap Art Space, Puncak Alam, Selangor yang berlangsung dari 15-31 Disember 2020, menampilkan karya-karya Umibaizurah Mahir @ Ismail, Ahmad Shukri Mohamed dan Mohd. Al-Khuzairie Ali.
Hampir dua jam saya meluangkan masa untuk mengamati dan mendengar sendiri perkongsian ilmiah dan peribadi daripada Umi, Shukri dan Khuzairi dalam suasana pameran yang agak santai tetapi penuh dengan kiasan dan pengajaran. Dua jam terdahulu, perkataan “Hinggap” yang jelas terpampang dalam blok tulisan 3D hitam berlatarbelakangkan dinding batu bata di luar sebelah pintu masuk kaca sedikit sebanyak membangkitkan soalan-soalan kecil dalam minda sejurus tiba di hadapan premis.
Kenapa hinggap?
Barangkali soalan yang sama bermain di fikiran pengunjung-pengunjung yang singgah di sini. Umi dengan tenang menjelaskan bahawa aktiviti seni di Patisatustudio sudah lama bertapak dari 2007 lagi. Pada tahun 2020, satu lagi ruang baru diusahakan menerusi Hinggap Art Space, iaitu ruang alternatif untuk aktiviti seni beraksi, selain sebagai ruang berpameran. Hinggap mengetengahkan konsep ruang persinggahan sementara, sebagaimana sesebuah pameran yang hanya akan “hinggap sekejap” dalam suatu tempoh masa tertentu.
Minit-minit awal mendengar perkongsian Umi, saya mulai selami visi dan misi yang didukungnya bersama-sama dengan Shukri dan Khuzairi. Menurut Umi, perspektif umum sering merasakan seni visual itu lebih tertumpu kepada golongan “tertentu”. Hakikatnya, seni adalah ilmu yang penting sebagai penggerak minda dan jiwa masyarakat setempat. Ada yang mempunyai minat, namun berasa segan dan janggal untuk menjejakkan kaki di ruang galeri memandangkan mereka bukanlah daripada kalangan golongan seni. Bertitik tolak daripada situ, Umi, Shukri dan Khuzairi nekad mengurangkan jurang dan menghubungkan jarak dengan membawa galeri ke ruang-ruang seperti Hinggap agar mudah didekati, khususnya oleh penduduk setempat.