“Sharing The Tikar” Mengisahkan Perkongsian dan Pertukaran Unik di Dunia Anyaman Sabah
Oleh Adriana Nordin Manan

Sesi Perkongsian Yee I-Lann di Pra-Fest IIAF 2020
Credit: Tangkapan Skrin di laman YouTube

Tikar ialah objek kegunaan harian yang mengimbau kenangan berkelah di tepi pantai atau bersantai bersama orang tersayang di petang yang dikucup matahari. Namun, tikar bertukar menjadi permukaan di mana terbentang manifestasi seni karyawan dalam projek “Sharing The Tikar”, kerjasama antara karyawan seni dari Kota Kinabalu, Yee I-Lann, dan komuniti penganyam di pedalaman Sabah. Di Ipoh International Festival Pre-Fest 2020 anjuran PORT IPOH, gabungan dokumentari dan https://www.facebook.com/port.kolonikaryawanamanjaya/videos/1642773535905200 pasca-tayangan menunjukkan potensi luas kolaborasi sebegini dalam meraikan budaya setempat sambil mengetengahkan aspek kesenian di luar kerangka lazim dunia seni rupa.

Terkenal dengan karya berunsurkan media foto, Yee merupakan antara karyawan seni kontemporari terbilang di Malaysia. Bermula tiga tahun yang lalu, Sharing The Tikar menandakan babak baharu dalam karier seninya.


Tikar-A-Gagah (Hadapan)
Credit: Galeri Kebangsaan Singapura

Untuk projek ini, Yee berkolaborasi dengan komuniti penganyam dari masyarakat Dusun dan Murut di Keningau dan Bajau Sama Dilaut di Pulau Omadal berhampiran Semporna. Sebelah permukaan tikar gergasi sepanjang 15 meter dianyam oleh penganyam Keningau manakala lagi sebelah dipertanggungjawabkan kepada komuniti Pulau Omadal. Karya penganyam Keningau dengan permukaan berlatarkan warna perang dan hitam diatur seiring dengan permukaan berwarna-warni hasil kerja tangan penganyam Pulau Omadal. Dengan nama rasmi “Tikar-A-Gagah,” tikar tersebut ialah komisyen dari Galeri Kebangsaan Singapura dan kini dipamerkan di ruang utama Galeri tersebut.


Tikar-A-Gagah (Belakang)
Credit: Galeri Kebangsaan Singapura

Dokumentari “Sharing The Tikar” yang berdurasi 40 minit menyampaikan pendekatan seni Yee, selain sejarah budaya menganyam dan gaya hidup komuniti penganyam. Di samping pengenalan kepada hasrat artistik karyawan, tertadah peluang menyingkap persoalan kemasyarakatan yang menjurus ke bidang antropologi. Tema penggunaan objek harian sebagai objek seni berterusan dengan pilihan Yee untuk mengetengahkan imej meja pada tikar.

“Zaman dulu kala, meja tidak biasa digunakan oleh masyarakat setempat. Malah, perkataan ‘meja’ diserapkan ke dalam Bahasa Malaysia dari Bahasa Portugis dan Sepanyol. Pada saya, meja adalah simbol penjajah dan dikaitkan dengan kuasa dan pentadbiran,” ujar Yee sambil berlegar di galeri di mana tergantung puluhan tikar berwarna-warni dengan imej meja. Ada sisi ironi pada paparan meja- simbolik ciri dan tingkah laku penjajah- pada objek tikar yang dahulunya memainkan peranan yang kemudian digantikan oleh meja itu sendiri. Timbul sentimen penyisihan dalam penggantian. Karya turut mempelawa perbandingan imej meja dan imej tikar, lantas merincikan konsep jarak di antara si penduduk meja dan mereka yang barangkali bersila atau bersimpuh di atas tikar. Jarak dari permukaan tanah menjadi lambang jarak kuasa antara dua pihak. Komentari kuasa dan penjajahan itu tersampai.

Erti tikar kepada komuniti Bajau Sama Dilaut dikongsi oleh Kak Budi, penganyam dari Pulau Omadal. Te’po (tikar) putih dan kuning digunakan untuk upacara nenek moyang dan perubatan, manakala te’po biasa dibentangkan apabila menyambut tetamu. Juga dikongsi kearifan lisan berhubung pantang larang dan batas gender. Siat Yanau, penganyam berbangsa Murut dari Kampung Enam di Nabawan, menyatakan terdapat sejenis anyaman buluh yang dahulunya tidak boleh dikerjakan oleh penganyam yang sudah berumahtangga, kerana tugas tersebut memakan masa begitu lama sehingga wanita berkahwin dikhuatiri berpisah daripada suami akibat terlalu lama berjauhan. Menurut Shahrizan bin Rupin, juga dari Kampung Enam dan salah seorang daripada dua penganyam lelaki yang menyertai projek, penglibatannya dalam kerja menganyam dulu ditegah kerana “tugas lelaki bukan menganyam, tapi berkebun,” namun dia berkeras untuk terus bergiat.

