Rendra yang pada awalnya dipengaruhi juga dengan sentuhan Jason Mraz, Jack Johnson dan Damien Rice kini telah memperluaskan spektrumnya setelah melanjutkan pelajaran di Berklee College of Music, Amerika Syarikat, di mana muzik beliau kini banyak dipengaruhi oleh komposer filem seperti Ramin Djawadi, John Williams dan Hans Zimmer.
Perubahan ini mungkin juga berlaku kerana Rendra telah bertukar arah dari seorang penyanyi-penulis lagu kepada seorang yang lebih banyak bekerja di belakang tabir. Kata Rendra, beliau memang telah memutuskan untuk berhenti membuat persembahan (sebagai seorang penyanyi) tidak lama dahulu. Hal ini disebabkan beliau kini lebih selesa mengarang, menggubah dan menyusun lagu dari belakang komputer. “Ini bukan bermaksud saya tidak akan menyanyi sampai bila-bila,” kata Rendra. “Cuma buat masa ini, saya lebih selesa dan gembira bekerja disebalik tabir sebegini.”
Rendra merupakan pembantu kepada Mac Quayle, yang menggubah lagu dan skor muzik untuk siri televisyen,
Mr. Robot. Dalam tahun 2017, Quayle juga telah menerima anugerah Emmy untuk gubahan skor muzik terbaik dalam siri televisyen.
Apabila ditanya tentang perbezaan pengalaman sebagai anak seni di Malaysia dan di Amerika Syarikat, Rendra berkata bahawa kedua-dua negara memberikan beliau pengalaman yang berbeza, lebih-lebih lagi kerana di Malaysia beliau lebih dikenali sebagai seorang penggubah lagu manakala di Amerika beliau lebih banyak terlibat dalam penerbitan muzik untuk siri televisyen dan filem.