Bakat pasangan adik beradik ini lebih cenderung kepada karya visual. Ezrena merupakan seorang pereka grafik dan kurator manakala adiknya Emir adalah seorang artis visual yang banyak menghasilkan muzik video dan filem pendek.
“Atuk kami di sebelah ibu seorang pelukis. Beliau banyak menghasilkan karya seperti lukisan dan sebagainya. Ketika kecil, kami selalu melihat hasil kerjanya dan mungkin itu yang mempengaruhi kami ke arah kesenian,” kata Ezrena.
Ahli keluarga lain, seperti ibu bapa mereka, tidak begitu cenderung kepada bidang seni tetapi mereka tidak menghalang anak-anak mereka dari menceburi bidang seni atau kreatif.
“Pada awalnya saya belajar bidang kejuruteraan, tetapi menukar kepada rekaan grafik. Sekarang, apabila sudah bekerja, saya menceburi bidang video dan seni visual pula,” terang Emir, yang baru ini telah memenangi anugerah filem pendek terbaik di Festival Filem Malaysia 2016 dengan karyanya bertajuk RM10.
Ezrena pula merupakan pengasas Malaysia Design Archive, sebuah NGO yang bertujuan mendokumentasikan hasil karya dan sejarah pereka grafik di Malaysia. Beliau banyak menyumbang rekaan kepada NGO dan pertubuhan sosial, malah beliau juga merupakan seorang pensyarah.