Antara babak menghiburkan dalam dokumentari ialah wawancara bersama Kak Budi. Selesa berseloroh ceria dalam Bahasa Bajau, perkongsian Kak Budi tentang impak projek “Sharing The Tikar” pada dirinya serta keluarga boleh dilihat sebagai contoh sisi sosiologi projek seni dalam komuniti. “Saya membuat te’po (tikar) untuk mendapatkan hasil untuk membeli keperluan,” jawabnya dengan pantas apabila ditanya. Dengan pendapatan yang diperoleh, Kak Budi tidak lagi perlu menangkap ikan di lautan, malah suaminya juga diminta untuk tidak lagi ke laut tetapi tinggal di rumah untuk menjaga anak. Tanggungjawab wanita sebagai tunggak ekonomi keluarga dan pertukaran peranan antara suami dan isteri dalam mencari pendapatan serta menjaga anak di rumah ialah pemerhatian sampingan projek “Sharing The Tikar” yang mewarnai pemahaman penonton.

Kesinambungan seni menganyam turut dibicarakan dari segi bekalan daun dan buluh, bahan utama yang semakin berkurangan disebabkan penggunaan tanah untuk tanaman kelapa sawit. Isu sudah diperpanjangkan kepada pihak berkuasa dengan harapan penanaman semula dilaksanakan. Ternyata dunia seni berhubung kait dengan kelestarian alam.

Jika dokumentari menjadi jendela budaya dan latar projek, sesi perbincangan di FB Live pula melengkapkan penerokaan topik dengan menyajikan perkongsian pengalaman sepanjang “Sharing The Tikar.” Bagaimanakah pengalaman berkolaborasi antara I-Lann dan kelompok penganyam? Tentunya wujud kesenjangan kuasa antara Yee dan rakan penganyam juga, termasuk latar belakang pendidikan dalam bidang seni, kedudukan sosioekonomi, serta tidak kurang juga takrifan diri sebagai karyawan. Di mata umum, peranan karyawan seni mudah dikaitkan dengan kedudukan elit atau mereka yang selesa dibuai kemewahan materi sedia ada, membolehkan penggiatan dalam dunia seni yang mungkin menjanjikan santapan jiwa tetapi bukan sesuap nasi.

Naratif ini mungkin terselit kebenaran, tetapi pengalaman penganyam di “Sharing The Tikar” berupaya menggoyah. Sebagai contoh, berikutan pengalaman di “Sharing The Tikar,” peranan Roziah Jalalid kini beralih daripada “tukang kerja tangan” kepada karyawan seni. Ingin membawa kelainan daripada corak tradisi, penganyam dari Pulau Omadal mereka corak tikar sendiri, yang kini sudah disiapkan beberapa helai. Yee pula bersedia menerima stok tikar yang dihantar menaiki bas, untuk kemudian dijual dalam talian. Persis dunia perniagaan dan pengumpulan seni versi marhaen. Rantaian pengagihan tidak melalui galeri berhawa dingin, tetapi rangkaian bas yang mengangkut bahan berbondong-bondong dan menyalurkan mata pencarian untuk pelbagai kelompok masyarakat.

Sepintas lalu mendalami “Sharing The Tikar,” terlihat bahawa kerjasama antara kelompok berlainan mampu memperluaskan lingkungan dunia seni rupa melalui anyaman kemahiran teknikal bersama kearifan tempatan untuk menjadi wadah kesejahteraan penggiat.


Semua pandangan dan pendapat yang dinyatakan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis sendiri dan tidaklah mencerminkan pandangan dan pendapat daripada pihak CENDANA. Pihak CENDANA merizabkan hak daripada sebarang liabiliti, kerugian, kesilapan dan/atau pelanggaran hak harta intelektual yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh penulis di dalam artikel semasa atau selepas penyiaran, sama ada di laman web atau mana-mana platform rasmi CENDANA atau sekiranya pandangan/pendapat disiarkan semula di mana-mana platform pihak ketiga yang lain.

Adriana Nordin Manan merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA-ASWARA.

Share this article
Copyright © 2021 Cultural Economy Development Agency (CENDANA) | Terms of Service 
Ooops!
Generic Popup